Archive

Archive for the ‘Mencerna Akalbudi’ Category

Kegemaran Berunjukrasa : Tuntutan Realiti vs Halusinasi

October 19, 2011 Leave a comment

Salam hormat,

Perasaan. Banyak orang mudah ikut perasaan, tidak kira siapa – daripada anak kecil kepada yang sudah tua. Tak kiralah juga apa perasaannya – daripada gembira atau sedih kepada merajuk, marah, atau takpuas hati. Itu lumrah manusia.

Namun lumrah juga bahawa semakin meningkat usia, semakin banyak yang kita pelajari tentang perasaan, termasuk kemahiran (atau kebijaksanaan) mengawal perasaan. Apalagi ketika berada di lingkungan keluarga dan di tempat kerja. Tanpa kemahiran itu, suasana perhubungan menjadi tidak harmonis, komunikasi menjadi hambar dan kalau di tempat kerja, mampu menjejaskan prestasi pekerjaan.

Yang paling mendapat tempat (perhatian), menjadi isu dan tidak disenangi banyak pihak daripada senarai perasaan tidak terkawal ialah perasaan tidak puas hati dan marah. Bayangkanlah kalau pekerja tidak puas hati dan marah dengan majikannya. Atau rakyat marah dengan pemerintah negaranya. Harubiru dibuatnya. Ditambah pula dengan keperluan zaman moden ini yang mengajarkan kita satu lagi pendekatan untuk meluahkan perasaan. Kali ini diluahkan secara beramai-ramai. Namanya, demonstrasi atau tunjukperasaan. Atau kalau ikut istilah jiran kita di seberang – unjukrasa. Dan yang paling popular ialah demonstrasi jalanan.

Pelik juga memikirkan ketaksuban manusia moden terhadap demokrasi dan hak asasinya. Dengannya  aspirasi kebebasan bersuara untuk menuntut keadilan, menegakkan atau mengembalikan hak rakyat, dan menjayakan misi reformasi diperjuangkan bermati-matian. Antara medium popular dan mudah dikendalikan ialah berunjukrasa atau berdemonstrasi.

(ii)

Di rumah, kami dapat menonton siaran televisyen tiga negara – Malaysia, Singapura dan Indonesia.   Maka saban hari aku turut menonton siaran SCTV dan RCTI dari Indonesia. (Ada tiga lagi saluran lainnya tapi jarang mendapat perhatianku). Banyak rancangan menarik di situ, termasuklah beritanya.

Antara berita yang kerap memancing perhatianku tentulah berita tentang unjukrasa. Unjukrasa boleh  dianggap sinonim dengan Indonesia. Unjukrasa membudaya dalam denyut nadi kehidupan rakyatnya, sesuai dengan sistem demokrasi pilihan mereka. Boleh dikatakan unjukrasa berlaku hari-hari di sana, yang kadang-kadang berubah polanya daripada unjukrasa aman kepada yang berunsur keganasan (anarkis) hingga sulit diamankan pihak penguasa keselamatannya.

Apa saja boleh menjadi punca unjukrasa, yang juga boleh mengarah kepada kejadian bentrokan atau tawuran – daripada isu ketidakpuashatian kepada pemerintah hingga kepada hal-hal biasa dalam masyarakat seperti kenaikan harga barang, kemalangan jalanraya, perselisihan faham antara warga kampus atau desa, tidak puas hati dengan pengadil di gelanggang sepakbola, dan sebagainya.

Pernah kuungkapkan pandangan tentang hal sedemikian dalam sebuah puisi berjudul “Hari Hari Bentrokan” (di blog RumahBambu KITA).

Secara perbandingan, di Singapura, sukar benar untuk kita mendengar berlakukan peristiwa demonstrasi ini. Dan di negara kita, demonstrasi bersifat musiman, bergantung kepada isu besar di peringkat nasional atau global. Cuma BERSIH dan BERSIH 2.0 yang nampaknya melibatkan peserta yang besar jumlahnya. Cuma kecenderungan untuk menjadikan demonstrasi jalanan sebagai wadah luahan tidakpuas hati dan amarah, atau mekanisme memburukkan kerajaan, kelihatan mula mengghairah dalam kalangan politikus pembangkang dan NGO tertentu.

