Archive

Archive for the ‘Bermain Di Fikiran’ Category

Polemik PPSMI: Berikan Laluan Kepada MBMMBI

November 1, 2011 1 comment

Salam hormat,

Ada pihak macam gila talak dengan pemansuhan PPSMI. Mereka mahu PPSMI dikembalikan semula atau sekolah diberikan kuasa autonomi untuk memilih – melaksanakan PPSMI atau MBMMBI. Lalu didatangkan kajian mereka sendiri untuk mengesahkan kebenaran dakwaan mereka. Lalu diupayakan petisyen secara online melalui laman web dan blog penyokong-penyokong mereka untuk meraih sokongan rakyat. Lalu didatangkan idea untuk dibuat referandum di kalangan rakyat untuk menyokong kebenaran dakwaan mereka. Dan sudah ada suara sumbang yang mengaitkan desakan itu dengan peti undi dalam PRU ke-13 sekiranya kerajaan tidak memenuhi keinginan mereka.

Mereka seolah-olah mahu sekolah di negara ini boleh diurus mengikut selera dan telunjuk pihak berkepentingan atas nama kehendak majoriti ibu bapa atau rakyat.

Demikian hebatnya desakan mereka. Demikian taksubnya mereka dengan bahasa Inggeris. Demikian ghairahnya mereka dengan kepentingan masadepan anak bangsa, hanya melalui P&P Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, kononnya.

(ii)

Apabila PPSMI diperkenalkan, ramai yang menentangnya. Ini menyangkut soal dasar bahasa kebangsaan, dan sistem pendidikan negara. Tapi, PPSMI diteruskan juga, dan takada pula upaya berbaur ugutan kepada kerajaan untuk memenuhi kehendak penentang PPSMI. PPSMI diberikan ruang untuk diteruskan, dan dikaji kelangsungannya.

Sekarang kerajaan yang sama, dengan kepimpinan yang berbeza, melalui Kementerian Pelajaran khususnya, telah memutuskan untuk menamatkan PPSMI dan melaksanakan gagasan MBMMBI. Maka berikan ruang dan peluang untuk MBMMBI berlangsung dan membuktikan keupayaannya.

Mengapa mesti disanggah sedemikian rupa? Usah jadikan agenda peribadi sebagai agenda nasional. Apatah lagi kalau mengaitkannya dengan peti undi. Soal menggunakan peti undi sebagai tanda protes amat tidak relevan kerana peti undi itu bukan milik penyokong PPSMI saja. Itu bukan tindakan bijaksana. Berkemungkinan juga hal sebaliknya boleh berlaku (sekiranya PPSMI diteruskan atau dijadikan pilihan setelah diputuskan untuk tidak diteruskan).

Menteri Pelajaran telah menegaskan pendirian kerajaan tentang pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan MBMMBI. Hormati keputusan itu. Serahkan saja soal pendidikan kepada pihak yang arif dalam pendidikan.

Kepimpinan politik negara juga sewajarnya bertegas, sebagaimana ketegasan ketika melaksanakan PPSMI dulu. Ketidaktegasan dan membenarkan campurtangan orang politik berkepentingan atau pihak-pihak yang cenderung mempolitikkan isu ini akan hanya mengeruhkan keadaan dan lebih memburukkan imej kerajaan sendiri.

(iii)

Tulisan tentang PPSMI banyak juga ditemukan di blog KEMBARA BAHASA.

Ini tulisan saya kali ke empat tentang PPSMI.

Sebagaimana kata Pengerusi GPMS Kedah, polemik PPSMI hanya membuang masa [DI SINI], semoga kita kembali waras daripada cengkaman ketaksuban terhadap kemajuan kosmetik sebuah negara berdaulat dan merdeka.

_____________________

- SEORANG AKU

PPSMI : Berikan Noktah Untuk Polemik Ini

September 24, 2011 Leave a comment

Salam hormat,

setengah berisi setengah kosong

PPSMI? Bukankah keputusan telah dibuat oleh kerajaan (Kementerian Pelajaran Malaysia)? Mengapa masih mahu didebatkan lagi? Mengapa masih mendesak? Biarlah MBMMBI mengambil ruang pelaksanaannya dulu. Usah diserabutkan lagi kepala Pak Menteri yang dah memang berserabut tu.

Sudah-sudahlah berkokok tentang PPSMI.

