Isu PPSMI Lagi: Usah Cakap Tak Serupa Bikin
Salam hormat,
Apabila keputusan muktamad mengenai kedudukan PPSMI diumumkan Kementerian Pelajaran pada 2009 lalu, semua pihak yang menentang pelaksanaannya (sejak 2003) berasa lega dan dapat menyimpulkannya begini;
Akhirnya hak bahasa Melayu dikembalikan semula sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. P&P Sains dan Matematik akan kembali ke pangkuan bahasa Melayu pada tahun 2012 nanti.
Riwayat PPSMI akan ditamatkan (2012) setelah melalui beberapa siri perundingan dengan pelbagai pihak, dan dapat dianggap sebagai keberhasilan perjuangan – melalui kesedaran dan kekuatan jatidiri – beberapa kerat tokoh politik dan pelbagai kelompok rakyat awam pendukungnya.
Gagasan “Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkasakan Bahasa Inggeris” sebagai pengganti PPSMI merupakan ukuran kepada kewarasan politik yang mengambil tempatnya semula apabila akur dengan hakikat bahawa masalah penguasaan bahasa Inggeris mesti ditangani melalui P&P bahasa itu sendiri, bukan dengan mengorbankan hak bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa P&P Sains dan Matematik.
Peri pentingnya menguasai subjek di bidang sains dan teknologi sebagai aset kemajuan negara dan kaitannya dengan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu antarabangsa (bahasa sains dan teknologi) tidak memberikan kewajaran untuk bahasa Inggeris mengambilalih fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu dalam sistem pendidikan negara sebuah negara merdeka yang telah dimatrikan sejak dulu lagi. Penguasaan bidang sains dan teknologi selama ini tidak terganggu kerana diajarkan dalam bahasa Melayu, meskipun bahan rujukannya lebih banyak yang berbahasa Inggeris.
Yang penting, bahasa Inggeris mestilah dikuasai melalui P&P Bahasa Inggeris. Sains dan Matematik mestilah dikuasai melalui P&P Sains dan Matematik. Maka perkasakanlah P&P Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
Usah dikaitkan penguasaan bahasa itu dengan keperluan menjadikannya mekanisme pengajaran-pembelajaran subjek lain. Apabila P&P Bahasa Inggeris dilaksanakan dengan cekap dan berkesan (selama 11 tahun lamanya – 6 tahun di sekolah rendah dan 5 tahun di sekolah menengah – hingga murid mampu menguasai kemahiran berbahasa Inggeris itu), maka insyaAllah mereka akan dapat memanfaatkannya dalam menguasai subjek lain meski perlu merujuk bahan bacaan berbahasa Inggeris untuk setiap subjek yang dipelajarinya.
Selama ini, isunya ialah ketidakmantapan P&P Bahasa Inggeris itu sendiri! Jadi, belajarlah bahasa Inggeris dengan bersungguh-sungguh dan seluas-luasnya dalam kapasiti P&P Bahasa Inggeris dan komponennya – tiada siapa akan menghalangnya – kerana menguasai bahasa antarabangsa itu memang amat penting dalam upaya mempertingkat pelbagai ilmu pengetahuan pada era globalisasi ini. Dan kerangka memperkasakan P&P Bahasa Inggeris ini kini menjadi agenda Kementerian Pelajaran sendiri.
(ii)
Pun begitu, isu PPSMI masih terus bergema. Suara kesal kerana PPSMI terhapus memang tidak pernah padam.
Maka ada pihak yang terus menerus mengusahakan gerakan memperjuangkan bahasa Inggeris sebagai medium P&P Sains dan Matematik, meskipun hanya dalam konteks memberikan pilihan kepada pihak sekolah untuk melaksanakan atau tidak melaksanakan PPSMI (atas permintaan atau dukungan PIBG).
Ternyata kehadiran desakan demi desakan pihak tertentu yang tidak berpuashati apabila PPSMI disemadikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (termasuk oleh Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia atau PAGE yang menyarankan supaya PPSMI dijadikan opsyen) seperti menggoyahkan keputusan yang dibuat kerajaan pada 2009 lalu.
Dengan demikian, belum pun sampai 2012 sebagai tahun perealisasian pengembalian hak bahasa Melayu sebagai bahasa P&P Matematik dan Sains di sekolah melalui dasar “Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkasakan Bahasa Inggeris” yang memadamkan dasar PPSMI itu, pihak kerajaan kembali melatah dengan pernyataan bahawa pihak kerajaan akan mempertimbangkan semula PPSMI dalam dua opsyen.
