Archive

Archive for the ‘Naskhah Terpilih’ Category

Myths on Mother Tongue Education

November 1, 2011 Leave a comment

Salam hormat,

Artikel berikut ini dipetik daripada blog KEMBARA BAHASA dan diperturunkan untuk perkongsian bersama.

_______________

- SEORANG AKU

———————————————————————–

Myths on Mother Tongue Education

[Ihsan daripada Imran Mustafa dalam Nota Buku Wajah (Facebook) beliau]

In the name of God, most Gracious, most Merciful,

The following is an excerpt from a 2004 UNESCO document by Carole Benson entitled “The importance of mother tongue-based schooling for educational quality” that concerns the myths surrounding the usage of a mother tongue in education,

Note:
L1 = Mother tongue language
L2 = Foreign language

“Mother tongue-based bilingual schooling is seldom disputed on the basis of its pedagogical reasoning, and if decision-making were to be based solely on how to provide the highest quality education for the learner many more of the world’s languages would be used in education today. The structural challenges to implementation related to political decision-making have just been discussed; this section begins with some widely believed myths, then takes up more practical aspects of implementation.

The following myths and attitudes are regularly used to challenge use of mother tongues in education, yet their false arguments are easily revealed:

♦ The one nation—one language myth. The colonial concept that a nation-state requires a single unifying language has influenced policy-makers in many parts of the world, yet imposition of a so-called “neutral” foreign language has not necessarily resulted in unity, nor have relatively monolingual countries like Somalia, Burundi or Rwanda been guaranteed stability. In fact, government failure to accept ethnolinguistic diversity has been a major destabilizing force in countries like Bangladesh, Pakistan, Myanmar and Sri Lanka (Ouane 2003).

♦ The myth that local languages cannot express modern concepts. Another colonial concept is the supposed inherent worth of European languages in contrast to others, but all human languages are equally able to express their speakers’ thoughts and can develop new terms and structures as needed. Léopold Senghor once illustrated this by translating Einstein’s Theory of Relativity into Wolof, a lingua franca of Senegal. The difference lies in which languages have historically been chosen for “intellectualization,” or development, through writing and publishing (Alexander 2003).

♦ The either-or myth. This myth holds that bilingualism causes confusion and that the first language must be pushed aside so that the second language can be learned. The research evidence to date shows the opposite to be true: the more highly developed the first language skills, the better the results in the second language, because language and cognition in the second build on the first (Cummins 1999, 2000; Ramirez et al. 1991; Thomas & Collier 2002). Further, there is no evidence that the L2 must be a medium of instruction to be learned well; countries like Sweden achieve high levels of L2 competence by teaching it as a subject and preserving the L1 for instruction.

♦ The L2 as global language myth. The foreign L2 is often seen as necessary for further education, work and other opportunities, yet as Phillipson (1992) points out this has not happened in a political vacuum but is the result of deliberate promotion by powerful countries or groups of their respective languages. Meanwhile, employment in the informal sector of low-income countries involves 50 percent or more of the population and is increasing, and primary schooling is still terminal for most. The vast majority will not be integrated into the global marketplace and will have little use for the L2 (Bruthiaux 2002).

♦ The myth that parents want L2-only schooling. The poorest and most marginalized are acutely aware that their access both to education and to the high-status language has been limited, and they have a right to expect the school to teach their children the same language that has benefited the elite. Undoubtedly parents will choose the L2 when presented with an either-or proposition; however, studies (see e.g. Heugh 2002) have shown that when parents are allowed to make an educated choice from appropriate options, they overwhelmingly opt for bilingual rather than all-L2 programs, and most bilingual program evaluations report high levels of community support (CAL 2001).

The attitudes reflected by these myths provide a background for understanding other more practical challenges of implementing mother tongue-based bilingual schooling.”

Section 2.2 from
http://unesdoc.unesco.org/images/0014/001466/146632e.pdf

God knows best.

~Kembara Bahasa~
31 Oktober 2011/4 Zulhijah 1432

Categories: Naskhah Terpilih, Wacana

Dasar Bahasa dan Sikap Bangsa

October 6, 2011 Leave a comment

Salam hormat,

Artikel nukilan Datuk A. Aziz Deraman berikut ini tersiar di akhbar UTUSAN MALAYSIA (Online) pada 6 Oktober 2011, dan merupakan artikel pilihan untuk wacana perkongsian ilmu bersama dengan pengunjung blog ini.

Semoga bermanfaat.