(iii)

Pagi kelmarin aku menatap berita berkaitan peristiwa demonstrasi di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dengan senyum hambar kerana meyakini bahawa unjukrasa itu memang tidak memiliki kekuatan alasan munasabah untuk berunjukrasa. Malaysia didakwa melakukan pencerobohan ke atas wilayah sempadan Indonesia. Mengarut sungguh. Itu cuma sentimen kegilaan berunjukrasa.

( Baca di Utusan Malaysia Online 18 Oktober 2011. Judulnya “Dakwaan orang berhalusinasi” )

Berunjukrasa atau berdemonstrasi, apakah itu tuntutan realiti atau paksaan halusinasi? Itu persoalan yang bermain-main di benakku ekoran kenyataan Drs. Ramadhan Pohan, Penolong Setiausaha Agung Parti Demokrat berhubung peristiwa unjukrasa di Kedutaan Besar Malaysia itu.

Memang sukar diragukan bahawa dalam kebanyakan demonstrasi, banyak yang terlibat itu hanyalah pak turut yang sengaja didatangkan atau dibayar atau yang sanggup didominasi akalsihatnya dan dikendalikan emosinya oleh sekumpulan kecil manusia bergelar pemimpin rakyat yang berghairah mengatasnamakan demokrasi dan hak asasi manusia, dengan menjaja perjuangan yang didakwa untuk kepentingan rakyat banyak, meskipun akalsihat kita kerap mengatakan bahawa ada kepentingan peribadi tersembunyi di situ. Namakan saja niatnya – membina pengaruh, atau membunuh perwatakan kepimpinan sedia ada, atau mencari nama dan populariti, atau mengejar publisiti? Atau himpunan kesemua niat tersebut.

Dan dalam keghairahan merealisasikan niat tersirat itu, rupanya halusinasi memiliki tempatnya yang tersendiri. Ada pemimpin (kecil dan besar) yang rela berbohong dan sanggup merekayasa pelbagai alasan dengan pelbagai dakwaan (tuduhan atau tohmahan) yang belum dipastikan kebenarannya semata-mata untuk menghalalkan tindakannya menganjurkan gerakan unjukrasa di jalanraya. Menjadi beban tugas pihak tertuduh pula untuk membuktikan bahawa dakwaan itu sesungguhnya khilaf dan tidak berasas.

Inilah yang aku rasakan apabila mendepani berita peristiwa berunjukrasa. Setidak-tidaknya dalam konteks demonstrasi di Malaysia.

________________________

- SEORANG AKU

Bermain dengan Kotak-kotak Waktu

October 14, 2011 Leave a comment

Salam hormat,

Perjalanan waktu memang membuat banyak orang cemas, bingung atau penasaran. Namun bukan waktu itu yang selalunya menjadikan kita kewalahan, tetapi peristiwa yang mengiringi perjalanan sang waktu itu!

(ii)

Bukan aneh untuk saban pagi kita meninggalkan rumah untuk bergegas ke tempat kerja. Perjalanan, dekat atau jauh, hanya ukuran jarak. Jarak lokasi dan jarak masa. Yang penting, minda sering mengingatkan kita untuk sampai tepat waktu, atau awal sedikit daripada batas waktu ditetapkan, walau apapun situasinya. Itu kewajiban. Itu buah percaturan pertimbangan akalsihat. Dalam memaknakan kewajiban itulah kita akan mendepani karenah rentetan peristiwa dalam hidup kita.

Lantas, bukan suatu yang aneh untuk menyaksikan seseorang pekerja tidak mampu menepati waktu hadirnya. Dia seolah-olah bermain dengan peristiwa waktu bangunnya, waktu mengurus persiapan bekerjanya, waktu memandunya di jalanraya, dan sebagainya. Peristiwa itulah  yang mengatur gerak langkahnya.

Kita tidak mungkin menguasai semua peristiwa dalam hidup kita. Kesesakan jalanraya atau tayar kereta yang pancit kerana objek tajam misalnya. Namun dalam banyak situasi, kita mampu menelaah setiap ragam rentetan peristiwa seharian kita dan mencorakkannya mengikut permainan kita.

Apabila  kehendak peristiwa yang mengatur hidup seseorang pekerja, keasyikan meladeninya menjadikan dia tidak lagi akur pada keperluan berakalsihat dan pertanggungjawaban. Dan dia akan mulai belajar menjadi pencipta alasan untuk keasyikannya itu. Tanpa peduli sangat soal kewajiban yang akhirnya terbeban sebagai wahana harga dirinya.

