Malangnya Nasib Nasi Lemak
Salam hormat,
April 2011 kali ini bukan saja rancak kerana pilihanraya Sarawak, tapi juga oleh berita keputusan kabinet 4 April lalu yang melarang penjualan minuman berkarbonit dan makanan tidak berkhasiat di kantin sekolah berkuatkuasa serta-merta.
LARANGAN penjualan minuman berkarbonat dan makanan mengandungi gula berlebihan di kantin sekolah bagi mencegah obesiti dan diabetes di kalangan pelajar adalah langkah tepat ke arah mewujudkan masyarakat sihat dan bebas daripada penyakit berpunca daripada pengambilan makanan tidak seimbang.
Pihak sekolah juga akan memantau Indeks Berat Badan (BMI) pelajar bagi menentukan tahap kesihatan mereka, yang direkodkan dalam kad laporan masing-masing. Ia bertujuan melihat keadaan pelajar berkenaan sama ada beratnya ideal dengan ketinggian berdasarkan umur.
Kedua-dua langkah terbaru itu diputuskan oleh Kabinet 4 April lalu dan ia pastinya dialu-alukan oleh ibu bapa, sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam usaha membendung masalah obesiti di kalangan pelajar.
Keputusan itu dibuat kerana kajian Kementerian Kesihatan mendapati lebih 15 peratus rakyat Malaysia menghidap penyakit tidak berjangkit dan 60 peratus daripadanya adalah remaja berusia 18 tahun ke bawah yang rata-ratanya pelajar sekolah rendah dan menengah yang mengalami obesiti serta diabetes….
[Sumber Berita Harian, 19 April 2011)
Di sekolah-sekolah memang pun makanan dan minuman sebegitu rupa dilarang penjualannya dan hal ini termaktub dalam perjanjian antara pihak sekolah dengan pihak pengusaha kantin. Pihak sekolah, khususnya Jawatankuasa Kantin Sekolah sentiasa memantau dan memastikan larangan itu dipatuhi oleh pihak pengusaha kantin.
Jadi ini bukanlah inisiatif baru.
Yang berbeza ialah apabila larangan itu dihubungkaitkan dengan langkah membendung amalan pemakanan tidak sihat yang membawa kepada gejala obesiti (dan diabetes) yang didapati menular dalam kehidupan kanak-kanak dan remaja Malaysia dewasa ini.
Yang berbeza kali ini ialah apabila nasi lemak hendak diturutsertakan sebagai antara jenis makanan yang dilarang penjualannya (kecuali untuk sehari dalam seminggu), sedangkan sebelum ini, nasi lemak adalah antara menu yang pasti ada dalam makanan yang dibenarkan dijual di kantin sekolah.
Hal ini sudah tentunya mengundang kontroversi – pro dan kotra. Pihak pengusaha kantin dan pengusaha kecil nasi lemak pasti terpukul oleh larangan ini. Peminat nasi lemak di sekolah juga pasti tidak gembira dengan langkah ini.
(ii)
Nasi lemak itu makanan tradisional masyarakat Melayu. Nasi lemak bukan makanan haram atau makanan beracun hingga perlu dilarang atau dibatasi penjualannya, meskipun dikaitkan dengan kemungkinan obesiti dalam kalangan rakyat. Sejauhmanakah faktor nasi lemak benar-benar membawa impak besar kepada obesiti dalam kalangan kanak-kanak, berbanding makanan lain yang jauh lebih menarik perhatian mereka?
Apabila nasi lemak dikatakan turut berada dalam senarai makanan larangan, dan hanya boleh dijual seminggu sekali, aku jadi tersenyum sendirian. Bukan senyuman sinis. Senyum kerana tiba-tiba terkenang akan zaman bersekolah rendah di kampung kelahiran suatu waktu dulu.
Manakan tidak. Nasi lemak sinonim dengan orang Melayu. Resepi warisan tradisional ini merupakan bahan santapan alternatif disediakan ibu-ibu untuk sarapan pagi sebelum para ayah keluar rumah mencari rezeki. Anak-anak juga kerap dibekalkan dengan nasi lemak sebagai pengalas perut pada waktu rehat ketika di sekolah. Demikian akrabnya nasi lemak dengan kehidupan masyarakat Melayu.
