PPSMI : Berikan Noktah Untuk Polemik Ini
Salam hormat,
PPSMI? Bukankah keputusan telah dibuat oleh kerajaan (Kementerian Pelajaran Malaysia)? Mengapa masih mahu didebatkan lagi? Mengapa masih mendesak? Biarlah MBMMBI mengambil ruang pelaksanaannya dulu. Usah diserabutkan lagi kepala Pak Menteri yang dah memang berserabut tu.
Sudah-sudahlah berkokok tentang PPSMI.
Dan pihak kerajaan pula, khususnya Kementerian Pelajaran, berikanlah tanda noktah muktamad untuk perbincangan soal hidup mati PPSMI. Usahlah bermain sandiwara. Usahlah berdolak-dalik atau bermain tarikh tali dalam memuktamadkan keputusan yang telah dicapai dan diambil sebelum ini. Nanti hanya jadi bahan ketawa rakyat.
(ii)
Kerajaan sudah ada banyak masalah kerana terikut-ikut dengan rentak paluan gendang politik pembangkang yang kerjanya hanya tahu membangkang. Tak ada yang molek pun pada kerajaan di mata mereka. Kerajaan pun sedang berdepan dengan sindrom sukar bertindak tegas, lebih suka (rela) menepis isu dengan membuat penafian atau memberikan penjelasan untuk meyakinkan rakyat atas semua tohmahan yang dilemparkan kepadanya. Isu BERSIH 2.0 pun nampaknya belum tuntas diatasi, malah mampu mengundang versi ketiganya pula.
Usah diteruskan sindrom itu dalam menangani isu pendidikan, iaitu ditambah dengan masalah pembuatan keputusan yang tidak tuntas tentang PPSMI.
Keputusan menggantikan PPSMI dengan MBMMBI sudahpun dibuat, meskipun belum memasuki tempoh pelaksanaannya. Bukankah keputusan itu dibuat secara sedar, matang dan bertanggungjawab oleh pihak yang berwibawa, setelah melalui beberapa fasa proses perbincangan yang melibatkan pelbagai pihak berkaitan (berkepentingan) ? Dan tentunya juga keputusan itu bukan dibuat dengan sewenang-wenangnya.
Bukankah MBMMBI yang sudah dicanangkan itu juga merupakan jalan damai pemansuhan PPSMI dan pemerkasaan P&P Bahasa Inggeris? Ada “situasi menang menang” di situ.
Sesungguhnya kita hanya kembali ke pangkal jalan setelah melakukan kekhilafan kerana ketaksuban pemimpin kita kepada Bahasa Inggeris sebagai wacana ilmu sains dan teknologi. Kita memaksakan P&P Matematik-Sains dalam bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan yang bertunjangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu.
Banyak pihak penyanjung PPSMI berhujah bahawa dengan mematikan PPSMI, kita menafikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris untuk pendidikan dan masa depan anak-anak kita.
Sesungguhnya tidak ada yang menafikan kepentingan bahasa Inggeris. Tidak ada yang hendak meminggirkan bahasa Inggeris, malah sebaliknya bahasa Inggerislah yang telah merampas dan meminggirkan peranan bahasa Melayu pada era PPSMI. Kita rela mengakui bahawa bahasa Melayu tidak mampu menjadi bahasa ilmu untuk bidang itu hanya kerana hendak memberikan laluan kepada bahasa Inggeris walaupun telah terbukti akan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di negara ini.
Demikian ghairahnya kita mengejar kemajuan dan status negara maju menjelang 2020. Demikian takutnya kita dengan momokan persaingan dan ketinggalan kerana ketidakmampuan berbahasa Inggeris (strategi yang dimanipulasi pihak tertentu yang menguasai ekonomi negara oleh ketidaktegasan kerajaan sendiri dalam memartabatkan bahasa kebangsaan) hingga meyakini bahawa bahasa itu mampu dikuasai dengan lebih baik melalui P&P subjek Matematik-Sains atau sebaliknya subjek Matematik-Sains mampu dikuasai dengan lebih baik melalui bahasa Inggeris.