Dan pihak kerajaan pula, khususnya Kementerian Pelajaran, berikanlah tanda noktah muktamad untuk perbincangan soal hidup mati PPSMI. Usahlah bermain sandiwara. Usahlah berdolak-dalik atau bermain tarikh tali dalam memuktamadkan keputusan yang telah dicapai dan diambil sebelum ini. Nanti hanya jadi bahan ketawa rakyat.

(ii)

Kerajaan sudah ada banyak masalah kerana terikut-ikut dengan rentak paluan gendang politik pembangkang yang kerjanya hanya tahu membangkang. Tak ada yang molek pun pada kerajaan di mata mereka. Kerajaan pun sedang berdepan dengan sindrom sukar bertindak tegas, lebih suka (rela) menepis isu dengan membuat penafian atau memberikan penjelasan untuk meyakinkan rakyat atas semua tohmahan yang dilemparkan kepadanya. Isu BERSIH 2.0 pun nampaknya belum tuntas diatasi, malah mampu mengundang versi ketiganya pula.

Usah diteruskan sindrom itu dalam menangani isu pendidikan, iaitu ditambah dengan masalah pembuatan keputusan yang tidak tuntas tentang PPSMI.

Keputusan menggantikan PPSMI dengan MBMMBI sudahpun dibuat, meskipun belum memasuki tempoh pelaksanaannya. Bukankah keputusan itu dibuat secara sedar, matang dan bertanggungjawab oleh pihak yang berwibawa, setelah melalui beberapa fasa proses perbincangan yang melibatkan pelbagai pihak berkaitan (berkepentingan) ? Dan tentunya juga keputusan itu bukan dibuat dengan sewenang-wenangnya.

Bukankah MBMMBI yang sudah dicanangkan itu juga merupakan jalan damai pemansuhan PPSMI dan pemerkasaan P&P Bahasa Inggeris? Ada “situasi menang menang” di situ.

Sesungguhnya kita hanya kembali ke pangkal jalan setelah melakukan kekhilafan kerana ketaksuban pemimpin kita kepada Bahasa Inggeris sebagai wacana ilmu sains dan teknologi. Kita memaksakan P&P Matematik-Sains dalam bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan yang bertunjangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu.

Banyak pihak penyanjung PPSMI berhujah bahawa dengan mematikan PPSMI, kita menafikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris untuk pendidikan dan masa depan anak-anak kita.

Sesungguhnya tidak ada yang menafikan kepentingan bahasa Inggeris. Tidak ada yang hendak meminggirkan bahasa Inggeris, malah sebaliknya bahasa Inggerislah yang telah merampas dan meminggirkan peranan bahasa Melayu pada era PPSMI. Kita rela mengakui bahawa bahasa Melayu tidak mampu menjadi bahasa ilmu untuk bidang itu hanya kerana hendak memberikan laluan kepada bahasa Inggeris walaupun telah terbukti akan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di negara ini.

Demikian ghairahnya kita mengejar kemajuan dan status negara maju menjelang 2020. Demikian takutnya kita dengan momokan persaingan dan ketinggalan kerana ketidakmampuan berbahasa Inggeris (strategi yang dimanipulasi pihak tertentu yang menguasai ekonomi negara oleh ketidaktegasan kerajaan sendiri dalam memartabatkan bahasa kebangsaan) hingga meyakini bahawa bahasa itu mampu dikuasai dengan lebih baik melalui P&P subjek Matematik-Sains atau sebaliknya subjek Matematik-Sains mampu dikuasai dengan lebih baik melalui bahasa Inggeris.

Kalau demikianlah naifnya sifat kita, bukankah lebih molek diajarkan saja semua subjek di negara ini di dalam bahasa Inggeris, kecuali bahasa ibunda, termasuk Bahasa Melayu? Lupakan saja citra mendaulatkan bahasa sendiri. Lupakan saja citra bahasa jiwa bangsa. Bukankah sudah banyak pendukung PPSMI yang menyatakan bahawa “tidak akan terhakis jatidiri Melayu mereka atau tergugat kedudukan bahasa Melayu walaupun belajar dalam bahasa Inggeris”. Mudahnya bercakap.

