Pendekatan Pemikiran Bukan Konvensional ala Namewee
Salam hormat.
Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan pemimpin hebat yang melahirkan “Wawasan 2020″, suatu gagasan pendekatan pemikiran bukan konvensional yang memang ada kelainan.
Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak pula mencuba mengetengahkan gagasan 1Malaysia yang berslogankan “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”. Penekanannya ialah perpaduan rakyat ke arah pencapaian aspirasi Wawasan 2020.
Malangnya, berbeza daripada Wawasan 2020 yang diakui sebagai suatu gagasan pendekatan pemikiran bukan konvensional yang memang ada kelainan, bijaksana dan didukung rakyat umumnya, 1Malaysia yang murni hasratnya itu telah menjadi suatu bahan retorika politik kerana ada sebilangan rakyat yang suka mentafsirkannya mengikut versi tersendiri. Antaranya, Namewee.
(ii)
Gagasan 1Malaysia Perdana Menteri merangkumi pernyataan berikut :
Konsep 1Malaysia
1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.
Ia bukan satu dasar baru yang terpisah dari dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia.
1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan aspirasi negara, iaitu Wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.
Teras Perpaduan
1Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.
Prinsip Kenegaraan – 1Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan (dan Rukun Negara) serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia , dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.
Menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan (sosial) untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.
Nilai-nilai Murni
Ketiga-tiga Teras Perpaduan ini pula didokongi oleh nilai- nilai murni termasuk nilai-nilai berikut:
Hormat-menghormati : Hormat menghormati antara semua kaum termasuk menghormati adat resam serta budaya kaum lain. Rasa hormat ini juga menuntut kita tidak mengeluarkan kata-kata kesat tentang kaum lain dan juga tidak mempersoalkan peruntukan-peruntukan undang-undang yang menyentuh sensitiviti kaum.
Rendah hati (Tawadhuk): Rasa rendah hati atau Tawadhuk adalah perasaan insaf bahawa kita semua adalah rakyat dalam satu negara yang sama dan kita perlu hidup bersama secara harmoni. Ia juga merangkumi pengertian bahawa setiap kaum, malah setiap individu ada kelemahan dan kelebihan nya yang sendiri, dan seharusnya kita memanfaatkan kelebihan masing-masing demi untuk memperkukuhkan masyarakat dan negara.
Kesederhanaan: Ialah pendekatan sederhana dalam apa jua isu yang berbangkit. Dalam negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, tindakan atau tutur kata bersifat ekstrem tidak langsung boleh diterima kerana ia boleh membawa kepada masalah ketidakstabilan sosial yang lebih parah.
Berbudi-bahasa: Budi-bahasa ialah tuturkata dan tingkah laku yang tertib dan berpaksikan kesantunan dalam segala interaksi dan perhubungan dengan pihak lain bagi menjana kerjasama dan permuafakatan yang lebih erat.
————————————–
(ii)
Berikut ini diperturunkan pula petikan di blog ibnukhusairy.com berkaitan dengan pandangan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tentang Namewee yang menjadi fenomena kemarahan orang Melayu, dalam satu sesi pertemuan beliau dengan wartawan selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini.
Jadi, hari ni Ibnu K berpeluang bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan mahu bertanyakan kepadanya tentang Namewee ni. Ibnu K bertemu Najib selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato’ Onn di PWTC petang tadi.
Ibnu K tanya PM…
“Datuk Seri, Namewee berkali-kali menyuarakan hasratnya untuk bertemu dengan Datuk Seri tapi masih belum ada maklum balas daripada Datuk Seri, apa pendapat Datuk Seri berkenaan Namewee??
Jawapan Perdana Menteri
“Bagi Namewee dan pihak lain yang betul menyokong 1Malaysia, yang penting sekali baginya ialah menyokong apa yang sedang kita lakukan untuk negara ini, saya difahamkan beliau merupakan penyokong kuat kepada Gagasan 1Malaysia.
“Saya menggalakkan beliau untuk terus memberi segala pandangan beliau melalui cara-cara lain seperti penerbitan filem dan sebagainya yang mencerminkan sokongan kepada Gagasan 1Malaysia,” kata PM Najib Razak
Ibnu K tanyakan lagi..
“Tetapi Datuk Seri, bagaimana dengan video Namewee sebelum ini yang banyak menggunakan perkataan mencarut dan kesat?,”
Jawapan Perdana Menteri
“Saya tak nak beri komen, tapi sebab mereka ini masing-masing ada kelainannya, Namewee merupakan seorang yang ada kelainan dia dan bukanlah seorang yang konvensional dari segi pendekatan pemikirannya,” kata beliau.