Hal ini pasti dibantah dan akan ditentang habis-habisan oleh mereka yang selama ini tidak pernah kenal jemu dalam memperjuangkan nasib bahasa Melayu di negeri sendiri, meski pun ditohmah dengan pelbagai label tidak menyenangkan oleh pihak yang pentingkan diri sendiri (atau tidak pernah sedar diri). Sekadar contoh, teliti surat terbuka kepada PM berikut ini;
Dr Rajiee Hadi
———————————————————————
Y.A.B Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia
Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada bila-bila masa akan YAB Datuk Seri umumkan. Dan terkini, kempen pilihan raya Dun Sarawak sedang berlangsung dan hangat bermula.
Namun apa jua maksud tersurat dan tersirat, saya bagi pihak orang-orang Melayu, bangsa peribumi, umat lslam, golongan pendidik, ibu bapa, penulis, sasterawan, budayawan, aktivitis masyarakat, para pejuang dan pecinta bahasa dan orang awam yang telah bersama-sama menzahirkan sukma rasa lahir dan jiwa sokongan penuh tidak berbelah bahagi kepada pemansuhan muktamad isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa lnggeris (PPSMI) yang telah diputuskan oleh kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri menerusi pengumuman yang dibuat oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri.
Sedarilah bahawa keputusan ini telah disambut dengan penuh gembira, titisan air mata kesyukuran dan penghormatan terhadap kerajaan BN pimpinan YAB Datuk Seri dahulu. Lantaran itu usahlah dipersia-siakan perjuangan murni ini.
Namun, seperti mana yang dilaporkan di akhbar-akhbar hari ini bahawa YAB Datuk Seri akan menimbangkan semula pelaksanaan PPSMI dalam dua opsyen adalah sesuatu berita yang amat memeranjatkan, menyedihkan dan tragis. Saya bagi pihak rakyat terbanyak mengingatkan agar YAB Datuk Seri jangan sengaja ‘memainkan perasaan orang Melayu’ demi menjaga ‘sentimen orang lain yang berkepentingan’.
Rakyat terbanyak akan bertambah keliru dan prasangka kerana YAB Tan Sri Muhyiddin pernah mengumumkan bahawa PPSMI adalah suatu keputusan muktamad apabila pemansuhannya diumumkan dahulu. Dan ini kelihatan nampak jelas adanya percanggahan dalam kepemimpinan YAB Datuk Seri. Apatah lagi apa yang dikatakan oleh YAB Datuk Seri bercanggah dengan aspirasi dan perjuangan rakyat terbanyak khususnya Melayu- Bumiputera yang menjadi tonggak utama jatuh bangunnya Umno parti dukungan YAB Datuk Seri.
Justeru, saya bagi pihak umat Melayu-lslam-Bumiputera sekali lagi menyatakan berterus terang dan menyedari bahawa orang-orang Melayu kini mula mual jelak dan marah terhadap mana-mana pemimpin yang tidak bertegas, kelihatan bercanggah dan boleh dianggap ada pergeseran antara dua pemimpin tertinggi.
Dan apa yang lebih penting rakyat tetap menentang habis-habisan mana-mana pemimpin yang lebih mementingkan ‘periuk nasi’ daripada kepentingan perjuangan bangsa, agama dan negara. Harapan kami, agar PRU 2008 lalu tidak umpama, ‘nasi sudah menjadi bubur’. Salam.
(Dr Rajiee Hadi ialah Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia)
Semoga kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi dapat dipertahankan dalam menegaskan pendirian Kementerian Pelajaran tentang pemansuhan PPSMI pada 2012.
(iii)
Ketika mempertahankan pelaksanaan PPSMI, ada pemimpin negara kita yang berhujah bahawa bahasa Melayu bukanlah bahasa sains dan teknologi. Ilmu sains dan matematik mengalami perkembangan pesat setiap hari, dengan bertambahnya pelbagai hasil kajian disiplin ilmu itu yang sebahagian besarnya dalam bahasa Inggeris. Tidak mungkin kita dapat menerjemahkan kesemuanya ke dalam bahasa Melayu dalam keadaan kita kekurangan kepakaran di bidang penerjemahan. Akhirnya kita akan ketinggalan kerana mempelajarinya dalam bahasa Melayu tanpa buku teks (bahan rujukan) dalam bahasa Inggeris.
