Archive

Archive for the ‘Dengan Santun Bahasa’ Category

Hidup Sungguh Sangat Sederhana

October 24, 2011 Leave a comment

Salam hormat,

Dalam novel Rumah Kaca karya Pramoedya Ananta Toer, ditemukan ungkapan “Hidup sungguh sangat sederhana. Yang hebat-hebat adalah tafsirannya”.

Memanglah menjadi tabiat sebilangan manusia untuk gemar membesar-besarkan perkara yang kecil dan merumitkan keadaan. Yang mudah diberikan nafas baru hingga menjadi sukar. Kesederhanaan boleh berubah menjadi ruwet dan complicated. Tanyalah cikgu-cikgu di sekolah. Sesuatu arahan atau tugasan yang pada mulanya mudah boleh bertukar menjadi sukar apabila ditangani dan diturunkan pihak tertentu kepada pihak pelaksananya. Mungkin kerana salahtafsir, mungkin kerana khilaf pemahaman atau mungkin saja disengajakan (untuk kelihatan berat, penting dan hebat) atau disensasikan untuk tujuan tertentu.

(ii)

Pernahkah anda tercari-cari sesuatu yang ada atau sepatutnya ada (dalam simpanan) tetapi tidak menemukannya apabila tiba-tiba amat diperlukan? Tanpanya kerja menjadi terganggu dan kita mungkin tenggelam punca untuk menyelesaikan kerja dalam batas waktu yang ada.

Atau, kita memiliki terlalu banyak koleksi objek (yang kita sukai kerana nilai sentimentalnya) sebagaimana juga kita menyimpan pelbagai fail dalam pelbagai folder di komputer hingga kita kewalahan menguruskannya, atau mungkin kehilangannya tanpa disedari?

Kerencaman dan kesibukan tugas harian memang sering menyebabkan kita tenggelam di tengah-tengah himpunan pelbagai objek – pelbagai bahan bacaan dan dokumen rujukan (buku, risalah, majalah, katalog, surat, sijil, fail dsb) dan pelbagai peralatan yang menyokongnya (disket, pen drive, pita rakaman, vcd/dvd, pena dsb) yang kadang-kadang kita tebarkan entah di mana-mana di rumah atau di pejabat kita.

Kita hanya mencarinya apabila kita memerlukannya. Dan kita meyakini bahawa kita akan menemukannya apabila kita memerlukannya. Tapi, keadaan itu rupanya tambah merumitkan kita saja.

Hidup ini penuh dengan pilihan. Jika kita kerap berdepan dengan situasi tersebut, mungkin sudah sampai masanya untuk kita membuat pilihan. Memilih untuk memilih yang benar-benar kita perlukan dan sayangi, dan berpisah dengan yang tidak sangat kita perlukan, meski juga menyayanginya. Memilih untuk menjadi selektif dan tidak sangat terpesona atau terperangkap dengan sentimental value yang kadang-kadang membebankan. Memilih untuk menjadi sederhana. Inilah juga cermin nilai kebijaksanaan daripada suatu fragmen kesederhanaan – tidak berlebihan dan tidak berkurangan.

Artikel daripada blog zehhabits berikut ini mungkin dapat membantu : The Four Laws of Simplicity, and How to Apply Them to Life.

(iii)

“Simplicity is the ultimate sophistication”, demikian sebuah ungkapan popular Leonardo da Vinci, kutemukan dalam tulisan berjudul Teh O Nipis Kurang Manis (blog www.miorazli.com).

Menarik ceritanya. Bacalah. Meski dalam perspektif berbeza, kisah itu mengajar kita tentang banyak nilai positif, termasuklah social intellegent, amalan membaca dan sesuatu yang nampaknya mudah tapi hebat sebagaimana diungkapkan Leonardo da Vinci itu.

______________________

- SEORANG AKU

Nostalgia Masa Dulu : Belajar Itu Ibadah

October 5, 2011 Leave a comment

Salam hormat,
wo ai ni Allah

Melihat anak-anak belajar di rumah pada hujung minggu, dengan buku berserabut di atas meja, dan notebook di sebelah, dengan sesekali melayari internet, aku teringat akan zaman menjadi seperti mereka. Berbeza sekali. Tanpa buku rujukan yang lumayan banyaknya, tanpa notebook dan tanpa internet.

(ii)

Nostalgia zaman awal persekolahan memang mengasyikkan.

Meski sekolah terceruk di pedalaman di pinggir belantara, kehidupan di bilik darjah tetap segar, ceria dan menyeronokkan. Guru mengajar dengan kekuatan ilmu, ramah dan rangsangan, selalu berkias berkisah teladan dalam senyum tawa, tanpa banyak songelnya. Kepatuhan anak murid juga memang tahap cemerlang. Kenakalan bagai ditinggalkan di luar pagar sekolah.