_____________________________________________

Dasar Bahasa dan Sikap Bangsa

[DATUK A. AZIZ DERAMAN ialah Prof. Adjung Universiti Utara Malaysia]

BULAN ini, kita sekali lagi menggerakkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK). Suatu gerakan yang mula dilaksanakan pada 2009 menggantikan gerakan sebelum ini seperti Gerakan Cintai Bahasa Kita dan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN). Kesemuanya diurusetiakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Segala kegiatannya akan mengingatkan rakyat bahawa Malaysia memiliki satu Dasar Bahasa Kebangsaan.

Seorang anak Malaysia yang dilahirkan pada 1957, kini sudah mencapai usianya yang ke-54. Sepanjang lima dekad lebih, itulah juga usia kedaulatan Malaysia setelah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Bagi seorang anak Malaysia yang dilahirkan pada 1963, kini pula sudah menjangkau usia 48 tahun, sekiranya tanggal pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 diambil kira. Soalnya kenapa selama beberapa dekad itu, isu dan persoalan bahasa tidak putus-putus diperkatakan.

Fungsi bahasa Melayu dan bahasa lain dengan jelas dan tegas disebut dalam Perlembagaan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Disemak 1971). Malahan daripada kedua-dua sumber tersebut telah diperluas tafsiran terhadap kedudukan dan fungsi bahasa Melayu dalam beberapa undang-undang yang lain, serta dalam peraturan-peraturan jabatan dan surat pekeliling Kerajaan.

Apakah rakyat Malaysia tidak peduli atau mereka benar-benar tahu bahawa Malaysia mempunyai satu dasar bahasa yang sangat molek? Apakah semua agensi baik di peringkat pusat, negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) atau mana-mana rangkaian institusi kerajaan cekal mendukung dan bertindak dalam usaha-usaha pelaksanaan dasar bahasa?

Sungguh aneh seandainya kepemimpinan di pelbagai peringkat tadi bersikap ‘acuh tidak acuh’, bersikap ‘tidak apa’ atau ‘sambil lewa’ atau lebih banyak mendiamkan diri, berpuas hati setakat kemajuan pencapaian rutin yang ada.

Dalam mana-mana peradaban dunia sekalipun, bahasa itu adalah asas pembinaan tamadun bangsa. Memang Malaysia itu sebuah negara berbilang kaum, lalu tercitralah berbilang budaya, bahasa, agama, kepercayaan, warisan seni dan sebagainya, tetapi kepelbagaian itu bukan penghalang kepada kesatuan.

Jika keluhuran Perlembagaan dijunjung dan kedaulatan undang-undang dihormati, maka Malaysia sedang berada di jalan cerah disuluhi pedoman aspirasi Perlembagaannya. Tonggak-tonggak kenegaraan sudah kejap dikanunkan secara persetujuan bersama melalui ‘kontrak sosial’ yang asal.

Di Malaysia jelas ada tanda-tanda bahawa perjuangan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang unggul, bahkan sehingga mencapai taraf salah satu bahasa komunikasi dunia dihambat oleh sikap dan tabiat bangsa Malaysia sendiri.

Bangsa Melayu pemilik asal bahasa ini pun tidak memiliki suatu keyakinan penuh. Senario mutakhir sedikit goyah, ditambah pula dengan sikap rakyat yang terlalu bermain politik dalam gelanggang semua perkara. Sebahagiannya terheret di sebalik perjuangan perkauman sempit bukannya wawasan kenegaraan.

Dasar bahasa kian terganggu apabila sikap terhadap bahasa Inggeris yang terus ‘didewa-dewakan’ dan tidak diletakkan dalam perspektif yang benar. Kita bukannya tidak tahu pengimportan budaya yang berorientasikan bahasa Inggeris banyak mendorongkan nilai-nilai budaya negatif ‘hedonisme’, ‘vandalisme’ dan ‘kriminalisme’.

Selain dari rakyat bukan Melayu yang belum menyeluruh menjiwai bahasa Melayu sebagai milik bersama, penekanan terhadap sains dan teknologi serta perindustrian telah mencetuskan tanggapan baharu.

Kemajuan kononnya hanya boleh dicapai melalui bahasa Inggeris yang dianggap sangat luar biasa itu. Sikap kita ini sangat berbeza dengan sikap negara-negara lain di Asia seperti Jepun, Korea, Taiwan dan China atau Jerman, Perancis di Eropah.

Sesungguhnya rakyat bukan sukar memahami bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa negara adalah milik bangsa Malaysia. Bahasa Melayu itulah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal. Slogan 1Bahasa 1Bangsa 1Negara tetap mendukung konsep 1Malaysia kerana kita ada satu bahasa bersama untuk satu bangsa Malaysia di negara Malaysia yang cuma satu.