(iii)

Di sekolah, seawal pagi lagi, guru-guru sudah bermain dengan waktu dan peristiwa. Berfungsi sebagai guru bertugas mingguan, atau sebagai pengendali majlis perhimpunan, sesi motivasi atau majlis tazkirah, atau sebagai guru mata-pelajaran, semua rentetan peristiwa itu perlu berjalan dalam kerangka kotak-kotak waktu yang ditetapkan, tanpa tolakansur. Sistem dan pertanggungjawaban yang mengaturnya begitu.

Kelangsungan peristiwa – sama ada mendahului atau melewati (kerana ketercepatan atau keterlewatan), menambahi atau mengurangi (kerana keghairahan atau kebosanan), apalagi menghindari peristiwa dan lingkungan waktunya – bukan saja akan menyulitkan murid dan guru lain yang terikat dengan komitmen peristiwa dan pertanggungjawaban masing-masing, tetapi turut merosakkan sistem nilai yang perlu dipertahankan organiasasi tempat kita bekerja. Apalagi untuk sebuah institusi bernama sekolah, dan diceroboh oleh pemikiran singkat dan tingkah ceroboh guru-guru sendiri.

Sebenarnya tidak ada alasan untuk membenarkan tingkah yang salah dalam memenuhi kotak waktu dan meladeni karenah peristiwa oleh pemikiran yang keliru, jumud atau tidak berlandaskan kerangka akalsihat, meski atas alasan keperluan beragama atau keutamaan pendidikan itu sendiri. Sementara waktu tetap berjalan tanpa menoleh, kitalah yang menguasai peristiwa yang mengiringinya, bukan sebaliknya. Usah cenderung menyalahkan sistem atau pihak lain kerana kegagalan kita sendiri.

(iv)

Yang dahulu tetap perlu didahulukan. Yang utama tetap perlu diutamakan. Namun semuanya mestilah dalam kerangka peristiwa dan waktu yang membenarkannya. Peristiwa lewat sampai ke pejabat, atau lambat menyudahkan tugasan yang diamanahkan, yang dengannya bererti  gagal memenuhi kotak waktu yang disediakan, tidak akan terjadi jika kita tidak terlibat dengan permainan karenah peribadi dan prasangka diri dalam mencorakkan peristiwa seharian kita dengan warna-warni pertanggungjawaban.

Demikianlah perangkap pemikiran dalam mendepani kelangsungan peristiwa dan perjalanan waktunya. Demikianlah jika kita bermain dengan tanggungjawab dan kotak-kotak waktu, tidak menghormatinya atau menghargainya lagi.

______________________

- SEORANG AKU

Demam Pilihanraya Umum

October 12, 2011 Leave a comment
Salam hormat,

 

Hmmm, nampak gayanya pilihanraya umum ke-13 memang udah dekat. Udah dekat benor. Sedekat mana, Perdana Menteri saja yang tahu. Tapi demamnya udah terasa benor, dah lama juga. Dah banyak sangat orang politik yang demam, dan ada yang demamnya bukan sebarang demam, tapi demam campur mengidam sekali. Gawat tu.

Jumaat lalu, PM bentangkan belanjawan negara 2012. Sungguh-sungguh mengujakan rakyat banyak. Bertambahlah usia para penjawat awam. Bertambahkan juga emolumen penjawat awam. Rezeki pilihanraya, kot. Cikgu-cikgu pun tentu senang hati mendengarnya. Mudah-mudahan begitu.

Memang banyak yang berkata, jujur atau sinis, itulah “belanjawan pilihanraya”. Maksudnya, budget kerana menjelang pilihanraya. Memancing hati rakyat. Apapun maksudnya, bersyukurlah!

Agaknya DS Mohd. Najib Tun Razak kita masih terus membelek-belek cermin ajaibnya mengintai ilham daripada para penasihat setianya, bila agaknya waktu yang tepat untuk memalu gong genderang perang politiknya. Maklumlah, perang kali ini bukan sebarang perang. Perang hidup mati, antara pemerintah dengan yang hendak memerintah.

