Archive

Archive for the ‘Bait’ Category

Sukarnya Memaksakan Pilihan

October 6, 2011 Leave a comment

Salam hormat,

Bila beduk diketuk mengaturkan janji di pentas ibadah, itulah isyarat untuk bersegera melangkahkan kakimu, tanggungjawab yang takbisa ditawar atau tertunda oleh nikmat kepastian dan yakindiri. Engkau cuma makhluk milik-Nya.

Memang demikian fitrahnya. Kecuali yang alpa.

(ii)

Bila kibaran bendera mencaturkan pilihan di pentas terbuka, itulah juga isyarat untuk bersegera melangkahkan kakimu, tanggungjawab yang takbisa tertunda, tapi masih juga bisa ditawar oleh ketidakpastian sang ragu-ragu. Engkau bukan budak mereka.

Memang sukar memaksakan pilihan. Bila engkau tiada pilihan.

___________________________

- SEORANG AKU

Menjelang 16 Mei: Apa Khabar Cikguku?

May 12, 2011 1 comment

Salam hormat,

Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara

Untuk semua pendidik dinamai guru,
atau panggilan molekmesranya – cikgu,
selamat menyambut Hari Guru!
 

 
Semoga kalian terus dikurniakan
kekuatan iman insan ilmuan cendekiawan,
kekuatan rasa kepatuhan dan pertanggungjawaban
kekuatan rasa cekal tabah dan sabar,
kekuatan daya tekun gigih dan dedikasi
kekuatan daya fikir imaginatif kreatif dan inovatif,
kekuatan nikmat mendidik membimbing mengasuh menunjukajar
kekuatan nikmat mengasihi dan mengasihani
kekuatan nikmat keihlasan jujur dan setiakawan.
 
(ii)
 
Apa khabar cikgu-cikguku
aku pernah berguru bersamamu
aku pernah berguru denganmu!
 
Apa khabar Cikgu Salamon, Cikgu Masdar, Cikgu Ghani, Cikgu Zaiton
apa khabar Cikgu Nasuha, Cikgu Yahya, Cikgu Azizah, Cikgu Osmirah,
Cikgu Baghauan dan Cikgu Tamilvanthan juga.
 
Apa khabar Cikgu Manaf, Cikgu Juhair, Cikgu Zulkifli, Cikgu Buni
apa khabar Cikgu Mohd. Amin, Cikgu Abu Talib, Cikgu Bahrom, Cikgu Saadiah,
Cikgu Saron dan Cikgu Misron juga.
 
Apa khabar Cikgu Majlah, Cikgu Warda
dan apa khabar cikgu-cikgu PG2
Cikgu Nihayatun, Cikgu Sanisah, Cikgu Sukor, Cikgu Hasnah,
Cikgu Surieyani, Cikgu Rubiah, Cikgu Ruziyah, Cikgu Muslimah,
Cikgu Engku Ainun, Cikgu Ramlah, Cikgu Faridah Hanim, Cikgu Hafidzah,
Cikgu Nur Liana, Cikgu Derea, Cikgu Hamzah, Cikgu Faizah,
Cikgu Syukriah, Cikgu Noraini, Cikgu Fauziah, Cikgu Noramizah,
Cikgu Mulia, Cikgu Mahani, Cikgu Hamizah, Cikgu Maimunah, 
jua yang lainnya, maaf,  tidak tersebutkan nama.
 
Di mana pun kalian,
sedang menikmati musim istirahat bernama persaraan
atau masih bermain ombak badai di segara pendidikan,
salam perjuangan berterusan
salam kesejahteraan berpanjangan
ucapan Selamat Hari Guru moga diperkenan!
 
______________________

ikhlas daripada

- SEORANG AKU

Seorang Guru Itu

April 5, 2011 Leave a comment

 

Salam hormat,

Belasungkawa
Anakanda Saiful Syazani Saiful Sofidee, 7 tahun
[Daripada Allah SWT kita datang, kepadaNya kita kembali...
Al-Fatihah]

—————————–

 

SEORANG GURU ITU

Berulang lagi
berulang lagi
kisah sedih anak-anak kesayangan
pasrah terhukum deraan
keadilan yang berpaling pergi
meninggalkan pintu hati
sang guru
untuk kesekian kalinya.

(ii)

Seorang guru itu
penunjuk cinta kasih sayang
penanda ehsan timbang keadilan
dengan fikir jernih matang
dengan emosi teduh berpadan
lalu diamanahkan anak-anak titipan Tuhan
menyemai subur benih kasih ibu bapa.

Anak-anak memang fitrahnya demikian
rona putih hitamnya di genggaman ibu bapa
rasa ingin, cemburu dan keliru bercambah tiap waktu
jadi nakal kadang-kadang tidak bersempadanan,
lalu atas nama pertanggungjawaban
melakarkan ilmu akalbudi santun beradab
demikianlah seorang guru itu
dunianya melangir pelangi kehidupan anak-anak
di kanvas putih bersih sekolah
tulus menerima seikhlasnya seadanya.