Pengaruh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu telah merentasi sempadan kaum, etnik dan sukuan, komuniti dan wilayah. Sayangnya kemajuan dan pengembangannya semakin kehilangan penegasan disebabkan sikap bangsanya.

Di Malaysia, ada tendensi dalam pengurusan dan pentadbiran, BM mula digunakan secara bercampur dengan BI. Situasi rasmi dan tidak rasmi mulai kabur. Kewibawaan BM turun naik. Apakah kemungkinan kesan penggunaan bahasa dalam perspektif yang tidak betul?

Jika suasananya berterusan maka akan terjadi masalah dan implikasi besar pada masa hadapan. Apakah kita tidak terfikir bahawa suatu waktu bahasa Melayu sebagai bahasa negara akan pupus? Tabiat dan sikap negatif yang berterusan boleh membawa kepada kemusnahan.

Penegasan semula pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan hendaklah diinsafi semua pihak. Usaha pemertabatannya mungkin tidak menjadi isu lagi kerana statusnya sudah berada di tahap tinggi sebagai bahasa negara. Apa yang perlu dilihat ialah dari segi penyusunan rancangan strategik pelaksanaannya.

Pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia telah menggerakkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu/Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Apakah matlamatnya telah disejajarkan semua agensi, institusi, organisasi dan sektor berkaitan?.

Penegasan semula pelaksanaan dasar bahasa memang perlu dilakukan. Tetapi kita kena melihatnya dari banyak sudut. Cuba teliti tahap kesedaran terhadap Dasar Bahasa Negara, fungsi sebenar bahasa Melayu, pencapaian pelaksanaannya, masalah utama pelaksanaan, peranan agensi perancangan bahasa yakni DBP, peranan agensi pengembangan bahasa yang lain yakni pelbagai pihak berkuasa kerajaan dan perancangan strategik bagi pembangunan, pengembangan dan kemajuannya menjelang tahun 2020.

Di pentas dunia global kini, sikap yang harus diambil adalah bagaimana bahasa negara sendiri diperkukuh martabatnya, di samping kita tidak memisahkan diri menguasai bahasa-bahasa utama yang lain. Bahasa Melayu salah satu bahasa yang besar. Jumlah 300 juta penuturnya itu bukan suatu angka yang kecil.

Bahasa Melayu juga salah satu bahasa antarabangsa, bahasa serantau dan bahasa nasional di Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Kita boleh kecundang sekiranya bahasa asing dijunjung tinggi sehingga kita kehilangan bahasa dan jati diri negara bangsa.

Demikianlah persoalan sikap (bangsa) dalam mendepani cabaran globalisasi.

Semoga kita mampu mencermati mesej terkandung di sebalik penulisan naskhah ini, dan melihat kembali kelangsungan martabat bahasa Melayu dan jati diri negara kita dewasa ini dalam perspektif yang wajar dan bertanggungjawab sebagai rakyat yang menyayangi negaranya.

Semoga kita tidak kehilangan arah dan pedoman.

Bahasa Jiwa Bangsa.

____________________________

- SEORANG AKU

Terpulanglah, Sila Cintai Bahasa Inggeris Anda

October 2, 2011 Leave a comment

Salam hormat,

2 Oktober 2011

Diperturunkan semula artikel “Terpulang, silakan cintailah bahasa inggeris anda” oleh Untung Sabut Timbul, untuk tatapan bersama. Semoga bermanfaat.

[Sumber: Utusan Malaysia (online) 2 Oktober 2011]

TERPULANG, SILAKAN CINTAILAH BAHASA INGGERIS ANDA

Untung Sabut Timbul

BULAN depan ialah Bulan Bahasa Kebangsaan. Ia merupakan kempen tahunan yang digerakkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melibatkan banyak acara.

Pada bulan Oktober juga ada sambutan sempena Hari Pahlawan yang diadakan setiap tahun. Pada Selasa lalu dilancarkan satu program yang tercatat pada logonya melibatkan bunga raya dan Tugu Negara. Kedua-duanya lambang nasional Malaysia.

Tetapi acara yang tertera pada logo itu ialah Pahlawan Challenge in conjunction with Rayuan Hari Pahlawan 2011.

Semua itu lambang nasional: Bulan Bahasa Kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Hari Pahlawan, bunga raya dan Tugu Negara.

Oleh kerana Bahasa Jiwa Bangsa, maka Bahasa Malaysia adalah jiwa bangsa Malaysia.

Memang benar, ketahanan sesuatu bahasa itu terletak pada kekuatan penuturnya, khususnya dari segi ekonomi.