Cuma, yang tak cantiknya, yang tak seronoknya, bunga-bunga perang yang dicambahkan, dan dipasubungakan kat kaca TV,  kat akhbar arus perdana, kat akhbar arus tak perdana dan kat media baru tak menyegarkan mata yang memandang, otak yang melilau berfikir dan perasaan yang jadi berkecamuk.

Hebatnya demam PRU ke-13.

________________________

- SEORANG AKU

Pendekatan Pemikiran Bukan Konvensional ala Namewee

October 3, 2011 Leave a comment

Salam hormat.

Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan pemimpin hebat yang melahirkan “Wawasan 2020″, suatu gagasan pendekatan pemikiran bukan konvensional yang memang ada kelainan.

Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak pula mencuba mengetengahkan gagasan 1Malaysia yang berslogankan “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”. Penekanannya ialah perpaduan rakyat ke arah pencapaian aspirasi Wawasan 2020.

Malangnya, berbeza daripada Wawasan 2020 yang diakui sebagai suatu gagasan pendekatan pemikiran bukan konvensional yang memang ada kelainan, bijaksana dan didukung rakyat umumnya, 1Malaysia yang murni hasratnya itu telah menjadi suatu bahan retorika politik kerana ada sebilangan rakyat yang suka mentafsirkannya mengikut versi tersendiri. Antaranya, Namewee.

(ii)

Gagasan 1Malaysia Perdana Menteri merangkumi pernyataan berikut :

Konsep 1Malaysia

1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.

Ia bukan satu dasar baru yang terpisah dari dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia.

1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan aspirasi negara, iaitu Wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.

Teras Perpaduan

1Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.

Prinsip Kenegaraan – 1Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan (dan Rukun Negara) serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia , dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.

Menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan (sosial) untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.

 Nilai-nilai Murni

Ketiga-tiga Teras Perpaduan ini pula didokongi oleh nilai- nilai murni termasuk nilai-nilai berikut:

Hormat-menghormati : Hormat menghormati antara semua kaum termasuk menghormati adat resam serta budaya kaum lain. Rasa hormat ini juga menuntut kita tidak mengeluarkan kata-kata kesat tentang kaum lain dan juga tidak mempersoalkan peruntukan-peruntukan undang-undang yang menyentuh sensitiviti kaum.

Rendah hati (Tawadhuk): Rasa rendah hati atau Tawadhuk adalah perasaan insaf bahawa kita semua adalah rakyat dalam satu negara yang sama dan kita perlu hidup bersama secara harmoni. Ia juga merangkumi pengertian bahawa setiap kaum, malah setiap individu ada kelemahan dan kelebihan nya yang sendiri, dan seharusnya kita memanfaatkan kelebihan masing-masing demi untuk memperkukuhkan masyarakat dan negara.

Kesederhanaan: Ialah pendekatan sederhana dalam apa jua isu yang berbangkit. Dalam negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, tindakan atau tutur kata bersifat ekstrem tidak langsung boleh diterima kerana ia boleh membawa kepada masalah ketidakstabilan sosial yang lebih parah.

Berbudi-bahasa: Budi-bahasa ialah tuturkata dan tingkah laku yang tertib dan berpaksikan kesantunan dalam segala interaksi dan perhubungan dengan pihak lain bagi menjana kerjasama dan permuafakatan yang lebih erat.

————————————–

(ii)

Berikut ini diperturunkan pula petikan di blog ibnukhusairy.com berkaitan dengan pandangan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tentang Namewee yang menjadi fenomena kemarahan orang Melayu, dalam satu sesi pertemuan beliau dengan wartawan selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini.

Jadi, hari ni Ibnu K berpeluang bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan mahu bertanyakan kepadanya tentang Namewee ni. Ibnu K bertemu Najib selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato’ Onn di PWTC petang tadi.

Ibnu K tanya PM…

“Datuk Seri,  Namewee berkali-kali menyuarakan hasratnya untuk bertemu dengan Datuk Seri tapi masih belum ada maklum balas daripada Datuk Seri, apa pendapat Datuk Seri berkenaan Namewee??

Jawapan Perdana Menteri

“Bagi Namewee dan pihak lain yang betul menyokong 1Malaysia, yang penting sekali baginya ialah menyokong apa yang sedang kita lakukan untuk negara ini, saya difahamkan beliau merupakan penyokong kuat kepada Gagasan 1Malaysia.