Dan aku – ketika di darjah tiga – pernah membimbing sebakul nasi lemak ke sekolah saban hari persekolahan untuk dijual kepada rakan-rakan sekolah pada waktu rehat. Ternyata peminat nasi lemak ibu bukan hanya rakan-rakan sekolah, tetapi juga cikgu-cikgunya sekali. Namun kerja berjaja itu cuma bertahan beberapa bulan sahaja. Ibu menarik balik lesen menjajaku apabila aku gagal mempertahankan kedudukan nombor satu yang sentiasa kuraih setiap tahun pada setiap kali peperiksaan berlangsung.
Ketika itu, perkataan obesiti dan diabetes memang tidak ada dalam kamus pemikiran anak kampung, anak pekebun miskin. Dan ironisnya, meski membesar dengan nasi lemak sebagai sarapan paginya, sukar pula ditemukan kanak-kanak dan remaja Melayu yang dijenguk gejala obesiti.
(iii)
Malang sungguh jadi nasi lemak. Gara-gara takutkan obesiti, macam-macam larangan hendak dilaksanakan. Nasi lemak pun sudah menjadi bahan yang ditakuti (dikhuatiri). Pendidikan pemakanan sihat tak juga diajarkan secara meluas di sekolah-sekolah, sedangkan pendidikan ilmu pemakananlah yang lebih penting dalam menangani isu ini.
Larangan biarlah berpada. Jika makanan lain seperti makanan ringan – ‘junk food’ & ‘fast food’ – dilarang di kantin sekolah, itu tidak dirisaukan. Laranglah. Tetapi usah nasi lemak yang relatif dekat dengan jiwa masyarakat Melayu.
Janganlah dibatasi penjualan nasi lemak hingga hanya kepada sehari dalam seminggu. Kepada sesetengah pihak, Kementerian Kesihatan dilihat seolah-olah menyalahkan nasi lemak – sehingga dijadikan mangsa sebagai makanan yang mengundang kegemukan. Semoga Kementerian Pelajaran tidak tersampuk sama, menyetujui cadangan Kementerian Kesihatan dalam meminggirkan nasi lemak di kantin sekolah.
Jika demikian beratnya dosa nasi lemak, mengapa tidak dilarang sahaja penjualannya di luar sekolah? Jangan hanya di kantin sekolah. Tentu tidak boleh, bukan? Yang boleh dilarang ialah yang dijual di kantin sekolah. Hanya kerana sekolah itu suatu institusi milik kerajaan yang boleh diarah-arahkan.
Nasi lemak bukan hanya ada di kantin sekolah. Nasi lemah ada di tadika, ada di gerai tepi jalan, ada di warung kopi, ada di restoran mamak, ada di kios minyak, malah ada di kantin hospital ! Tegasnya, nasi lemak lebih banyak berada dan terjual di luar sekolah. Semuanya dapat diakses oleh murid-murid.
Kalau murid itu peminat nasi lemak, pasti akan dibelinya juga di luar sekolah dan dibawa masuk ke dalam sekolah untuk santapan waktu rehat nanti. Atau ibunya sendiri yang akan membekalkannya untuk dibawa ke sekolah.
Mahu dihalang juga murid memakannya? Kalau hendak menghalangnya juga, peraturan sekolah perlu dipinda – bahawa makan nasi lemak itu suatu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan disiplin kalau murid makan nasi lemak pada hari yang tidak dibenarkan? Nanti bolehlah pula ditimbulkan isu murid dirotan kerana makan nasi lemak di sekolah.