Jelas bahawa yang dikhuatiri ialah kita akan ketinggalan dalam menguasai ilmu sains dan teknologi kerana bidang itu diajarkan dalam bahasa Melayu, dan kita tidak pula menguasai bahasa Inggeris (hingga tidak dapat merujuk kepada bahan pembelajaran yang lebih banyak berbahasa Inggeris). Betapa rendahnya kita memandang kemampuan bahasa dan bangsa sendiri, dan kemampuan kita merujuk bahan berbahasa Inggeris. Kononnya ketidakmampuan berbahasa Inggeris dalam mendepani ilmu sains dan teknologi yang berkembang pesat itu menyebabkan kita tertinggal dek kemajuan.
Bukankah selama ini, meskipun pengajaran-pembelajaran Sains dan Matematik adalah dalam bahasa Melayu, para pelajar yang mengambil bidang (jurusan) sains tetap dapat menguasainya, termasuk berkemampuan menggunakan buku-buku rujukan dalam bahasa Inggeris. (Malahan pelajar di peringkat menengah atas dan mahasiswa di pusat pengajian tinggi yang mengambil bidang pengajian Bahasa dan Kesusasteraan Melayu pun memang banyak menggunakan bahan rujukan berbahasa Inggeris – sejak puluhan tahun dulu).
Daripada perspektif pedagogi, tidak kira apa sahaja subjeknya, yang penting dalam memastikan pencapaian objektif sesuatu sesi P&P ialah kefahaman pelajar. Pencapaian mereka terukur oleh tahap kefahaman mereka. Kefahaman pelajar pula akan bergantung pada banyak faktor, antaranya keberkesanan strategi dan pendekatan yang digunakan si pengajar, selain kesediaan pelajar sendiri untuk belajar. Dan tanpa mengira apa juga subjeknya, bahasa adalah mediumnya. Tidak kira bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Namun, bukankah P&P akan lebih mudah difahami dan berkesan apabila disampaikan dalam bahasa ibunda pembelajarnya?
Apabila P&P Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains atau Matematik tidak mencapai objektifnya, bermakna lemahlah kefahaman pelajarnya. Kalau mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa sendiri pun sukar difahami dan dikuasai, bagaimana hendak menguasainya melalui bahasa Inggeris pula.
Jadi, dalam konteks penguasaan ilmu, isunya ialah kefahaman. Isunya ialah strategi penyampaian. Bukan isu bahasa Melayu atau bahasa Inggeris sebagai bahasa sains dan teknologi.
Oleh yang demikian, isu-isu inilah yang mesti diselesaikan dalam soal penguasaan subjek Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. P&P subjek-subjek inilah yang mesti diperkasakan. P&P subjek bahasa (termasuk Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris) juga mestilah dilaksanakan dengan berkesan, dengan strategi dan pendekatan yang berkesan. Tanpanya, kefahaman pelajar terhadap P&P subjek lain juga akan turut terjejas.
Inilah juga antara bidang kerja Kementerian Pelajaran. Seluruh jentera kepakaran Kementerian Pelajaran perlulah bergerak cergas membantu pihak sekolah menangani isu ini, bukan saban tahun setakat sibuk mencari sekolah mana yang hendak dianugerahi pelbagai insentif atas jenama sekolah berkualiti (dan sebagainya). Jika tidak, masalah tidak menguasai subjek-subjek ini akan berterusan sampai bila-bila.
Jadi pandangan bahawa penguasaan ilmu sains dan teknologi lebih berkesan melalui bahasa Inggeris bukanlah pandangan yang tepat, malah mengelirukan. Tidak ada kaitan langsung dengan keperluan menggantikan bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris sebagai medium penyampaiannya sebagaimana dilakukan oleh PPSMI.
Analogi bahawa kita perlu memajukan diri kita dulu dalam semua bidang ilmu, terutamanya bidang sains (dengan menggunakan bahasa Inggeris) supaya bangsa kita menjadi maju dan terkenal – dan setelah itu barulah Bahasa Melayu dapat digunakan secara meluas sebagai bahasa ilmu di negara kita dan akan dipelajari juga oleh orang asing – tidak semuanya tepat.
Benar bahawa kita perlu menjadi bangsa yang berilmu dan maju untuk dihormati bangsa lain, tetapi tidak semestinya hanya melalui bahasa Inggeris. Pengupayaan kemajuan bangsa mesti berjalan seiring dengan pengiktirafan bahasa sendiri sebagai wahana pengembangan semua disiplin ilmunya, di samping menggunakan juga bahasa lain sebagai bahasa sokongan, termasuklah bahasa Inggeris. Kenapa mesti meragui kemampuan bahasa sendiri? Kenapa mesti merendahkan status bahasa sendiri?
Soalnya lagi, mengapakah kita perlu menunggu sehingga menjadi “negara maju” apabila kita mampu melaksanakannya sekarang dengan menggunakan bahasa Melayu, dan kita telah pun berada di landasan yang betul sebelum PPSMI diperkenalkan.