“Saya menggalakkan beliau untuk terus memberi segala pandangan beliau melalui cara-cara lain seperti penerbitan filem dan sebagainya yang mencerminkan sokongan kepada Gagasan 1Malaysia,” kata PM Najib Razak

Ibnu K tanyakan lagi..

“Tetapi Datuk Seri, bagaimana dengan video Namewee sebelum ini yang banyak menggunakan perkataan mencarut dan kesat?,”

Jawapan Perdana Menteri

“Saya tak nak beri komen, tapi sebab mereka ini masing-masing ada kelainannya, Namewee merupakan seorang yang ada kelainan dia dan bukanlah seorang yang konvensional dari segi pendekatan pemikirannya,” kata beliau.

[Sumber : Blog ibnukhusairy.com]

Atau lebih jelas melalui klip video berikut ini:

(iii)

Kemusykilan penulis ialah :

Kata DS Mohd. Najib, “...saya difahamkan beliau merupakan penyokong kuat kepada Gagasan 1Malaysia”. Apa maknanya “saya difahamkan” itu? Mudah sangat nampaknya untuk beliau difahamkan dan menerima saja apa-apa yang difahamkan itu.

Siapa agaknya manusia yang memahamkan DS Mohd. Najib tentang sokongan kuat Namewee itu terhadap 1Malaysia?

Faham ke Namewee dengan konsep 1Malaysia versi DS Mohd. Najib yang kononnya disokong kuat olehnya itu? Atau Namewee cuma faham 1Malaysia versi Namewee sendiri?

Faham ke- Namewee tentang konsep prinsip keadilan sosial yang dibawakan oleh 1Malaysia DS Mohd. Najib?

Faham ke- Namewee dengan nilai-nilai murni yang mendukung teras perpaduan yang menunjangi Gagasan 1Malaysia? Faham ke- Namewee akan maksud hormat menghormati, kesederhanaan dan berbudi bahasa ?

Kalau Namewee faham, bagaimana boleh timbul kata-kata kesat, tutur kata yang bersifat ekstrem, dan tuturkata dan tingkah laku yang (tidak) tertib dan (tidak) berpaksikan kesantunan (dalam segala interaksi dan perhubungan dengan pihak lain) di dalam klip-klip video ciptaannya?

Sesungguh-sungguhnya sudah ke- DS Mohd. Najib melihat, menghalusi dan menilai sendiri semua klip video ciptaan Namewee hingga beliau tidak mahu (mampu) memberikan komentar tetapi dalam masa yang sama menggalakkan Namewee untuk terus memberikan pandangan melalui caranya sendiri, dengan kelainannya, dan dengan pendekatan pemikiran bukan konvensionalnya, asalkan mencerminkan sokongan kepada gagasan 1Malaysianya?

Mengungkapkan pandangan dengan cara Namewee sendiri, meskipun melalui bahasa yang kesat, bersifat ekstrem, tidak tertib dan tidak berpaksikan kesantunan sebagaimana jelas terpapar dalam setiap klip videonya itu? Molekkah begitu? Astaghfirullahal’azim…

Sedar ke- DS Mohd. Najib bahawa manusia Namewee ini sudah memiliki banyak pendukung fanatik klip-klip video ciptaannya? Beliau juga nampaknya manusia sombong yang mudah melenting dan tidak boleh ditegur langsung. Beginikah nilai peribadi penyokong kuat 1Malaysia?

Tidak khuatirkah DS Mohd. Najib akan kelahiran banyak lagi idea kreatif maki hamun yang diinspirasikan oleh ‘kehebatan’ Namewee ini, oleh mereka yang mendukung Namewee dan yang membenci Namewee (dan menambahramaikan bilangan rakyat muda yang akhirnya turut membenci kerajaan dan  membuktikannya melalui peti undi pilihanraya, semata-mata kerana isu Namewee)?

DS Mohd. Najib Tun Razak bolehlah mencermati “kehebatan” manusia Namewee “penyokong kuat” (?) gagasan 1Malaysia ni melalui tulisan di blog NOTAKANAN yang berjudul “Karya-karya Agung Namewee…”.

