Home > Bermain Di Fikiran, Persepsi > SALAM KEMERDEKAAN !

SALAM KEMERDEKAAN !

Kemerdekaan itu mahal harganya. Tarikh keramat 31 Ogos  1957, 52 tahun lalu, terpahat dalam lipatan sejarah negara dan memang menjadi hafalan murid-murid sekolah.

DSC00936

Nostalgia tentang kemerdekaan dirayakan saban tahun di seluruh negara, juga di sekolah, dengan kibaran bendera, sepanduk, ‘banting’ dan sebagainya, dan dengan khabaran bersemangat tentang detik bersejarah kemerdekaan dan liku-liku perjuangan ke arahnya, semangat patriotisme, pengisian kemerdekaan dan mempertahannya (kerana sesungguhnya tiada jaminan bahawa kemerdekaan itu akan kekal abadi, jika tidak dipelihara dan dipertahankan).

Di sekolah, dengan bimbingan guru-guru, murid-murid menterjemahkan penghayatan masing-masing dalam pelbagai genre – bersajak, berpentomen, berpuisi, berlagu, bersyarah, berpidato, berkuiz, mengarang dan sebagainya.  Kita juga berkisah tentang nikmat kemerdekaan, erti perpaduan, membina jati diri anak watan dan keperluan memusuhi penjajahan.

merdekaNamun begitu, kita juga menyaksikan betapa keupayaan memaknakan kemerdekaan itu jadi berbeza mengikut perspektif generasi dan kaum. Murid-murid kita lahir dan membesar di era pasca kemerdekaan yang telah berlalu puluhan tahun lamanya.  Malahan, guru-guru kita juga sebahagian besarnya demikian. Hanya mata pelajaran Sejarah dan cerita tentang merdeka yang dikutip daripada lingkungan hidup mereka mengenalkan mereka kepada kemerdekaan.

Hal ini menambahkan keluh-kesah kita apabila mata pelajaran sejarah bukanlah mata pelajaran ‘disenangi’ generasi muda kita, meskipun merupakan antara mata pelajaran wajib di sekolah menengah. Kebanyakan murid tidak mempelajari (atau diajari) sejarah  dalam perspektif yang betul. Memang pun sistem pendidikan kita hanyut dengan sentuhan kecundang akademik apabila igauan pada peperiksaan (secara membabi-buta) menjadi fobia masyarakat banyak.  Dengannya, pusat tusyen memiliki pasaran besar. Kononnya pusat tusyen lebih bernilai dan lebih bijaksana daripada sekolah dari sudut menjadikan anak-anak kita pandai dan ‘berilmu’. Di sekolah biasa, kerana tuntutan pengurus sistem pendidikan dan ekspektasi tinggi masyarakat, guru-guru bermimpi buruk tentang strategi memandaikan muridnya, dan akhirnya  memilih untuk mula mengajar seperti di pusat tusyen, tidak lagi mendidik seperti guru-guru di era 20 tahun selepas merdeka. Lalu, kepada generasi muda kita,  bukan saja sejarah dan kemerdekaan itu kepudaran makna, malahan pendidikan itu sendiri secara keseluruhannya belum menemukan makna sebenarnya!

686989123_8d6adc2925

Kemerdekaan itu mahal harganya. Berpesta-pora menyambut bulan kemerdekaan dan bersengkang mata bersuka-sukaan di padang terbuka menghitung detik 12 tengah malam, rasanya bukanlah garapan menghargai nilai sebuah kemerdekaan.  Sekadar menghimpunkan seluruh rakyat di padang luas setiap daerah untuk mendengar retorik pemimpin, persembahan budaya (dan sebagainya) yang ‘klise‘ sepanjang tahun juga rasanya bukanlah pendekatan penghayatan yang kita harapkan. Mereka yang  datang dan pergi ke tempat perhimpunan sedemikian hanyalah kerana memenuhi tuntutan arahan perjawatan, atau bagi anak muda, mencari keseronokan. Dimanakah penghayatannya? Pihak penganjur program sambutan kemerdekaan perlulah benar-benar menghayati slogan 1Malaysia – “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan” – dengan berani memikirkan pendekatan lain yang jauh lebih kreatif dan inovatif dalam memberikan ‘jiwa merdeka’ kepada rakyat.

Kemerdekaan itu mahal harganya. Pengisiannya dan penghayatan terhadapnya mestilah berakar-umbikan ilmu, jati diri dan pembinaan kekuatan membawakan negara ke mercu ketamadunan. Di sekolah, pengisian dan pengisian kemerdekaan perlu dilihat dalam perspektif menyedarkan murid-murid tentang perlunya membebaskan diri daripada kedunguan, mengutamakan kebebasan dan keseronokan berhibur, sebaliknya berubah kepada bercita-cita besar, mempunyai ‘self esteem’ yang tinggi, belajar bersungguh-sungguh, sabar dan tabah dengan cabaran mendatang dalam pembelajaran, dan menghayati falsafah “berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian”, kesemuanya demi negara tercinta. Murid-murid perlu diberikan kesedaran tentang ‘hinanya’ menjadi rakyat ‘tidak berguna’ kerana terjajah mindanya, tidak berilmu, tidak berakhlak mulia dan tidak mampu mempertahankan kemerdekaan negara daripada belenggu penjajahan era baru – penjajahan minda, ekonomi dan politik.

vaiow-small-p

Mudah-mudahan kita benar-benar menemukan nilai sebenar sebuah kemerdekaan. Dan anak-anak didik kita juga. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

SALAM 1MALAYSIA.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.