BERSIH : Bermain Dengan Mitos?
Salam hormat,
Nampaknya demonstasi jalanan BERSIH 2.0 seperti tidak akan menjadi kenyataan apabila pihak penganjurnya, setelah merafak sembah menemui DYMM Yang di-Pertuan Agong, menyetujui “saranan” PM untuk berunjukrasa di stadium sahaja. Demonstrasi jalanan menjadi demonstrasi “stadiuman”. Eloklah tu. Cuma di stadium yang mana masih menjadi teka-teki. Nampaknya seperti bukan di Stadium Merdeka, Stadium Negara dan Stadium Nasional Bukit Jalil. Barangkali di Stadium Shah Alam kot!
Pun begitu, rasanya sangat ramai yang jadi kecewa dengan pengumuman Datuk S. Ambiga itu. Maklumlah, perarakan di ruang terbuka tentu lebih meriah berbanding berkumpul secara statik di dalam stadium yang tertutup. Tak dapat merasakan nikmat demokrasi pancutan meriam air atau semburan gas pemedih mata, dengan disaksikan orang awam dan mungkin orang asing yang memang minat gila dengan persembahan seperti itu. Persembahan yang sangat memancing minat pemberitaan global tetapi sukar dapat disaksikan di sebuah negara kerdil bernama Malaysia.
(ii)
Parlimen adalah tempat undang-undang digubal. Di sinilah tempat berhimpunnya wakil rakyat pemimpin politik kerajaan dan pembangkang untuk berdebat secara tuntas dalam mencorakkan kelangsungan ketamadunan negara. Di sinilah tempat kebijaksanaan dan kewarasan bersatu dalam mempertaruhkan masa depan negara. Kepentingan negara sewajarnya menjadi keutamaan mereka melebihi kepentingan lainnya.
Sesulit mana pun, kerja menjadikan SPR berwibawa dan pilihanraya negara sebersih-bersihnya adalah kerja pemimpin politik di parlimen. Jika benar pilihanraya negara kurang bersih, maka itu petanda kegagalan wakil rakyat berfungsi di parlimen, baik mereka di pihak kerajaan mahupun di pihak pembangkang. Mereka gagal berbahas secara matang dan bijaksana tentang upaya menjadikan SPR berwibawa dan pilihanraya negara terlaksana dengan bersih hingga menumbuhsegarkan persepsi bahawa SPR dan pilihanraya kelolaannya tidak bersih. Benarkah begitu? Atau persepsi buruk itu hanya bikinan mainan politik sang politikus yang mengidamkan kuasa dan pemimpin NGO yang memiliki agenda tersirat bersifat peribadi?
Sesungguhnya membenarkan NGO memainkan peranan wakil rakyat di parlimen amatlah berbahaya, sementelah didukung pula oleh para pengamal perundangan yang bermain politik songsang. Apalagi kalau gelanggangnya adalah jalan raya. Dan lebih malang lagi apabila wakil rakyat yang sepatutnya memuliakan dewan parlimen turut menurunkan martabatnya mencorakkan keputusan parlimen di jalanraya. Alangkah tragisnya.
(iii)
Cukup menarik akhiran tulisan Tan Sri Dr. Nordin Kardi, Penyandang Kursi Za’ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (lewat akhbar Utusan Malaysia 7 Julai 2011) dalam menduga gerakan BERSIH dalam perspektif takdir dan doa, seperti berikut ini;
Sambil-sambil saya melayari pelbagai blog dan Facebook saya, saya terfikir adakah gerakan Bersih boleh saya lihat dalam konteks takdir dan doa? Apakah niat, pertuturan riuh-rendah, dan gerak laku sekumpulan rakan senegara saya ini menggambarkan doa mereka untuk menolak nikmat yang ada dan menggantikannya dengan yang lain yang belum pasti.
Mitos kebebasan yang lebih baik, pentadbiran yang lebih bersih dan telus, kehidupan yang tidak dipermainkan oleh pihak berkuasa yang semuanya itu kekal tidak pasti dijadikan seperti pasti.
Nampaknya rakan-rakan saya lebih selesa menjadi sebilangan sasterawan yang berminat untuk bermain dengan mitos berbanding dengan permainan sains yang lebih relatif pasti. Sains melihat semalam telah berlalu, esok setakat boleh diramal dan hari ini dan sekarang adalah data yang pasti.
Ada rakan-rakan saya seperti menolak hari ini dan sekarang, yang pasti kerana melayan peristiwa semalam dan esok yang belum menjanjikan apa-apa tetapi menyeronokkan untuk diramal. Jika sesuatu berlaku nanti adakah rakan-rakan saya akan mengatakan ‘apakan daya ini takdir kita’ atau berani berdiri mengaku ‘bencana ini adalah hasil doa kami!’
Semoga wacana beliau ini diberikan ruang untuk dicermati para pemain demonstrasi ciptaan BERSIH. Dengan akal sihat jernih bersih.
Hmmm,….berhentilah bermain dengan mitos dan ketidakpastian sang peramal politik!
- SEORANG AKU










salam…..
Kalaulah ramai rakyat malaysia berhobi membaca…dan menjadi penimbang tara..yang pastinya seimbang emosi dan fikiran….insya allah…kita mampu menjadi juri kepada semua ini. Dr Nordin Kardi merupakan idola saya sejak hari pertama saya ditemuduga untuk kemasukan UPM…seronok dan sangat teruja membaca buah fikiran individu-individu seperti tuan dan Dr Nordin sendiri…