(iv)

Dalam entri ini, penulis membuat argumentasi tentang pemahaman konsep 1Malaysia hanya bersandarkan klip-klip video ciptaan Namewee. Kalau benar-benar Namewee telah berubah menjadi penyokong kuat 1Malaysia versi sebenarnya sebagaimana ingin dibuktikan melalui penerbitan filem “Nasi Lemak 2.0″nya, eloklah. Ini kerana penulis tidak menemukan apa-apa yang beliau fahami tentang prinsip keadilan sosial (yang dicerna dalam Gagasan 1Malaysia itu) di dalam klip-klip video beliau. Jauh sekali nilai-nilai murni hormat menghormati, kesederhanaan dan berbudi bahasa.

“Talentime” dan “Estet” juga mengungkapkan Gagasan 1Malaysia. Tapi tidak heboh macam upaya pembikinan 1Malaysia “Nasi Lemak 2.o”. Berbeza ke ketiga-tiga filem itu? Oh, tentulah berbeza. Yang satu ini mampu membawa pengarahnya sampai ke Parlimen. Dan mungkin sampai ke PM juga.

Ya. Memang ada kelainan. Memang pendekatan pemikiran bukan konvensional.

Mudahnya berkata-kata.

___________________________________

- SEORANG AKU

Berhati-hatilah Memancing Hati Rakyat

October 1, 2011 Leave a comment

Salam hormat,

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak nampaknya seperti tidak belajar daripada kesilapan kepimpinan BN terdahulu. Keserbasalahan mendepani pilihanraya umum dan karenah pembangkang yang dikatakan mendapat sokongan rakyat, terutamanya daripada golongan muda, membuatkan kepimpinan BN, khususnya UMNO meracau tak mengira tempat.

BN berdepan dengan gelombang kemarahan rakyat dalam PRU lalu. Orang Melayu tak berapa menyokong UMNO. Orang Cina langsung tak menyokong MCA. Orang India lagi tak sokong MIC. Dan keputusan PRU ke-12 itu membuktikannya. Meskipun terus berkuasa, dan setelah berhempas pulas mengusahakannya, barulah BN dapat menarik kembali keyakinan rakyat menerusi kepimpinan gagasan 1Malaysia. Namun begitu, BN tetap masih bukan parti yang hebat sangat selepas PRU ke-12 itu.

Apa yang sepatutnya terus menerus dilakukan BN ialah menarik perhatian rakyat berbilang kaum untuk terus menyokong BN. Bagi UMNO, jagalah pengundi Melayu. Biarlah MCA dan Gerakan menjaga pengundi Cina. Biarlah MIC menjaga pengundi India.

Inilah kesepakatan Barisan Nasional. Buktikan keupayaan masing-masing untuk memenangi keyakinan kelompok masing-masing untuk terus mengibarkan panji BN di Putrajaya.

Kalau sokongan generasi muda menjadi biang keladinya, bangunkanlah Pergerakan Pemuda UMNO, MCA, MIC dan Gerakan daripada tidur lenanya. Alam siber pun cukup luas terbentang untuk dimanfaatkan.

Tetapi pemimpin tertinggi BN, khususnya UMNO, suka sangat memancing hati rakyat khususnya yang bukan Melayu dengan menyinggung ehwal hak istimewa orang Melayu, bukan setakat dengan peruntukan demi peruntukan. Cakap di depan calon pengundi bukan Melayu pun kadang-kadang ngelantur sampai menyentap pendengaran dan hati orang Melayu. Betulkah PM bercakap begitu?

Perangai menjelang pilihanraya begini nampaknya sudah jadi klise tapi masih diteruskan juga. Sebagai Perdana Menteri, memang tidak salah, malah amat wajar untuk Datuk Seri Najib mendekati hati semua kaum di Malaysia. Tapi biarlah kena gayanya. Hati pengundi Melayu pun masih belum pasti dapat ditawan lagi, ini pula mahu menerobos ke dalam hati pengundi bukan Melayu.

Bukan tidak boleh, tetapi kalau upaya mendekati hati orang bukan Melayu dilakukan dengan menyinggung apa-apa yang orang Melayu tidak suka, maka itu mencari padah namanya. Soal kuota misalnya. Soal pergantungan kepada kerajaan misalnya. Soal meritokrasi misalnya. Siapa yang nak merebut hak kaum lain? Apakah dengan adanya kuota, pergantungan dan tanpa meritoktrasi, hak kaum lain telah direbut? Inilah mitos mainan politik pembangkang yang nampaknya seperti dipersetujui pula oleh pemimpin Melayu yang diamanahkan menjaga kepentingan kaumnya?