Sekali lagi, obesiti berkaitan dengan amalan pemakanan (makanan berkalori, bergula dan lemak yang tinggi) secara berlebihan. Jika hendak dikekang tabiat menyukai nasi lemak, jangan hanya di sekolah. Di sekolah, waktu rehatnya terbatas. Waktu makan juga jadi terbatas. Jadi murid memang tidak berpeluang untuk makan secara berlebihan. Lagipun, nasi lemak bukan satu-satunya makanan terjual di kantin sekolah. Ada pelbagai pilihan. Murid juga akan bosan kalau setiap hari hanya makan nasi lemak.
Janganlah hanya menghukum nasi lemak di kantin sekolah, suatu sumber pendapatan pengusaha kantin yang tidaklah selumayan mana. Malahan nasi lemak juga salah satu sumber pendapatan (tambahan) atau satu-satunya punca pendapatan suri rumah sepenuh masa (pembekal atau pengusaha kecil nasi lemak di rumah) yang menghantarnya ke kantin sekolah untuk dijualkan pada setiap hari persekolahan. Dengan menjualnya hanya sehari dalam seminggu, apakah tidak mungkin pendapatan mereka akan terjejas?
(iv)
Obesiti dirujuk sebagai jumlah berat badan yang berlebihan akibat kandungan lemak yang tidak terkawal. Masalah obesiti tidak mengenal jantina dan peringkat usia. Jika seseorang itu mengalami masalah obesiti, secara tak langsung, mereka berhadapan dengan penyakit berisiko tinggi seperti serangan jantung, diabetes, strok dan darah tinggi.
Punca obesiti bukan hanya pada makanan. Pun begitu, obesiti memang menyukai seseorang yang kerjanya hanya makan atau kegemarannya makan secara berlebihan terutamanya makanan yang mengandungi kalori, lemak dan gula yang tinggi. Obesiti juga didatangkan daripada kesibukan bekerja dan malas bersenam, apalagi jika bekerja di pejabat yang kurang terlibat dengan aktiviti kecergasan.
Selain itu, terdapat beberapa gen dalam tubuh yang mengakibatkan berat badan berlebihan. Ibu atau bapa seorang obesiti memungkinkan anak atau generasinya mengalami masalah yang sama. Demikian juga dengan amalan pengambilan ubat-ubatan tanpa pengawasan doktor yang boleh menyebabkan berat badan bertambah dan memungkinkan kehadiran obesiti dalam kehidupan manusia.
WHO menganggarkan bahawa pada 2015, lebih kurang 2.3 bilion orang penduduk di dunia mengalami masalah berat badan yang terlebih dan daripada jumlah tersebut kira-kira 700 juta orang akan mengalami masalah obesiti.
Di Malaysia, peningkatan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 10 tahun menunjukkan peratusan yang membimbangkan iaitu daripada 6.6 peratus kepada 13.8 peratus. Keadaan ini lebih kritikal apabila mereka meningkat dewasa.
Semestinya golongan dewasa yang menghadapi masalah obesiti mencari alternatif terbaik untuk mengurangkan berat badan. Bagi kanak-kanak pula, masalah obesiti mereka kebanyakan dibiarkan oleh ibu bapa mereka.
Sumber : Dewan Masyarakat, Oktober 2010 (Dr. Tam Chai Lian – Masalah Obesiti dalam Kalangan Kanak-kanak)
(v)
Kepekaan (kebimbangan) kerajaan memang berasas. Dari satu segi, langkah pencegahan ini memang elok dan perlu disambut baik oleh seluruh lapisan masyarakat. Cuma fokusnya sempit sekali – hanya di sekolah.
Mengapa hanya di sekolah? Mungkin kerana fokus dan kumpulan sasaran arahan kabinet ini ialah murid sekolah sahaja, dengan keyakinan tinggi kepada keberkesanan fungsi sekolah sebagai tempat paling sesuai untuk pendidikan membentuk tabiat pemakanan yang sihat di kalangan kanak-kanak dan remaja. Selama ini, gejala tersebut gagal dibendung di peringkat keluarga.