Soalnya, bukankah penguasan bahasa Inggeris itu tidak ada kaitan langsung dengan P&P Matematik dan Sains? Selama ini isunya ialah keberkesanan atau ketidakberkesanan P&P Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah dan persekitaran yang tidak merangsangkan penggunaan bahasa Inggeris dalam kehidupan rakyat, khususnya di luar bandar.

Jadi yang perlu diperbetulkan ialah P&P Bahasa Inggerisnya dan persekitaran yang merangsang penggunaan bahasa Inggeris di luar sekolah.

Belajarlah bahasa Inggeris dengan bersungguh-sungguh dalam subjek Bahasa Inggeris. Ajarlah bahasa Inggeris dengan bersungguh-sungguh dalam subjek Bahasa Inggeris. Inilah juga yang menjadi gagasan MBMMBI dalam aspek memperkasakan Bahasa Inggeris.

Di samping itu, pertingkatkan upaya merangsang penggunaaan bahasa Inggeris di luar persekitaran sekolah dengan dokongan pelbagai pihak lain. Usah hanya berharap pada sekolah untuk memperkasakan penggunaan bahasa Inggeris di kalangan murid, apalagi di ruang lingkup kehidupan bermasyarakatnya. Inilah ruangnya untuk pelbagai pihak yang bermati-matian memperjuangkan PPSMI berperanan secara aktif dan beramal jariah memikul bertanggungjawab bersama memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid-murid kita.

Maka biarkanlah P&P Sains dan Matematik kembali berada dalam arus perdana sistem pendidikan negara yang bertunjangkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya.

(iii)

Kalau mahu juga meneruskan PPSMI, kenapa diambil keputusan memansuhkannya dulu? Kenapa mahu menggantikannya dengan MBMMBI? Kalau mahu menjadikannya “pilihan (option)” kepada pihak sekolah, bersedialah untuk memeningkan kepala para pegawai Kementerian Pelajaran, pentadbir sekolah, guru-guru dan murid-murid sendiri.

Lihatlah nanti bagaimana PIBG akan kehilangan fungsi perlembagaannya apabila menjadi kuda tunggangan pihak berkepentingan. Di banyak sekolah di negara ini, ibu bapa bukan kisah sangat dengan PIBG. Suara tulen majoriti anggotanya memang sukar diperoleh. Akhirnya yang akan naik tocang dan menggunakan kuasa memilih itu ialah peneraju kepimpinan PIBG, yang membuat keputusan dengan mengatasnamakan suara majoriti.

Melaksanakan MBMMBI dan dalam masa yang sama membenarkan PPSMI sebagai pilihan (dengan sekolah diberikan autoriti untuk membuat keputusan) dalam satu sistem pendidikan negara akan hanya menimbulkan banyak kecelaruan pentadbiran dan menyusahkan orang banyak.

Sebagai contoh, di negara ini, amat lumrah berlaku proses perpindahan seseorang murid dari satu sekolah ke sekolah yang lain kerana faktor penghijrahan keluarga. Bagaimana dengan nasib murid yang berpindah dari kelompok sekolah MBMMBI ke kelompok sekolah PPSMI? Atau sebaliknya.

Jadi, kepada kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia, berfokuslah kepada MBMMBI. Lupakan PPSMI. Pandangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di akhbar Berita Harian Online hari ini eloklah diberikan perhatian. (rujuk di SINI].

Usah biarkan isu ini terus menimbulkan tandatanya kerana berlarut-larutan dipolemikkan pihak tertentu atau menjadi bahan polemik di kalangan rakyat. Berikanlah noktah muktamad untuk PPSMI.

Rakyat juga sudah bosan dengan kemudahlenturan dan ketidaktegasan.

______________

[Untuk makluman, penulis pernah menyentuh tentang isu PPSMI ini dalam entri terdahulu seperti berikut ini:

______________

- SEORANG AKU

Sindrom Mengejar Kecemerlangan dan Menafikan Hak Murid

September 21, 2011 Leave a comment

Salam hormat,

Cerita penafian hak murid untuk menduduki peperiksaan awam nampaknya masih belum menemui titik penyudahnya. Apa yang berlaku kepada tiga orang murid calon UPSR di SK Bandar Bintangor (Sarawak) itu merupakan lanjutan rentetan peristiwa tidak wajar yang pernah juga berlaku di sekolah -sekolah lain di negara ini sebelumnya.

