Archive

Archive for the ‘Melangir Waktu’ Category

Tahniah untuk Harimau Muda Malaysia !

November 22, 2011 1 comment

Salam hormat,

Syukur Alhamdulillah, tahniah dan terima kasih Harimau Muda!

Kemenangan menafikan keinginan tuan rumah untuk memperoleh kejuaraan berganda (Juara Keseluruhan Sukan SEA dan Juara Bola Sepak Sukan SEA) dengan merebahkan Garuda Muda yang tersungkur di gelanggang mereka sendiri, menakluki pingat emas Bola Sepak Sukan SEA ke-26, dan mengekalkan kejuaraan yang disandang di Laos dua tahun lalu sesungguhnya merupakan kenangan amat manis dan gandaan rasa gembira yang sukar terungkapkan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Terbukti sudah bahawa Gelora Bung Karno bukan lagi gelanggang keramat pasukan Indonesia.

Apabila Harimau Muda menjinakkan Garuda Muda 1-0 di peringkat kumpulan A, meski terkedu bagaikan tidak percaya, mereka masih ingin menafikan kemampuan Malaysia dan menepis igauan buruk kekalahan itu dengan ungkapan bahawa Indonesia tidak menurunkan kesebelasan utamanya.

Malam tadi, mendepani pasukan kesebelasan utama mereka, Harimau Muda Malaysia mampu terus mengaum dengan rasa bangga di setiap minit pertarungan berlangsung. Meski ketinggalan dengan 1 gol, Harimau Muda Malaysia gah beraksi untuk menyamakan kedudukan menjadi 1-1 (jaringan Mohd. Asraruddin Putra Omar) pada babak pertama, mengekalkan kedudukan seri  itu di babak kedua dan masa tambahan, dan akhirnya mematahkan sayap Garuda Muda Indonesia melalui tendangan terakhir Baddrol Bakhtiar yang menggegarkan jaring gol Indonesia di babak tendangan penalti  (dengan keputusan 4-3), menjadikan keputusan penuhnya 5-4.

Sesungguhnya kemenangan manis pasukan Harimau Muda Malaysia ini merupakan kebijaksanaan penggarapan strategi permainan dan pengawalan fikiran-emosi-ketahanan fizikal yang tinggi dalam menyerap tekanan berterusan yang dibawakan pemain dan penyokong pihak lawan. Strategi sebilangan pemain lawan mencuba mempengaruhi pandangan atau meraih simpati pengadil (untuk memperoleh tendangan percuma atau tendangan penalti ketika di hadapan pintu gol Malaysia) melalui aksi sumbang mereka ternyata tidak menjadi.

Sesungguhnya juga pertembungan Harimau-Garuda ini mengajar kita bahawa ketaksuban itu tidak wajar hadir dalam menyanjung kehebatan pasukan sendiri hingga memperlekeh pasukan lawan. Kemenangan berterusan di peringkat awal, apatah lagi dengan jaringan yang banyak, bukan sangat petanda kehebatan sesebuah pasukan. Pasukan Vietnam, Myanmar dan Indonesia telah membuktikannya. Bukankah bola itu bulat dan padang bola itu sama ratanya untuk semua pasukan yang bertembung?  Usah berlagak sombonglah.

Sekalung penghargaan kepada Ong Kim Swee (Ketua Jurulatih), Baddrul Bakhtiar (kapten), Khairul Fahmi Che Mat (penjaga gol) dan semua pegawai serta pemain Harimau Muda kerana menjadikan perlawanan akhir kali ini amat mengasyikkan.  Kalian membuktikan kematangan dan kebijaksanaan untuk layak bergelar juara.

Sekali lagi, syukur Alhamdulillah, tahniah dan terima kasih Harimau Muda!

_________________________

- SEORANG AKU

Belajarlah Daripada Kekhilafan

October 7, 2011 Leave a comment

Salam hormat,

irsyad

In my dream, children sing
A Song of Love…

TELL ME WHY
just tell me why
why do we never learn ?

Happy listening!

_____________________
- SEORANG AKU

Categories: Melangir Waktu, Santai

Aku dan Facebook

September 25, 2011 Leave a comment

Salam hormat,

Sekadar bersantai dan suka-suka lewat pengakhiran malam hujung minggu, selepas menjenguk Irfan dan Irsyad di Setia Tropika…..