(iii)

Telah engkau engkari ikrar setia
mengangkat darjat guru pemimpin warisan bangsa
mendidik menghukum
dengan hujah sempurna neraca akal bijaksana
dalam batas kuasa dan undang-undang pelindungnya
bukan mengikut telunjuk rasa amarah, dendam dan kecewa
bersarang kukuh mencengkam nurani
kemanusiaan sejati.

Telah engkau khianati setiakawan
memaknakan sebuah pengorbanan sepanjang zaman
maruah mulia sebuah profesion ternama.

 

___________________

- AWAYZHA

 

 

Daun yang Jatuh Berguguran

March 27, 2011 2 comments

Salam hormat,

Apa khabar pemimpin negeri
berkulatkah sudah tanjak penghias kepala
tak terjunjung lagi meski mentari membakar minda
pernah kaupakai sekali tapi disimpan kembali
ada Mendaliar tersenyum sinis menongkah mimpi
dan aku tak bisa lagi mengharap
keramat sembah bestarimu.

Apa khabar pemimpin negeri
berkaratkah sudah keris bersalut di pinggang
tak terhunus lagi meski masih di medan juang
pernah kauhunus sekali tapi disarung kembali
ada Kaduk naik junjungan terguris hati
dan aku tak bisa lagi mengharap
semangat kental pahlawanmu.

Apa khabar pemimpin negeri
layukah sudah bunga harum terselit di telinga
tak berseri lagi meski pawana setia menghembus lirih
pernah kauhidu sekali tapi wanginya memang tak seharum kasturi
ada Kitul menyuntingnya untuk seberkas janji
aku takbisa lagi mengharap
setia janji manismu.

(ii)

Berada di lapangan terbuka yang engkau pasrahkan
kering keringatmu tidak lagi
membasahi bumi pertiwi
aku jadi keletihan mengutip
dedaunan kering di halaman
hujan dan angin kerap mengusirnya
berserakan dan terpinggir
gersang di bawah mentari merahmu.

Pepohonan tua pun tak bisa menepis
tajamnya rintik hujan
dan angin badai yang berpuput manis
menghunjam dedaunan muda,
daun yang jatuh berguguran
yang takpernah membenci
hujan dan angin.

(iii)

Hari ini aku begitu sedih, sedih sekali
berbangsa tanpa jiwa bahasa pemberani
meski dilangir disolek dengan manifesto cantik
terpinggir jua sebenarnya di hati nurani
sang pemimpin penjaga amanah
yang lolongnya bergema meremang suasana
perit di hati rakyat biasa
di kolong jambatan di gubuk buruk
di desa terceruk.

_________________________________

-  SEORANG AKU

Tidak Terganggukah Kilas Pandangan?

March 21, 2011 Leave a comment

Salam hormat,

 

Saban hari, menggunakan jalan raya
berulang alik tanpa jemu atau jerah
dari rumah ke tempat kerja kembali ke rumah
atau sekali sekali bercuti
ke ibu kota atau melawat sanak saudara di desa.

Tidak terganggukah kilas pandangan ini
melihatmu setia termangu di depan mata
sedang kenderaan pelbagai ragam memecut laju
meminta perhatianku.

 

(ii)

Saban hari, menggunakan jalan raya
berulang alik tanpa jemu atau jerah
dari rumah ke tempat kerja kembali ke rumah
atau sekali sekali bercuti
ke ibu kota atau melawat sanak saudara di desa.

Tidak terganggukah kilas pandangan ini
melihat engkau setia menunggu di balik kamera
merakam kenderaan pelbagai ragam memecut laju
meminta perhatianmu.

 

(iii)

Demikianlah hari-harinya
kilas pandangan ini merakam aksi
cerobohnya anak negeri di jalan raya
terpejam mata memadam papan tanda
ikut kiri jika tidak memotong atau had laju 110 km
memandu berbahaya memotong tanpa berkira
atau melanggar lampu isyarat merah
ketika aku sendiri patuh mengalah.

Dan hari ini berita di akhbar arus perdana
terungkap jawapan menteri kepada seteru politiknya
di  Dewan Rakyat mulia;
“Polis kutip RM476.6 juta bayaran saman trafik”
setelah berlama-lama bersabar mengundur waktu,
demikian hebatnya – harga nikmat kesetiaanmu.

Ironisnya
blog biasa pengamat politik negara
mengungkap bicara sinis tetapi manis dibaca
tentang projek himpun duit pesalah trafik negara
sumber lumayan pendapatan negara,
tentang terkutiplah untung atas angin berjuta -juta
kerana saman ekor polisnya
tentang penguatkuasa didesak lebih bertimbangrasa
atau undinya nanti
berpaling arah ketika pilihanraya.

 

(iv)

Meski pernah tersinggung dan malu
oleh biasan lensa kamera yang pernah keliru,
aku ini pemandu setia dan pasrah
pendukung ikhtiar murni membaikpulih sikap berhemah
meski kerap diperlekeh dan tersinggung
oleh rakan pemandu tak beradab lagi sombong.

Aku jadi lebih senang memastikan
kilas pandangan ini
terus melihatmu setia termangu di depan mata
daripada terus terganggu
melihat engkau tersiksa menunggu di balik kamera.

 

——————————————-

SEORANG AKU

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.