Hal seperti ini bukan saja mengundang isu (kritikan) di kalangan anggota masyarakat, malah mampu mengundang padah kepada pihak pengurusan sekolah yang terlibat. [rujuk di SINI dan di SINI].

Alasan paling mudah diberikan oleh pihak yang melakukannya adalah untuk memastikan prestasi sekolah tidak terjejas oleh kehadiran calon peperiksaan yang lemah dan bermasalah dalam akademik dan dalam disiplin. Andaiannya ialah bahawa menduduki atau tidak menduduki peperiksaan tidak membawa apa-apa makna kepada pencapaian golongan murid sedemikian rupa, tetapi kehadiran dan kegagalan mereka nanti amat menyesakkan nafas pemimpin sekolah berkenaan.

Demikianlah kecelaruan pemikiran dan pola perlakuan sebilangan (segelintir) pemimpin pendidikan di sekolah-sekolah di negara ini dalam mendepani isu kecemerlangan akademik. Hakikat bahawa pendidikan bukan semata-mata untuk kecemerlangan akademik mungkin tidak mendapat tempat di sanubari mereka.

(ii)

Kecelaruan sedemikian rupa bukanlah tidak berasas.

Kelangsungan peristiwa menyedihkan ini dalam lipatan sejarah pembangunan pendidikan negara kita sesungguhnya merupakan manifestasi sumbang keghairahan persaingan mengejar kecemerlangan akademik di kalangan pihak sekolah dalam upaya mempertaruhkan nama baik sekolah masing-masing di mata pegawai atasannya dalam pengurusan sistem pendidikan negara.

Meskipun telah dilafazkan perubahan wacana pemikiran pemimpin pendidikan negara untuk tidak lagi membanding-bandingkan pencapaian sekolah dalam peperiksaan awam, namun bukan cerita mustahil bahawa sekolah-sekolah yang memperoleh prestasi yang tidak menyenangkan hati para pembesar pendidikan daerah dan negeri, yang menyumbang kepada penurunan prestasi akademik dan ‘ranking’ di peringkat daerah dan negeri, akan berdepan dengan situasi post-mortem banding-beza yang berbaur seruan-sindiran ke arah menyalahkan pihak sekolah kerana kegagalan meningkatkan prestasi sekolah masing-masing dalam peperiksaan.

Ungkapan-ungkapan seperti “Apa yang pihak sekolah buat? Cikgu-cikgu tak mengajar ke-? Guru Besar tak memantau ke-? Apa program yang telah dirancang dan dilaksanakan untuk murid yang lemah? Kenapa tidak melaksanakan program yang dapat meninggalkan impak ke arah peningkatan prestasi?” amat lumrah dilontarkan untuk setiap isu menurunnya atau tidak meningkatnya prestasi sekolah bagi setiap subjek yang diajarkan di sesebuah sekolah.

Dalam sistem yang mengkotak-kotakkan sekolah ke dalam kategori yang pelbagai, atas nama kecemerlangan pendidikan, baik di peringkat nasional mahupun di peringkat daerah, dengan murid berkebolehan tinggi dijauhkan daripada sekolah biasa kerana kecemerlangannya dan ditempatkan di sekolah-sekolah pilihan di semua peringkat pendidikan, para pemimpin dan guru sekolah biasa (tidak berjenama) akan kerap mewarisi nilai kewalahan, serba tidak kena, tertekan, kecewa dan tersinggung kerana hanya memiliki sebilangan besar kelompok murid sederhana, kurang atau tidak cemerlang yang dimintausahakan supaya mencapai keputusan yang memuaskan hati semua pihak.

Situasi begini jika tidak digarap dengan kepala dingin, tenang, berhemah dan bijaksana, malah dikelabui pula oleh emosi takutkan kegagalan atau sindrom mengejar kecemerlangan, akan mendorong kepada kemungkinan tumbuhnya pemikiran dan pola perlakuan pemimpin dan guru sekolah yang tidak wajar kepada muridnya sendiri seperti diberhentikan persekolahan sebelum tiba waktu peperiksaan, dirangsang supaya tidak hadir pada waktu peperiksaan awam, dihalang menduduki peperiksaan, dan sebagainya.