Kalau demikianlah naifnya sifat kita, bukankah lebih molek diajarkan saja semua subjek di negara ini di dalam bahasa Inggeris, kecuali bahasa ibunda, termasuk Bahasa Melayu? Lupakan saja citra mendaulatkan bahasa sendiri. Lupakan saja citra bahasa jiwa bangsa. Bukankah sudah banyak pendukung PPSMI yang menyatakan bahawa “tidak akan terhakis jatidiri Melayu mereka atau tergugat kedudukan bahasa Melayu walaupun belajar dalam bahasa Inggeris”. Mudahnya bercakap.
Soalnya, bukankah penguasan bahasa Inggeris itu tidak ada kaitan langsung dengan P&P Matematik dan Sains? Selama ini isunya ialah keberkesanan atau ketidakberkesanan P&P Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah dan persekitaran yang tidak merangsangkan penggunaan bahasa Inggeris dalam kehidupan rakyat, khususnya di luar bandar.
Jadi yang perlu diperbetulkan ialah P&P Bahasa Inggerisnya dan persekitaran yang merangsang penggunaan bahasa Inggeris di luar sekolah.
Belajarlah bahasa Inggeris dengan bersungguh-sungguh dalam subjek Bahasa Inggeris. Ajarlah bahasa Inggeris dengan bersungguh-sungguh dalam subjek Bahasa Inggeris. Inilah juga yang menjadi gagasan MBMMBI dalam aspek memperkasakan Bahasa Inggeris.
Di samping itu, pertingkatkan upaya merangsang penggunaaan bahasa Inggeris di luar persekitaran sekolah dengan dokongan pelbagai pihak lain. Usah hanya berharap pada sekolah untuk memperkasakan penggunaan bahasa Inggeris di kalangan murid, apalagi di ruang lingkup kehidupan bermasyarakatnya. Inilah ruangnya untuk pelbagai pihak yang bermati-matian memperjuangkan PPSMI berperanan secara aktif dan beramal jariah memikul bertanggungjawab bersama memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid-murid kita.
Maka biarkanlah P&P Sains dan Matematik kembali berada dalam arus perdana sistem pendidikan negara yang bertunjangkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya.
(iii)
Kalau mahu juga meneruskan PPSMI, kenapa diambil keputusan memansuhkannya dulu? Kenapa mahu menggantikannya dengan MBMMBI? Kalau mahu menjadikannya “pilihan (option)” kepada pihak sekolah, bersedialah untuk memeningkan kepala para pegawai Kementerian Pelajaran, pentadbir sekolah, guru-guru dan murid-murid sendiri.
Lihatlah nanti bagaimana PIBG akan kehilangan fungsi perlembagaannya apabila menjadi kuda tunggangan pihak berkepentingan. Di banyak sekolah di negara ini, ibu bapa bukan kisah sangat dengan PIBG. Suara tulen majoriti anggotanya memang sukar diperoleh. Akhirnya yang akan naik tocang dan menggunakan kuasa memilih itu ialah peneraju kepimpinan PIBG, yang membuat keputusan dengan mengatasnamakan suara majoriti.
Melaksanakan MBMMBI dan dalam masa yang sama membenarkan PPSMI sebagai pilihan (dengan sekolah diberikan autoriti untuk membuat keputusan) dalam satu sistem pendidikan negara akan hanya menimbulkan banyak kecelaruan pentadbiran dan menyusahkan orang banyak.
Sebagai contoh, di negara ini, amat lumrah berlaku proses perpindahan seseorang murid dari satu sekolah ke sekolah yang lain kerana faktor penghijrahan keluarga. Bagaimana dengan nasib murid yang berpindah dari kelompok sekolah MBMMBI ke kelompok sekolah PPSMI? Atau sebaliknya.
Jadi, kepada kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia, berfokuslah kepada MBMMBI. Lupakan PPSMI. Pandangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di akhbar Berita Harian Online hari ini eloklah diberikan perhatian. (rujuk di SINI].
Usah biarkan isu ini terus menimbulkan tandatanya kerana berlarut-larutan dipolemikkan pihak tertentu atau menjadi bahan polemik di kalangan rakyat. Berikanlah noktah muktamad untuk PPSMI.
Rakyat juga sudah bosan dengan kemudahlenturan dan ketidaktegasan.
______________
[Untuk makluman, penulis pernah menyentuh tentang isu PPSMI ini dalam entri terdahulu seperti berikut ini:
______________
- SEORANG AKU










antar bicara