Yang penting, beri tumpuan penuh waktu guru mengajar. Sediakan saja apa-apa alatbantu yang perlu di atas meja, dan gunakan apabila diperlukan. Catat apa yang patut dicatat. Tanya apa yang patut ditanya. Jawab apa yang patut dijawab. Belajar pun jadi tidak tertekan. Tanpa bebanan beg penuh dengan buku atau kerja rumah bertimbun saban hari.

Peperiksaan juga bukan beban fikiran. Belajarlah semampunya, seadanya, semaunya, tanpa bandingbeza atau peduli akan sekolah kita di kedudukan berapa dalam peperiksaan awamnya. Belajarlah dengan kekurangan yang ada, termasuk perpustakaan yang cuma sekangkang kera. Yang penting kekuatan pemahaman, daya imaginasi dan kreativiti. Belajarlah dengan fikiran tenang dan bukalah minda luas-luas. Seluas atlas dunia yang wajib mampu digarap lewat kemahiran melakar peta walau negeri dan benua apa sekalipun, dengan segala isi di dalamnya. Itu keperluan menjawab soalan Geografi dengan markah tinggi.

Kegiatan kokurikulum pun seadanya. Sedikit tapi mengujakan dan dilakoni bersungguh-sungguh. Banyak sekali nilai dipancing dengan umpan penyerlahan nilai kreativiti, berdikari, sentuhan galakan dan teguran pujian berhemah.

Petang bersekolah agama. Ada ustaz yang lebih garang daripada guru sekolah biasa. Rotan sentiasa di tangan. Waktu menekuni kitab Mutaalbadrin misalnya, bersiaplah kalau baca merangkak-rangkak atau tersalah baca. Kalau “bumi” menjadi “bom”, rotan pun boleh singgah di atas meja. Kalau tak bersolat jumaat, memang rotan hadiahnya kerana ketua darjah adalah pencatat kehadiran ketika di masjid.

Apapun situasi dan kondisinya, untuk menjadikan murid rajin belajar, segalanya diusahakan, diupayakan tanpa rasa jemu. Oleh guru, oleh ibu bapa dan oleh anak murid sendiri.

Soal berjaya atau gagal soal rezeki ketentuan Ilahi. Tidak pernah dipersalahkan sesiapa. Kita merencana Allah s.w.t. menentukannya. Itu kata cikgu dan ustaz. Yang penting, menelaah usah culas. Kerana belajar itu suatu ibadah.

(iii)

Kehidupan pembelajaran di rumah dan lingkungannya cukup sederhana.

Tanpa TV dan video, kecuali radio sederhana kecil sebagai teman bersendiri ketika di rumah, hidup menjadi lebih bermakna. Sambil membaca buku cerita atau majalah, seronok dapat mendengarkan rancangan lagu permintaan dan lagu pop yeh yeh yang berkumandang. Dan sesekali bertuah juga dapat mendengarkan sayup-sayup suara pelat propaganda radio PKM (Parti Komunis Malaya).

Ada waktu-waktunya, setiap hari dan hujung minggu, membantu kerja ibu bapa di rumah – menyapu sampah sekeliling rumah, mengangkat air dari kolam untuk memenuhkan tempayan di dapur, dan sesekali ke kebun. Petang minggu selalunya di padang kampung atau gelanggang badminton di rumah kawan. Syarat wajib – sebelum maghrib sudah di rumah.

Waktu belajar ya waktu belajar. Apalagi pada hujung minggu, hari tidak bersekolah. Tanpa radio. Temannya cuma buku, alat tulis, kopi o dan ubi rebus. Sesekali ibu menjenguk-jenguk. Bimbang agaknya kalau si anak tak fokus. Kadang-kadang rakan datang belajar bersama. Selalunya berbincang atau menyiapkan kerja rumah.

Belajar tanpa kerusi meja, dan malamnya bertemankan kerlipan lampu pelita, meski berjelaga, tidak pernah menimbulkan kerenyahan.

Selepas solat maghrib dan mengaji, fokus saja pada pelajaran. Tanpa tolakansur. Sesekali ibu datang duduk di sebelah. Pesannya selalunya mudah : “Belajarlah. Belajar mesti tekun dan ikhlas, bukan terpaksa, baru ilmu tu berkat dan mendatangkan manfaat. Tak faham nanti tanya cikgu, jangan tak tanya”. Dan ucapan paling terkesan dan sentiasa dalam ingatan, “man jadda wajada”, dan “usaha itu tangga kejayaan”.