[Kasihan sungguh nasib bahasa bangsa Melayu kerana hanya boleh dibahasailmukan secara menyeluruh jika Malaysia telah mencapai taraf negara maju. Bagaimana pula jika gagasan Wawasan 2020 tidak tercapai mengikut jangka waktu yang direncanakan?]
Demikian naifnya pemikiran sebilangan pemimpin kita dalam keghairahan (nafsu politik) mengejar status negara maju, dengan mendewakan bahasa Inggeris sebagai (satu-satunya) wahana pembangunan (ketamadunan) negara bangsa sehingga sanggup meminggirkan bahasa sendiri dan mengetengahkan PPSMI (2003) sebagai wahana pendidikan sains dan teknologi di sekolah-sekolah. Semuanya dilakukan secara drastis, dan dengan kebarangkalian yang cukup besar bahawa telah tidak dilakukan kajian mendalam (termasuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak yang berkepakaran dalam bidang pendidikan) tentang baik-buruk implimentasi dasar PPSMI itu.
Demikianlah cara sebilangan orang politik berfikir dan mencaturkan masa depan pendidikan negara dengan kekuatan suara politik semata-mata, dan dengan dukungan para “yes men” yang hanya mampu tersenyum pahit menganggukkan kepala saja. Dan akan lebih malanglah lagi kalau keputusan 2003 itu dibuat kerana “ada udang di sebalik batu” apabila PPSMI diperhitungkan menghadirkan perbelanjaan wang negara yang cukup besar untuk kelengkapan prasarananya.
Dan sekarang, orang politik terpaksa menguburkan dasar yang ternyata tidak disokong rakyat banyak itu, meski masih bermain alasan kerana tidak mahu mengaku akan kelemahan keputusan terdahulu dan hakikat kegagalan PPSMI sendiri.
(iv)
Sikap “ambil mudah” kepimpinan politik negara akan nasib dan kemampuan bahasa sendiri hingga dibiarkan diinjak-injak atas nama membawakan pembangunan dan perpaduan negara telah mengakibatkan bahasa Melayu tercugap-cungap di negaranya sendiri. Jauh sekali inisiatif diupayakan untuk bahasa Melayu diberikan kekuatan politik dan ekonomi secara bersungguh-sungguh kecuali sebagai retorika penyedap halwa telinga ketika mendepani rakyat banyak. Mungkin juga benar bahawa mereka memang memandang rendah akan bahasa mereka sendiri, biarpun mereka menafikannya.
Aspirasi murni menjadikan Malaysia sebagai negara berdaulat dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama (bahasa ilmu) dan bahasa perpaduan di semua peringkat persekolahan sebagaimana dihasratkan Penyata Razak (1956) dulu pun mampu dirobek dan dikuburkan oleh kekalutan politik perkauman sempit dukungan kerajaan.
Sekarang ini begitu banyak pihak yang memperkecilkan atau mengkotak-katikkan peranan bahasa Melayu, apalagi di sektor swasta.
Pihak kerajaan seperti tidak menyedari bahawa semacam ada gerakan bersepadu di sektor swasta untuk mengambil kesempatan daripada sikap tersebut dengan memperkecil peranan bahasa Melayu (dan meminggirkan graduan Melayu) dalam merancakkan kelangsungan ekonomi negara. Kita pula mudah terpedaya dan keterlaluan dalam membenarkan pernyataan pihak berkepentingan bahawa bahasa Inggeris amat diperlukan dalam wacana pembangunan negara, dengan melabelkan bahasa Melayu sebagai tidak mampu membawakan manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negara (dan graduan Melayu pula tidak berkemampuan berbahasa Inggeris sebagaimana diharapkan hingga terpinggir daripada berprofesion di sektor swasta).
Bahasa Melayu seperti sengaja tidak diberikan ruang untuk bernafas di sektor perdagangan atas alasan kepentingan perniagaan dan hubungan di peringkat antarabangsa. Begitu banyak juga bangunan dan taman perumahan yang dinamaInggeriskan secara sewenang-wenangnya di negara ini. Di Putrajaya sendiri, nama-nama asing begitu megah dimartabatkan sebagai nama pilihan jalanrayanya. Dan kegilaan ini menular ke tempat-tempat lain kerana tidak ada ketegasan politik untuk memperkasakan bahasa Melayu dalam kehidupan rakyat negara ini. Dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri pun sudah ramai yang lupa diri dan taksub dengan keramatnya bahasa warisan penjajah ini.
