PPSMI : Hanya Mengembalikan Yang Hak
Syukur Alhamdulillah, akhirnya kewarasan politik menghadirkan dirinya apabila hak pengajaran-pembelajaran sains dan matematik di negara ini dikembalikan kepada bahasa Melayu atas kapasiti “Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkasakan Bahasa Inggeris”, meskipun masih perlu menunggu sehingga 2012.
Rupa-rupanya ‘malu’ juga untuk berlaku jujur dan berterus-terang bahawa kita telah melakukan kekhilafan besar, lalu dikambinghitamkan faktor lain sebagai penguat (penyedap) hujah untuk kembali ke landasan benar yang telah pun dikonkritkan dalam sistem pendidikan negara sebelum era PPSMI.
Kerabat kerja pencetus dan penyokong setia PPSMI tentunya golongan yang amat terpesona dengan metafora kuasa magis bahasa asing itu di dalam menerajui era kemodenan negara – dan di dalam kalangan mereka juga termasuk kelompok yang memang tidak pernah menyenangi apa-apa saja yang bernama Melayu atau peribumi. Maka, tidaklah menghairanlah sekiranya mereka bukan saja mempertahankan kekhilafan itu, malah memandang sinis upaya terkini Kementerian Pelajaran Malaysia itu dengan menganggapnya sebagai langkah ke belakang, mundur dan “menggelapkan” masa depan generasi muda negara.
Memang ketaksuban amat berbahaya. Kita selalu bercakap tentang membina negara bangsa berwajah sendiri, memartabatkan bahasa dan bangsa, dan memaknakan nikmat dan pengisian kemerdekaan. Namun, dalam melangsungkan wacana pembangunan negara, cita-cita murni itu tidak sewajarnya menjadikan kita sang matador yang kerjanya mematikan lembu atas nama sukan rakyat bertaraf dunia.
Keinginan dan ketidaksabaran membawa negara ke samudera kemajuan tahap tinggi menjelang 2020 sesungguhnya telah membutakan mata-hati sebilangan pemimpin kita tentang erti “Bahasa Jiwa Bangsa” dan padah yang akan diwarisi generasi mendatang kerana keyakinan palsu bahawa martabat negara hanya dapat dipelihara melalui suatu bahasa asing, bukan melalui bahasa kita sendiri.
Sudahlah agenda besar melahirkan satu rumpun bangsa Malaysia di bawah satu bumbung bahasa sebagaimana diwariskan oleh pemimpin pejuang kemerdekaan dirobek-robek oleh pemimpin era pembangunan atas tiket keinginan politik peribadi berbau perkauman, bahasa penyatuan milik kesayangan peribumi itu sendiri terus mahu dihina dan diperlekeh fungsi besarnya dalam membangunkan citra ketamadunan bangsa (secara sedar atau tidak sedar) atas nama mengejar kemajuan.
(Ironinya, sebilangan politikus kita sendiri terperangkap apabila terus menerus melaungkan agenda perpaduan sedangkan mereka sendiri merestui tindakan peminggiran bahasa kebangsaan, pemecahan kuasa perpaduan dan membiarkan ketaksuban pada bahasa masing-masing menguasai landskap pendidikan negara – lalu menjadikan sekolah medan percaturan membina fatamorgana atau impian kosong).
Menjadi harapan kita supaya kepimpinan politik kita bermuhasabah diri dalam merealisasikan cita-cita membina negara bangsa supaya tidak kehilangan teras harga diri anak watan dengan menjadi Pak Kaduk atau Pak Pandir atau pengkhianat bangsa sebagaimana diwariskan Si Kitul dan Mandeliar.
Terima kasih kerana masih mengingati kata-kata keramat Si Tuah – Takkan Melayu Hilang Di Dunia – kerana sesungguhnya tanpa ingatan itu, pemimpin Melayu akan terus dibuai mimpi, dan Melayu yang memang telah terpinggir dalam banyak episod pembangunan ekonomi negara kerana olah kepimpinan, akan hilang di dunia, bermula dengan kerapuhan taring politiknya dan kemudian kesirnaan bahasanya di negerinya sendiri.
Terima kasih kerana mengembalikan hak bahasa Melayu. Realisasikanlah pemartabatan bahasa Melayu dan pemerkasaan bahasa Inggeris. Perkasakanlah bahasa Inggeris kerana bahasa itu memang amat penting dalam era globalisasi langit terbuka ini, yang sepatutnya telah lama diupayakan keperkasaannya dengan bijaksana, ikhlas dan bersungguh-sungguh. Namun martabatkanlah bahasa Melayu secara lebih bijaksana, lebih ikhlas dan lebih bersungguh-sungguh.
(Terima kasih juga kepada YB Tan Seri Muhyiddin Yassin dan YB Datuk Dr. Mohd Puad Zarkasi …)
Seorang aku…










antar bicara