[Sumber : Blog ibnukhusairy.com]
Atau lebih jelas melalui klip video berikut ini:
(iii)
Kemusykilan penulis ialah :
Kata DS Mohd. Najib, “...saya difahamkan beliau merupakan penyokong kuat kepada Gagasan 1Malaysia”. Apa maknanya “saya difahamkan” itu? Mudah sangat nampaknya untuk beliau difahamkan dan menerima saja apa-apa yang difahamkan itu.
Siapa agaknya manusia yang memahamkan DS Mohd. Najib tentang sokongan kuat Namewee itu terhadap 1Malaysia?
Faham ke Namewee dengan konsep 1Malaysia versi DS Mohd. Najib yang kononnya disokong kuat olehnya itu? Atau Namewee cuma faham 1Malaysia versi Namewee sendiri?
Faham ke- Namewee tentang konsep prinsip keadilan sosial yang dibawakan oleh 1Malaysia DS Mohd. Najib?
Faham ke- Namewee dengan nilai-nilai murni yang mendukung teras perpaduan yang menunjangi Gagasan 1Malaysia? Faham ke- Namewee akan maksud hormat menghormati, kesederhanaan dan berbudi bahasa ?
Kalau Namewee faham, bagaimana boleh timbul kata-kata kesat, tutur kata yang bersifat ekstrem, dan tuturkata dan tingkah laku yang (tidak) tertib dan (tidak) berpaksikan kesantunan (dalam segala interaksi dan perhubungan dengan pihak lain) di dalam klip-klip video ciptaannya?
Sesungguh-sungguhnya sudah ke- DS Mohd. Najib melihat, menghalusi dan menilai sendiri semua klip video ciptaan Namewee hingga beliau tidak mahu (mampu) memberikan komentar tetapi dalam masa yang sama menggalakkan Namewee untuk terus memberikan pandangan melalui caranya sendiri, dengan kelainannya, dan dengan pendekatan pemikiran bukan konvensionalnya, asalkan mencerminkan sokongan kepada gagasan 1Malaysianya?
Mengungkapkan pandangan dengan cara Namewee sendiri, meskipun melalui bahasa yang kesat, bersifat ekstrem, tidak tertib dan tidak berpaksikan kesantunan sebagaimana jelas terpapar dalam setiap klip videonya itu? Molekkah begitu? Astaghfirullahal’azim…
Sedar ke- DS Mohd. Najib bahawa manusia Namewee ini sudah memiliki banyak pendukung fanatik klip-klip video ciptaannya? Beliau juga nampaknya manusia sombong yang mudah melenting dan tidak boleh ditegur langsung. Beginikah nilai peribadi penyokong kuat 1Malaysia?
Tidak khuatirkah DS Mohd. Najib akan kelahiran banyak lagi idea kreatif maki hamun yang diinspirasikan oleh ‘kehebatan’ Namewee ini, oleh mereka yang mendukung Namewee dan yang membenci Namewee (dan menambahramaikan bilangan rakyat muda yang akhirnya turut membenci kerajaan dan membuktikannya melalui peti undi pilihanraya, semata-mata kerana isu Namewee)?
DS Mohd. Najib Tun Razak bolehlah mencermati “kehebatan” manusia Namewee “penyokong kuat” (?) gagasan 1Malaysia ni melalui tulisan di blog NOTAKANAN yang berjudul “Karya-karya Agung Namewee…”.
(iv)
Dalam entri ini, penulis membuat argumentasi tentang pemahaman konsep 1Malaysia hanya bersandarkan klip-klip video ciptaan Namewee. Kalau benar-benar Namewee telah berubah menjadi penyokong kuat 1Malaysia versi sebenarnya sebagaimana ingin dibuktikan melalui penerbitan filem “Nasi Lemak 2.0″nya, eloklah. Ini kerana penulis tidak menemukan apa-apa yang beliau fahami tentang prinsip keadilan sosial (yang dicerna dalam Gagasan 1Malaysia itu) di dalam klip-klip video beliau. Jauh sekali nilai-nilai murni hormat menghormati, kesederhanaan dan berbudi bahasa.
“Talentime” dan “Estet” juga mengungkapkan Gagasan 1Malaysia. Tapi tidak heboh macam upaya pembikinan 1Malaysia “Nasi Lemak 2.o”. Berbeza ke ketiga-tiga filem itu? Oh, tentulah berbeza. Yang satu ini mampu membawa pengarahnya sampai ke Parlimen. Dan mungkin sampai ke PM juga.
Ya. Memang ada kelainan. Memang pendekatan pemikiran bukan konvensional.
Mudahnya berkata-kata.
___________________________________
- SEORANG AKU










antar bicara