(iii)

Semoga kejadian yang menimpa murid yang tinggal di rumah panjang Ulu Sungai Janting, Sarawak ini menjadi titik hitam terakhir dalam sejarah pendidikan negara kita. Pendidikan itu bukan hanya untuk peperiksaan. Pendidikan itu bukan hanya untuk mereka yang cemerlang. Pemerolehan pendidikan itu, termasuk menduduki peperiksaan (yang hadir di dalam sistemnya), merupakan hak istimewa murid yang tidak boleh diganggu gugat, walau apa pun status pencapaian akademik mereka. Yang penting, berusahalah sebaik (semaksimum) mungkin, berdoalah dan kemudian berserahlah kepada Allah swt.

Setiap sekolah memang perlu mengusahakan atau mengejar kecemerlangan. Pun begitu, usahlah terperangkap dengan sindrom mengejar kecemerlangan hingga sampai menafikan hak murid.

________________________

- SEORANG AKU


Belajarlah Menghargai Sejarah

May 13, 2011 1 comment

Salam hormat,

Sungguh malang apabila sejarah tidak dihargai. Apabila fakta sejarah dimanipulasi. Apalagi tidak dimanfaatkan demi kesejahteraan rakyat seluruhnya.

(ii)

Hari ini 13 Mei.

42 tahun lalu, tarikh ini mematri peristiwa hitam dalam sejarah negara. Sejarah perpaduan negara. Sejarah politik perkauman negara.

Dan sejarah hitam ini semoleknya dipadamkan daripada ingatan seluruh rakyat Malaysia, kecuali hikmah dan iktibarnya. Dan antara iktibarnya ialah untuk tidak bermain api perkauman. Tanpa menghayati mesejnya, kita akan hanya mengulangi kesilapan yang sama.

Lupakan 13 Mei. Tapi usah sekali-kali dilupakan upaya menghindarinya.

Berlaku jujurlah dalam menyepakati kelangsungan kehidupan berbilang kaum di negara ini dan menyayanginya. Atas kapasiti parti politik apa pun. Atas kapasiti pertubuhan NGO apa pun. Baik parti kerajaan atau parti pembangkang, atau kelompok NGO, para pemimpinnya sama-sama bertanggungjawab dalam menentukan hidup mati negaranya.

Berlaku jujurlah. Dan usahlah bermuka-muka, bertalam dua muka atau bersikap telunjuk lurus kelingking berkait.

Fahami sejarah. Terimalah hakikat sejarah. Berhujahlah secara rasional, adil, bijaksana dan beradab dalam konteks kebenaran sejarah. Bukan mengadudomba rakyat dengan pelbagai karenah politik demi meraih kuasa. Bukan sentiasa menimbulkan provokasi untuk kepentingan kelompok sendiri. Usah ditafsirkan kehendak murni perlembagaan negara menurut selera sendiri. Sekadar contoh, soal agama rasmi, soal bahasa rasmi, soal kedaulatan raja, soal hak istimewa dan soal kerakyatan adalah antara soal sensitiviti yang menimbulkan kemarahan jika diperhujahkan. Jadi tidak molek diungkit dipersoal. Telah terlalu banyak yang diterima dan dikorbankan. Usahlah lagi meminta (apalagi mengugut) yang bukan-bukan atas nama keadilan, hak asasi atau kesetiakawanan - meminta biarlah berpada, beradat dan bertempat.

Orang berbudi kita berbahasa. Sesungguhnya 13 Mei memperingatkan kita tentang berharganya sebuah perpaduan tulen. [baca di sini] Bahawa perpaduan bukan pilihan. Perpaduan bukan bahan ugutan. Dan perpaduan tidak boleh ditukar ganti.

Jadi, terimalah hakikat sejarah.

(iii)

Malangnya, yang memahami sejarahnya malah tidak mahu mengambil iktibar daripadanya. Malah masih ingin bermain api sengketa. Masih ada kelompok yang ingin sangat memadamkan rakaman sejarah nenek moyang mereka di bumi berdaulat dan merdeka ini. Kerana mereka ingin membina citra pensejarahan mereka sendiri – yang baru dan berbeza – yang menafikan pengkisahan sejarah sedia ada. Atas nama keadilan rakyat sejagat.

Sesungguhnya badut politik seperti ini wajib ditunjukajarkan sejarah, semula!

Dan bagaimana pula generasi muda era selepas kemerdekaan dan anak-anak sekolahan dapat mengambil dan menghargai iktibar sejarahnya, apalagi memadamkannya, apabila sejarah ini tidak ditekuni atau langsung tidak berada di minda mereka?