Bagi ibu bapa, kerja anak-anak ialah belajar. Dan belajar itu macam buat ibadah juga. Mesti tekun supaya cepat jadi pandai. Dengan izin Allah s.w.t

___________________________

- SEORANG AKU

     

Tiada Lagi, Citrawani

October 4, 2011 Leave a comment

Salam hormat,

Di rumah bambu itu, dia bingung sekali.

“Engkau telah melukakan hatinya!”
“Engkau telah melecehkannya. Mengabaikannya!”

“Engkau hanya tukang karut. Pengangguran lagi. Engkau tidak pantas mendampinginya. Lagipun….., dia telah tiada, telah pergi, bukan?”

“Engkau mesti melupakannya. Mesti. Titik !!!”

Terngiang-ngiang. Mengetuk jendela hatinya.

Noktah.

(ii)

…menghidupi detik-detik selanjutnya dari malam yang sisa.

Malam-malamnya seperti ini terlalu kecil untuk dapat menampung pengungsiannya dari harapan yang terlalu besar digantungkannya pada tikungan jalan, entah tikungan mana. Tapi, fajar yang mengambang di ufuk tiap pagi membawa ingatan putih baginya, bahawa tikungan jalan bukanlah tempat untuk menemui orang mati, bahawa isterinya sesungguhnya ada di bawah tanah perkuburan yang entah sudah berapa lama tak pernah dikunjunginya.

…..demikianlah, IS dan Ziarah itu…..

(iii)

Begitu.

Ketidakpedulian atau kealpaan dan keterpaksaan, saling berbaur. Saling mencengkam. Entah di tikungan mana.

Wani itu milik masa silammu.
Bukan lagi milikmu.
Bukan lagi milikmu.
Bukan milikmu.

Sepi. Bungkem. Terkedu. Suaranya bagai kabur meninggalkannya lewat jendela. Entah ke mana. Yang tinggal hanyalah citra. Dan seorang aku.

Noktah.

(iv)

Di rumah bambu itu, dia termangu.

“Terpadam jua namamu….., di kanvas sejarah kehidupan ini”, bisik hatikecilnya. Lirih sekali. Selirih desir angin malam yang akrab mengusik ziarahnya.

Yang tinggal hanyalah citra. Dan seorang aku, di rumah bambu itu.

Citra, seorang aku, dan rumah bambu ~ yang kehilangan nama entah sekian lama ~ lewat ziarahnya.

Noktah.

 

__________________________

- SEORANG AKU

Salam Aidilfitri 1432H

August 28, 2011 Leave a comment

Salam hormat,

sesejukmaafdikalbu

Salam Lebaran ~ Selamat Hari Raya Aidilfitri,

Maaf Zahir dan Batin

untuk sahabat handai – rakan taulan – kenalan

kerabat kerja warga pendidikan

dan seluruh kaum Muslimin & Muslimat

pengunjung blok CiTRAWANi2 ini.

Semoga Aidilfitri yang menjenguk tiba

mempererat hubungan silatulrahim antara kita

untuk saling berkunjung dan memaafkan

atau saling berutus khabar dan memaafkan,

juga sentiasa berbaik sangka dan mendoakan

kesejahteraan bersama dan berterusan.

Amin Ya Rabbul ‘A~lamin!

________________________________

SEORANG AKU

Walau Hanya Setitis

August 25, 2011 Leave a comment

Salam hormat,

smart heart

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Syawal 1432H hampir menjelang.

Kita sering melafazkan ucap maaf zahir dan batin setahun sekali, sedangkan salah khilaf datang takpernah mengenal waktu. Moleklah bermaaf-maafan tika meraikan Syawal, namun dapatkanlah kemaafan segera sebaik menyedari kekhilafan tanpa menghimpunnya hingga tiba kunjungan Syawal seterusnya.

Coretan tinta pena kita, meski setitis cuma, cukup menghadirkan dosa jika tidak berlandaskan kebenaran, apalagi jika disengajakan dan dibesar-besarkan untuk keutamaan diri, perjuangan peribadi atau kelompok kita sendiri.

Maka, pada pengakhiran Ramadhan kali ini, elok rasanya kita bermuhasabah diri tentang natijah percikan tinta kita selama ini ~ lalu berlaku jujurlah pada diri sendiri ~ dengan tidak lagi menciptakan atau menyebarluaskan ketidakbenaran, apalagi membenihkan hasutan atau fitnah tak bertepi. Dan dengan pohonan kemaafan atau harapan kemaafan!

Sesungguhnyalah dosa dan pahala itu pilihan kita sendiri! Maka upayakanlah titis-titis kebenaran lewat kejujuran dan kesantunan bicara sepi kita. Dengan penuh pertanggungjawaban.

Demi keredhaan Ilahi.

Sekian. Maaf menjelang Syawal.

Salam mesra berpanjangan.

Wassalam.

_______________________

- SEORANG AKU

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.