Jadi, langkah yang diambil ialah langkah mendidik – sesuatu yang mudah diprogramkan di peringkat sekolah, dengan guru (darjah) diberikan peranan (tambahan) untuk merekodkan data indeks berat badan (BMI) murid ke dalam buku laporan murid pada setiap penggal persekolahan dan mencadangkan langkah atau kaedah pengawalan ketika di rumah sebagai panduan kepada ibu bapa memantau pertumbuhan anak-anak mereka.
Namun begitu, rasanya lebih molek kalau langkah yang hendak diambil itu diperhalusi dengan lebih mendalam ke arah menuntasi permasalahan berbangkit di peringkat lebih meluas – sampai terus kepada ibu bapa di rumah. Jangan hanya di kantin sekolah. Jangan setakat melarang penjualannya di luar pagar sekolah (yang selama ini pun gagal dipantau dan diambil tindakan berkesan oleh pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Kesihatan).
Faktor penyumbang obesiti bukan hanya amalan pemakanan tidak sihat, meskipun sumbangan amalan itu besar sekali Obesiti juga berkaitan dengan gen dalam tubuh badan manusia, pengambilan ubat-ubatan tanpa pengawasan doktor, kurangnya aktiviti riadah dan sebagainya. Pelaksanaan program pengawalannya lebih baik bermula di rumah dan dengan pengawasan berterusan ibu bapa. Biarlah ibu bapa murid yang menguruskan perihal kegemukan anak masing-masing melalui program yang dipelopori Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran. Agensi yang lain boleh membantu dalam kapasiti masing-masing.
Sekolah boleh membantu dalam kapasitinya sendiri – pendedahan ilmu tentang obesiti dalam kegiatan ko-kurikulum dan kempen kesihatannya, penyerapan dalam kurikulum pelbagai pengajaran-pembelajaran subjek yang relevan dengannya, dan membekalkan data tentang murid berisiko masalah obesiti kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan mereka selanjutnya.
Kementerian Kesihatan sepatutnya lebih agresif dalam menangani isu ini dengan mendekati dan mendidik masyarakat yang terlibat langsung dengan masalah ini. Usah diturunkan tugas mengesan dan mengawal itu kepada guru di sekolah dengan merekodkan Indeks Berat Badan (BMI) murid dalam kad laporan prestasi mereka. Kad ini hanya akan dirujuk oleh ibu bapa dua atau tiga kali sahaja dalam setahun.
Tetapi, jika sudah diputuskan keperluan peranan guru dalam penyediaan rekod berkenaan melalui Kementerian Pelajaran, teruskanlah. Namun tindakan susulan masih sukar dilaksanakan oleh ibu bapa hanya melalui pelaporan disediakan guru kerana guru bukan pakar pemakanan sebagaimana yang dapat disediakan oleh Kementerian Kesihatan. Jadi, kad pelaporan oleh guru itu bolehlah dijadikan sebagai instrumen awal untuk meminta atau membolehkan ibu bapa dan anak dirujuk terus ke hospital atau Pusat Kesihatan Kecil untuk berkonsultasi dengan pihak yang berkepakaran di sana.
(vi)
Kabinet tempat orang bijaksana berkumpul, berfikir selayaknya orang bijaksana dan membuat keputusan bijak untuk seluruh rakyat. Jadi buatlah keputusan yang bijaksana dan adil untuk semua rakyat.
Nasi lemak buah bidara
sayang selasih hamba lurutkan
hilang emak hilang saudara
kerana kasih aku turutkan.
Yang menggilai makanan segera sebenarnya lebih ramai daripada yang menyukai nasi lemak. Kabinet pun rasanya tidak menentukan makanan khusus yang dilarang dijual di kantin sekolah dalam keputusan 4 Aril itu. Maka dalam kes nasi lemak, Menteri Kesihatan janganlah mudah ‘menyalahkan’ makanan itu dan menyekat selera seseorang untuk menikmatinya di kantin sekolah.
____________________________
- SEORANG AKU










tahniah ayahanda pengetua…pandangan yang sangat bernas yang seharusnya perlu dibaca oleh ramai orang. Kami di sekolah semakin kebingungan..kenapa hanya satu pihak sahaja yang dipertanggungjawabkan ?