Sedangkan di minda sebilangan generasi muda ini berhimpun pelbagai unsur syak wasangka yang dibiar bersarang malah dicambahsuburkan oleh sang politikus oportunis yang mengambil kesempatan atas keghairahan semangat anak mudanya demi cita-cita politik sempit mereka. Sedangkan tindaklaku badut politik dan sebilangan generasi muda ini jelas memperlekeh kebarangkalian berulangnya sejarah hitam itu. Atas nama perjuangan politik order baru.

Sesungguhnya anak-anak muda seperti ini wajib ditunjukajarkan sejarah, semula!

Dan sekolah memerlukan Guru Sejarah yang berwibawa untuk mengajarkan Pendidikan Sejarah.

(iv)

Dua tahun lalu, terungkap di blog ini :

Apalah Ertinya 13 Mei …

May 13, 2009   awayzha   Leave a comment

Salam hormat,

vaiow-small-p

Apalah ertinya 13 Mei untuk anak-anak Malaysia kita yang berada di sekolah masa kini kecuali cebisan cerita sejarah yang dibayang-bayangkan (dipersepsikan) sebagai momokan oleh orang yang sayangkan negaranya, dan sebagai cerita tidak relevan oleh orang yang buta sejarah (atau tidak mahu menerima hakikat sejarah) keberadaannya di bumi tercinta ini.

Berceritalah yang benar wahai guru-guruku !

______________________

- SEORANG AKU

Sekarang ini melalui transformasi pendidikannya, Kementerian Pelajaran Malaysia turut mengkaji semula kurikulum subjek Sejarah yang sedia ada (melalui jawatankuasa khas yang dibentuk) untuk diberikan penambahbaikan, termasuk dari segi kesesuaian kandungan dan ketepatan fakta sejarahnya. Subjek Sejarah juga akan diajarkan di Tahun 4 sekolah rendah mulai 2014 (menggantikan subjek Kajian Tempatan) dan dijadikan sebagai subjek lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia kelak.

Semoga upaya Kementerian Pelajaran Malaysia dalam memperkasakan pembelajaran subjek “Sejarah” ini akan terlaksana dengan jayanya, meski berdepan dengan pandangan negatif sebilangan politikus yang sentiasa meragui apa-apa saja yang dilakukan kerajaan kerana kepentingan politik sempit mereka.

Dan semoga kaum guru memiliki iltizam yang kuat untuk memperbetul semula persepsi tidak wajar anak-anak sekolahan tentang sejarah negaranya sendiri!

_________________________________

- SEORANG AKU

Sulitnya Memanfaatkan Filem di Bilik Darjah

May 1, 2011 Leave a comment

Salam hormat,

Dekati murid dengan hatinya.

Dunia murid dunia keseronokan. Kehidupannya penuh dengan warna warni kepelbagaian ragam dan tingkahlaku yang menggambarkan keaktifan, kegembiraan dan keceriaan. Semuanya menghiburkan.

Pengajaran-pembelajaran yang kondusif di bilik darjah menuntut penyampaian ilmu, kemahiran dan nilai dalam bentuk yang menarik tetapi memudahkan pemahaman dan penerimaan murid.

Itulah alasannya mengapa banyak guru bersengkang mata bertungkus lumus memikirkan strategi P&P, dan mempersiapkan bahan dan alat bantu mengajarnya. Dengan perencanaan strategi yang teratur dan persiapan rapi, tentulah P&P akan dapat dilaksanakan dengan penuh keyakinan. Semuanya ke arah memastikan objektif P&P subjeknya tercapai.

Sebuah P&P yang menyeronokkan tentu dapat dihasilkan apabila guru-guru turut menyerlahkan unsur kecindan sebagai senjata berkomunikasi berkesan dalam proses penyampaian P&Pnya, yang diadun pula dengan cermat ketika mengolah penggunaan bahan dan alat bantu mengajarnya.

Dalam perspektif ini jugalah filem menjadi antara pilihan bahan P&P yang disukai murid, dan amat bermanfaat untuk subjek yang memerlukan pencernaan daya fikir dan rasa melalui kaedah perbincangan, penceritaan, sumbangsaran (dan sebagainya).

(ii)

Guru memerlukan filem yang temanya relevan dan berkaitan (bersesuaian) dengan kandungan pengajaran-pembelajarannya.

