Demam Pilihanraya Umum
Hmmm, nampak gayanya pilihanraya umum ke-13 memang udah dekat. Udah dekat benor. Sedekat mana, Perdana Menteri saja yang tahu. Tapi demamnya udah terasa benor, dah lama juga. Dah banyak sangat orang politik yang demam, dan ada yang demamnya bukan sebarang demam, tapi demam campur mengidam sekali. Gawat tu.
Jumaat lalu, PM bentangkan belanjawan negara 2012. Sungguh-sungguh mengujakan rakyat banyak. Bertambahlah usia para penjawat awam. Bertambahkan juga emolumen penjawat awam. Rezeki pilihanraya, kot. Cikgu-cikgu pun tentu senang hati mendengarnya. Mudah-mudahan begitu.
Memang banyak yang berkata, jujur atau sinis, itulah “belanjawan pilihanraya”. Maksudnya, budget kerana menjelang pilihanraya. Memancing hati rakyat. Apapun maksudnya, bersyukurlah!
Agaknya DS Mohd. Najib Tun Razak kita masih terus membelek-belek cermin ajaibnya mengintai ilham daripada para penasihat setianya, bila agaknya waktu yang tepat untuk memalu gong genderang perang politiknya. Maklumlah, perang kali ini bukan sebarang perang. Perang hidup mati, antara pemerintah dengan yang hendak memerintah.
Cuma, yang tak cantiknya, yang tak seronoknya, bunga-bunga perang yang dicambahkan, dan dipasubungakan kat kaca TV, kat akhbar arus perdana, kat akhbar arus tak perdana dan kat media baru tak menyegarkan mata yang memandang, otak yang melilau berfikir dan perasaan yang jadi berkecamuk.
Hebatnya demam PRU ke-13.
________________________
- SEORANG AKU










antar bicara