Ya, kutitipkan coretan ini. Sekadar mengumpan senyuman. Meski senyum sinis untukku.

(ii)

Aku dan Facebook.

Macam dekat tapi jauh. Macam suka tapi malu menyapa.

Maklumlah, aku ini orang lama. Facebook ni benda baru bagi orang lama seperti aku dan rakan-rakan seangkatan. Yang tak ada kepentingan untuk manfaatkan FB selalu. Hanya sekali sekala.

“FB ni media baru untuk generasi baru”, bisik hati kecilku.

Memang sudah lama aku tidak menulis di FB atau ber”facebook”an. Meskipun bisa dikatakan hari-hari aku mampir di ruanglegar FB. Sama ada di notebook, netbook, pc atau lewat smartphone. Macam orang yang terkedu lidah pabila kekasih lama tiba-tiba berada di depan mata.

Yang aku buat hanya “log in”, baca dan/atau dengar dan/atau tonton, senyum senyum sedikit dan kemudian “log out”. Semuanya cuma untuk ikut ambil tahu maklumat sekitar pengkisahan rakan FB yang ada, lewat skrip celoteh, curhat dan corat-coret kehidupan rutin mereka.

Dan mereka pun tentu faham kenapa rakan mereka orang lama ini seperti kewalahan mendepani keinginan atau keperluan FB.

Rakan FB pun tak banyak. Rakan seangkatan memang tidak mesra FB.

Rakan yang ada pun hanya mantan (bekas) anak murid dari zaman Saint Joseph sampai ke PG2, rakan guru-guru separuh muda dan separuh lama, kenalan siber di dunia maya, serta lingkungan keluarga dan sedara mara.

Sebilangan rakan FB pun mungkin macam aku juga, cuma jadi pembaca pasif. Mungkin kerana sibuk amat dengan tugas hakiki. Mungkin juga kerana disentuh rasa janggal untuk berFB macam anak sekolahan muda remaja. Berghairah menekuni FBnya.

Dan barangkali juga aku memilih untuk menjadi malu berFB setelah menikmati deklamasi sebuah puisi ‘lucu’, suatu waktu dulu, setahun lalu.

(iii)

Dan sekarang, inilah puisinya, kupersembahkan untukmu. Deklamasi puisi oleh Serafina Ophelia, si anak manis yang mungil, ceriwis lagi bersahaja, tentang FB dan ibunya.

Semoga kalian menyenanginya. Selamat menikmati.

(iv)

Terlanjur berkisah tentang Facebook, aku pernah menulis tentangnya sekitar April 2011 lalu, dengan tajuk “Facebook : Bicaralah dengan Beradab“. Sila rujuk di SINI.

Mohon pamit ~ berundur dulu!

______________________________

SEORANG AKU

Mencari Buku Yang Hilang

September 17, 2011 1 comment

Salam hormat,

Sekali lagi, salam aidilfitri dan salam kemerdekaan.

Bertolak jam 9.30 malam Khamis lalu, dan dijangka kembali ke JB lewat sore Ahad, aku dan famili kini dalam kerangka program istirahat tiga hari di bulan September. Destinasinya Bangi-Seri Kembangan-Kuala Lumpur.

Antara tempat yang difikirkan untuk dikunjungi kali ini ialah kedai buku di Wisma Yakin dan Kinokuniya (KLCC). Ini soal buku. Mencari buku (lama) yang pernah hilang dan sulit menemukannya semula.

(ii)

Suatu waktu dulu, terutama pada zaman persekolahan, aku memang suka membaca novel. Dan sepanjang berkerjaya, aku memang banyak (kerap) membeli buku, dan bermurah hati pula meminjamkan buku kepada rakan, saudara, dan anak murid yang ingin meminjamnya, tanpa mengingati siapa peminjamnya. Syaratnya mudah – pelihara buku itu baik-baik, dan dikembalikan setelah usai membacanya, tanpa contengan atau lipatan.

Yang paling suka dipinjam adalah novel dan buku motivasi. Dan selalunya akan ada buku-buku yang dipinjamkan itu tidak kembali semula ke rak bukuku tanpa kuingat siapa peminjamnya. Demikianlah.