Janganlah main politik talam dua muka. Belajarlah menghayati tekanan emosi manusia Melayu (yang bergantung harap pada UMNO) dalam mendepani cabaran hidup cara Malaysia. Berlaku jujurlah. Apakah selama ini sudah terlalu banyak kejayaan yang diupayakan BN (UMNO) untuk memperbaiki nasib malang kaum Melayu di negerinya sendiri? Kuasa politik di tangan BN pun masih tidak mampu digunakan untuk mencapai objektif Dasar Ekonomi Baru yang telah berkubur itu.

Walaupun sekadar mengingatkan orang Melayu, ingatan itu amat tidak kena dengan masa dan situasinya. Semoleknya usah disentuh langsung. Memang Melayu perlu kuat dan perlu bersaing. Maka bangunkanlah manusia Melayu untuk jadi kuat dan mampu bersaing, dalam kapasiti kuasa sedia ada tanpa menyentuh langsung soal sensitif itu.

Salahkah membangunkan kaum Melayu dengan mengekalkan apa-apa yang dipersetujui bersama sebagai asas pembentukan negara merdeka dulu? Kekalkan sampai bila-bila. Sampai bila-bila. Tanpa batas waktu. Tanpa tolak ansur. Tanpa dolak-dalik. Titik.

Realitinya tidak begitu pada pandangan orang Melayu. Hak yang kononnya istimewa itupun berapa banyak yang sudah digadaikan kerana persefahaman dan tolakansur tak bertempat.  Berapa banyak lagi penyelewengan tindakan (pengkhianatan) telah dan akan dilakukan dalam menafikan perealisasian kandungan kesepakatan bersama berkaitan hak istimewa orang Melayu, yang jelas hanya merugikan kaum Melayu saja. Tampaknya hak istimewa itu hanya cantik terpahat di atas kertas perlembagaan sahaja.

Usah mudah terkesima pabila melihat rakyat seperti menyokong gagasaan 1Malaysia. Apalagi kalau orang macam Namewee. Menyokong 1Malaysia dalam versi menolak rasis tetapi memaki-hamun kaum Melayu, dengan seolah-olah tidak sedar bahawa perlakuannya itu sendiri amat rasis dan menyakitkan. Perhalusilah semua klip video ciptaan Namewee di Youtube, termasuk yang terakhir tentang sebuah tulisan di Utusan Melayu. Beliau boleh saja mengkritik dan meluahkan perasaan marah (dan sebagainya), tapi biarlah dalam batas kesopanan dan berbudi bahasa. Orang Melayu amat fobia dengan kebiadaban. Tak tahulah kalau pemimpin Melayu BN sekarang ini tak begitu lagi.

Dan di negara ini, memang banyak sekali politikus yang bersandiwara mengatasnamakan 1Malaysia. Baik orang dalam BN, apalagi yang di luar BN. Kononnya menyokong gagasan 1Malaysia, tetapi sebenarnya membawakan konsep 1Malaysia versi mereka sendiri, bukan konsep 1Malaysia yang dibawakan Perdana Menteri. 1Malaysia yang bermaksud sama rata sama rasa, bukan 1Malaysia yang mengambilkira perbezaan yang sedia ada antara kaum di negara ini.

Ada beberapa peribahasa Melayu yang mengingatkan kita akan keperluan berwaspada ketika berkata-kata dan menghindari sifat tamak tak bertempat. Kita sudah masak dengan “kerana mulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”, “buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali”, “kera di hutan disusui, anak sendiri mati takmakan”, “yang dikejar takdapat, yang dikendong keciciran” dan “orang tamak selalu rugi, macam anjing dengan bayang-bayang”.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Usahlah memancing kemarahan orang Melayu jika mahukan sokongan orang Melayu dan jika benar-benat ikhlas memperjuangkan bangsa Melayu. Ambillah iktibar daripada kelemahan dalam mendepani PRU ke-12 lalu.

Semoga BN (UMNO khususnya) segera tersentak daripada mimpi indahnya. Mimpi itu hanya mainan tidur. Dan kepimpinan Melayu memang masih banyak yang masih tidur dalam jaganya.

Kembalilah ke pangkal jalan. Atau bersedialah untuk benar-benar dikecewakan.

___________________

- SEORANG AKU

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.