Tahniah untuk Harimau Muda Malaysia !
Salam hormat,
Syukur Alhamdulillah, tahniah dan terima kasih Harimau Muda!
Kemenangan menafikan keinginan tuan rumah untuk memperoleh kejuaraan berganda (Juara Keseluruhan Sukan SEA dan Juara Bola Sepak Sukan SEA) dengan merebahkan Garuda Muda yang tersungkur di gelanggang mereka sendiri, menakluki pingat emas Bola Sepak Sukan SEA ke-26, dan mengekalkan kejuaraan yang disandang di Laos dua tahun lalu sesungguhnya merupakan kenangan amat manis dan gandaan rasa gembira yang sukar terungkapkan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Terbukti sudah bahawa Gelora Bung Karno bukan lagi gelanggang keramat pasukan Indonesia.
Apabila Harimau Muda menjinakkan Garuda Muda 1-0 di peringkat kumpulan A, meski terkedu bagaikan tidak percaya, mereka masih ingin menafikan kemampuan Malaysia dan menepis igauan buruk kekalahan itu dengan ungkapan bahawa Indonesia tidak menurunkan kesebelasan utamanya.
Malam tadi, mendepani pasukan kesebelasan utama mereka, Harimau Muda Malaysia mampu terus mengaum dengan rasa bangga di setiap minit pertarungan berlangsung. Meski ketinggalan dengan 1 gol, Harimau Muda Malaysia gah beraksi untuk menyamakan kedudukan menjadi 1-1 (jaringan Mohd. Asraruddin Putra Omar) pada babak pertama, mengekalkan kedudukan seri itu di babak kedua dan masa tambahan, dan akhirnya mematahkan sayap Garuda Muda Indonesia melalui tendangan terakhir Baddrol Bakhtiar yang menggegarkan jaring gol Indonesia di babak tendangan penalti (dengan keputusan 4-3), menjadikan keputusan penuhnya 5-4.
Sesungguhnya kemenangan manis pasukan Harimau Muda Malaysia ini merupakan kebijaksanaan penggarapan strategi permainan dan pengawalan fikiran-emosi-ketahanan fizikal yang tinggi dalam menyerap tekanan berterusan yang dibawakan pemain dan penyokong pihak lawan. Strategi sebilangan pemain lawan mencuba mempengaruhi pandangan atau meraih simpati pengadil (untuk memperoleh tendangan percuma atau tendangan penalti ketika di hadapan pintu gol Malaysia) melalui aksi sumbang mereka ternyata tidak menjadi.
Sesungguhnya juga pertembungan Harimau-Garuda ini mengajar kita bahawa ketaksuban itu tidak wajar hadir dalam menyanjung kehebatan pasukan sendiri hingga memperlekeh pasukan lawan. Kemenangan berterusan di peringkat awal, apatah lagi dengan jaringan yang banyak, bukan sangat petanda kehebatan sesebuah pasukan. Pasukan Vietnam, Myanmar dan Indonesia telah membuktikannya. Bukankah bola itu bulat dan padang bola itu sama ratanya untuk semua pasukan yang bertembung? Usah berlagak sombonglah.
Sekalung penghargaan kepada Ong Kim Swee (Ketua Jurulatih), Baddrul Bakhtiar (kapten), Khairul Fahmi Che Mat (penjaga gol) dan semua pegawai serta pemain Harimau Muda kerana menjadikan perlawanan akhir kali ini amat mengasyikkan. Kalian membuktikan kematangan dan kebijaksanaan untuk layak bergelar juara.
Sekali lagi, syukur Alhamdulillah, tahniah dan terima kasih Harimau Muda!
_________________________
- SEORANG AKU















antar bicara