Guru memerlukan adegan-adegan filem yang dapat merangsang keseronokan pembelajaran, termasuklah yang mampu membawakan mesej yang dapat diperhalusi dan dibincangkan secara akademik dengan murid-murid di bilik darjah. Adegan yang hendak dipilih itu juga perlu dicermati dari sudut penggarapan nilai budayanya, sentuhan nilai kemanusiaan dan kemasyarakatannya, pilihan diksi (dialog) dan gaya bahasanya, penampilan watak dan perwatakannya (dan sebagainya) untuk disesuaikan dengan kandungan pengajaran-pembelajarannya. Bilik darjah akan menjadi ‘platform’ murid belajar mengkritik karya seni secara sihat di bawah bimbingan guru-guru. (Semoga dengannya akan tumbuh minat untuk murid menceburi bidang kritikan filem secara serius dan bertanggungjawab. Sementelah pula dunia kritik filem di negara ini dikatakan seperti sudah berkubur. Kita ketandusan pengkritik filem).

Malangnya, tidak banyak filem kontemporari di negara ini yang dapat memikat hati guru-guru untuk dibawakan ke bilik darjah. Filem berunsur sejarah, kemanusiaan dan kemasyarakatan yang sesuai dengan citra pendidikan masih kurang dihasilkan. Teks kesusasteraan yang banyak dijadikan bahan P&P di sekolah pun tidak dapat menarik minat pihak produser untuk difilemkan.

Yang terhasil pun tidak menepati persekitaran pendidikan yang hendak kita ketengahkan. Sebagai contoh, filem yang menarik tentang dunia persekolahan menjadi tidak elok untuk dipilih kerana tidak mencontohkan imej guru yang baik dari sudut penampilannya. Plot dan latar penceritaan tentang sekolah, guru dan muridnya tidak digarap dengan cermat hingga mengabaikan sensiviti golongan pendidik dan boleh memalukan profesion keguruan kerana pentadbir dan guru digambarkan seolah-olah buta peraturan, pekeliling dan prosedur yang digunapakai di sekolah-sekolah di negara kita. Hal sebegini mungkin terjadi kerana naskhah filem disediakan oleh mereka yang tidak buat “homework” tentang ruang lingkup dunia persekolahan dan tidak pula merujuknya kepada pihak yang berwibawa. Bagaimana filem seperti ini hendak dibawa ke bilik darjah?

Dalam konteks dunia perfileman semasa, sulit didapatkan filem yang hendak dibawa ke bilik darjah tanpa banyak penyuntingan. Sulit untuk mengetengahkan filem tentang dunia perhantuan yang kini menghantui masyarakat penonton filem kita. Sulit untuk mengetengahkan filem tentang dunia gangsterisme, mat rempit, pergolakan rumah tangga atau percintaan remaja di usia muda. Kecuali guru-guru sudah bersedia untuk menjadi agen menyemarakkan budaya hedonisme – dengan keberanian mendedahkan adegan berbaur negatif lewat filem murahan yang lebih berpaksikan hiburan melulu – sebagai wacana perbincangan dengan anak muridnya.

Akhirnya, pilihan yang ada bagi guru-guru adalah mencari dan memanfaatkan filem-filem era “hitam putih” (yang sebahagiannya agak asing kepada sebilangan murid) untuk memenuhi keperluan bahan P&Pnya. Filem-filem seperti Sarjan Hassan, Bukit Kepong, Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok dan Nujum Pak Belalang lebih mudah digarap untuk tujuan P&P kerana kesesuaian adegannya yang tidak memerlukan banyak penyuntingan.

(iii)

Demikianlah sulitnya memanfaatkan filem di bilik darjah dewasa ini. Bukan sulit kerana kesukaran menggarapnya di gelanggang P&P, tetapi kerana kurangnya filem yang layak untuk di bawa ke bilik darjah dan dibedah secara berhemah daripada perspektif pendidikan, baik di peringkat sekolah menengah, apa lagi di peringkat sekolah rendah.

Demikianlah ruginya, sedangkan filem memiliki potensi yang cukup besar untuk mendekatkan murid dengan masyarakatnya, dan dengan nilai kemanusiaan sejagat – dan dihadirkan dalam suasana P&P yang pasti menyeronokkan, menghiburkan dan sekaligus mendidik.

___________________

- SEORANG AKU

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.