Jika sekarang ini pun sudah demikian situasinya, bagaimana nanti nasib bahasa Melayu pada ketika Malaysia dinobatkan sebagai negara maju (2020). Pada masa itu, nasi sudah menjadi bubur! Pada masa itu, slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” sudah kehilangan maknanya.
(v)
Saya jadi teringat akan usikan seorang pembaca blog Perak Today : The Portal seperti berikut ini;
Hmmm…kerajaan mana yg angkat B.inggeris sbg bahasa ilmu sains dan matematik di Malaysia? Kerajaan mana yg bagi elaun free kpd guru2 bahasa inggeris, guru matematik dan sains yg ajar Etems kat sek? Hanya kerna ajar bahasa inggeris dpt elaun tambahan….itukah kerajaan yg angkat martabat bahasa melayu…..cakap tak serupa bikin…bikin tak serupa ckp…
Semoleknyalah pemimpin kerajaan berkaca diri. Usah hanya sedap berbicara. Buktikan kesungguhan memperkasa dan memartabatkan bahasa rasmi negara dengan kekuatan politik yang ada. Jadikannya gagasan negara, bukan hanya kerja seorang dua Menteri yang kewalahan menjunjungnya. Bukan setakat mengambil pendekatan populis. Bukan juga setakat terpesona kerana menganjurkan pertandingan pidato di peringkat antarabangsa. Usah dibiarkan pelbagai pihak berkepentingan merendah-rendahkan maruah bahasa kebangsaan di sektor yang dikuasai mereka. Usah juga hanya mengulang kesilapan kepimpinan lalu.
Bahasa Melayu bahasa ilmu negara. Bahasa Inggeris hanya bahasa kedua.
Apabila PPSMI dilaksanakan, bukan hanya dua subjek (Sains dan Matematik) yang terlibat, tetapi semua subjek bidang sains dan teknologi terlibat sama. Ini pun masih dikatakan bukan menidakkan (kebolehan) bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, dan bukan mengurangkan pengembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (di negara sendiri).
Kepada sebilangan besar pelajar, sudahlah pembelajaran subjek-subjek Sains dan Matematik dianggap sukar, ini ditambahsusahkan lagi dengan P&Pnya dalam bahasa Inggeris – bahasa asing untuk sebahagian besar rakyat Malaysia. (Pun, ini bukan soal mudah sukarnya subjek berkaitan. Ini isu persepsi yang membelenggu pemikiran kebanyakan pelajar yang perlu ditangani para guru dengan pemerkasaan strategi P&P ketiga-tiga subjek berkaitan)
Ini belum lagi dikaitkan dengan isu Dasar 60:40 yang menyebabkan sebilangan pelajar “dipaksakan” memasuki aliran sains (kerana hendak memenuhi kehendak dasar) sedangkan secara relatifnya mereka tidak layak berada di aliran itu.
Akhirnya, pelajar menjadi mangsa apabila keputusan peperiksaan SPM diperoleh hanya melayakkan mereka menjadi Mat dan Minah Kilang semata-mata, sedangkan mereka boleh pergi jauh jika berada di aliran kemanusiaan atau vokasional. Lalu, siapakah yang sebenarnya memperjudikan masa depan anak bangsa sendiri? Apakah sesungguhnya kita memerlukan semua pelajar kita menguasai bidang sains dan teknologi semata-mata?
Sekarang inipun kegilaan (ketaksuban) pada bidang sains dan teknologi telah menyebabkan lambakan guru di bidang itu di sekolah-sekolah kita hingga mereka terpaksa pula mengajarkan subjek yang bukan bidang mereka. Malahan kita terpaksa pula berdepan dengan masalah kekurangan guru di bidang kemanusiaan – kita kekurangan guru sejarah, geografi, bahasa Melayu (dsb).
Kalau ikhlas hendak memperkasakan bahasa sendiri, tidak cukup sekadar menjadikannya bahasa rasmi dan berbangga dengannya. Bahasa rasmi tidak membawa erti apa-apa sekiranya hanya tersimpan dalam Perlembagaan Negara. Hendak digunakan sebagai bahasa pengantar P&P Sains dan Matematik pun politikus kita masih bercelaru pemikirannya hingga terjadi peristiwa malang 2003-2012.
Dan sekarang, belum pun 2012 sempat tiba, isu PPSMI timbul lagi, dalam konotasi berbeza – pertimbangan dua opsyen! Demikianlah, muktamad yang tidak muktamad. Memualkan. Memalukan.
______________________
- SEORANG AKU










antar bicara