Maka ketika ada kesempatan ke toko (kedai) buku, akan kucari buku-buku yang hilang itu, dan membelinya lagi. Begitulah. Membeli, dan meminjamkannya, dan hilang lagi (kerana tidak dikembalikan). Membelinya lagi, dan tidak serik meminjamkannya lagi, dan tidak ke rak bukuku lagi.

Antara yang masih kuingat dan sukar didapatkan kembali ialah novel SAGA, ATHEIS, LOVE STORY, MERPATI PUTIH TERBANG LAGI, SALINA, TELEGRAM, ZIARAH, MERAHNYA MERAH dan KERING.

(iii)

Dalam program istirahat yang lalu, aku dikecewakan oleh kesedihan melihat Pustaka Antara di Kompleks Wilayah yang sungguh jauh berbeza daripada Pustaka Antara ketika di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang aku kenali sekitar awal 1980′an. Dari sebuah bangunan gedung buku nan gah berdiri kepada sebuah kedai kecil yang amat daif dan suram. Harapan untuk mencari lebih banyak novel karya pengarang Indonesia pun terbantut. Pun begitu, kutemukan juga ZIARAH, SITI NURBAYA dan TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK di situ. Alhamdulillah.

Pagi tadi aku cuma menemukan SAGA di MPH Midvalley. Oleh sebab dah lama tidak memesan buku di Kedai Buku Online PTS, kuraih sekali MARYAMAH KARPOV. Koleksi karya ‘Andrea Hirata’ milikku tidak lengkap selagi belum mendapat EDENSOR.

Sepatutnya aku ke Wisma Yakin di Jalan Masjid India saja. Di situ, yang kucari mungkin bisa kutemukan.

Esok mungkin ke Taman Cahaya Seri Alam. Ke Wisma Yakin. Dan Kinokuniya juga jika ada kesempatan. Semuanya hanya kemungkinan ! Hanya jika ada kesempatan !

_________________

- SEORANG AKU

Katanya, Semua Sejarah Negara Kita Bohong

September 12, 2011 Leave a comment

Salam hormat,

Hari ini kita masih berhari raya Aidilfitri. Masih juga dalam hembusan angin sambutan hari kemerdekaan.

Sementelah sedang (masih) hangat diperkatakan, elok kita dengar dulu petikan klip video yang ini. Apalagi kalau kita ni cikgu, dan cikgu sejarah pulak tu.

Selamat mendengar.

(ii)

Boleh didengar. Boleh percaya. Boleh juga tidak percaya.

Tapi sebelum percaya atau tidak percaya, belajarlah. Belajar untuk menjadi pendengar yang baik. Belajar untuk banyak merujuk daripada pelbagai sumber sejarah dan pensejarahan. Kerana yang hendak didengar dan dirujuk itu adalah pengkisahan sejarah.

Usah hanya suka mendengar dan percaya. Usah hanya suka mendengar dan tidak percaya.

Sekali lagi ~ sebelum mendengar dan percaya atau tidak percaya, belajarlah. Belajar mendengar dan belajar merujuk.

Yang molek, jadilah orang terpelajar !

(iii)

“Dengar cakap enggang, makan buah beluluk…”

Fasal sejarah, orang politik tidak boleh dirujuk sangat. Bukan tidak boleh dipercaya. Boleh. Tapi orang politik selalunya macam orang geng 10:2 ~ diberi 10 yang boleh dipakai 2. Cakap mereka cakap politik, bukan cakap sejarah. Cakap untuk menarik perhatian pendengar. Cakap untuk mencipta isu hangat. Cakap untuk jadi popular.

Jadi orang politik hanya untuk didengar, untuk ketawa dan ketawa lagi. Kadang-kadang untuk ditertawakan.

Kata-kata orang politik hanya boleh didengar. Orang politik pun banyak yang buta sejarah. Bukan saja buta sejarah, malah ada yang buta hati dan buta perasaan. Kadang-kadang cakap ikut sedap mulut.

Yang molek, nak dengar ehwal sejarah, dengarlah kata orang sejarah. Orang yang arif sejarah. Bacalah buku sejarah. Kemudian rujuk dan rujuk banyak lagi kepada yang layak dirujuk. Hingga benar-benar yakin akan kebenaran sejarah.

Sekian adanya.

________________________

- SEORANG AKU

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.