Sekiranya penutur sesuatu bahasa itu lemah, maka sudah tentu bahasanya juga tidak mempunyai kedudukan. Maka seringkali ditekankan bahawa orang Melayu mestilah menguatkan kedudukannya dalam ekonomi sekiranya mahu bahasanya turut dihormati.

Jadi keutamaan sekarang ialah meningkatkan kedudukan ekonomi orang Melayu. Oleh kerana untuk berjaya dalam ekonomi, yang sudah tentu menuntut keunggulan dalam penguasaan ilmu, maka orang Melayu mesti menguasai bahasa Inggeris.

Ini kerana, menurut fahaman berkenaan, bahasa Inggeris akan memberi kejayaan ekonomi pada orang Melayu. Dengan penguasaan bahasa Inggeris, ia akan membuka pintu ekonomi seluas-luasnya pada orang Melayu.

Tetapi jika orang Melayu terus terkepung dengan bahasa sendiri, maka mereka dikatakan tidak akan maju. Bila mundur dan lemah, maka bahasa Melayu juga lemah dan hilang pengaruhnya.

Ekonomi

Justeru orang Melayu mesti menguasai bahasa Inggeris dan menguatkan kedudukan ekonominya. Apabila ia mempunyai kedudukan ekonomi yang kuat, dengan sendiri bahasanya, iaitu bahasa Melayu akan turut kukuh dan disegani.

Itupun kalaulah orang Melayu masih mahu dan mahir menggunakan bahasa ibundanya.

Jika orang Melayu meninggalkan bahasa ibundanya dan ketika itu, sama ada sudah kuat kedudukan ekonominya atau berada pada takuk yang sama, apakah mahu mereka kembali menggunakan bahasa sendiri?

Untuk apa mereka menggunakan bahasa Melayu jika Inggeris sudah menjadi sebati dalam jiwanya. Tidak ada sebab.

Sekarang pun banyak orang Melayu yang tidak mahu menggunakan bahasa sendiri tanpa sebab. Mereka menggunakan perkataan-perkataan Inggeris dan menjadikan bahasa yang dituturkannya begitu rojak. Sedangkan perkara ini tidak perlu.

Banyak ketikanya pendengar, pembaca atau penonton adalah mereka yang faham bahasa Melayu, tetapi tetap digunakan bahasa Inggeris.

Lihatlah sekeliling anda, di tempat-tempat awam. Di Malaysia sekarang, umumnya semua rakyatnya tahu bahasa Malaysia. Semua belajar Bahasa Malaysia baik di Sekolah Kebangsaan mahupun Sekolah Jenis Kebangsaan.

Tetapi apabila mahu meraikan orang, dipaparkan papan tanda Welcome. Apabila diucapkan terima kasih, dikatakan Thank You. Semua ini adalah di tempat awam.

Tanda-tanda bahaya juga menggunakan bahasa Inggeris: Mind Your Steps. Seolah- olahnya orang yang lalu lalang tidak faham jika ditulis dalam Bahasa Malaysia.

Oleh kerana hakikatnya ialah penggunaan sesuatu bahasa itu bukan semata-mata atas keperluan untuk berhubung, tetapi adalah kerana kecintaan terhadapnya. Maka dapat dirumuskan rasa kasih sayang kepada bahasa sendiri sudah kian pudar.

Maka tidak hairanlah ada sesetengah golongan yang bertungkus-lumus memperjuangkan bahasa Inggeris. Ini bukan soal ekonomi tetapi semata-mata memang sudah tidak sayang kepada bahasa sendiri.

Mereka kemudian cuba mentafsir semula konsep patriotisme. Maka dikatakan bahawa memperjuangkan bahasa Inggeris tidaklah bermakna seseorang itu tidak patriot. Malah mereka yang memperjuangkan bahasa Inggeris adalah sebenarnya nasionalis. Dan bukannya pihak yang memperjuangkan Bahasa Malaysia.

Ini kerana dikatakan bahawa orang yang memperjuangkan bahasa Inggeris adalah bertujuan untuk meningkatkan kedudukan rakyat negara ini, baik di bidang ilmu mahupun ekonomi. Maka seseorang yang sayangkan bangsanya, dan memikirkan masa depan bangsa sendiri, pastinya mahu bangsanya berjaya. Justeru dengan percaya bahawa menguasai bahasa Inggeris itu boleh membawa kejayaan kepada bangsanya, justeru sesiapa yang mendokong bahasa Inggeris, maka mereka adalah patriot dan nasionalis.

Kepentingan

Sedangkan sudah berulangkali dinyatakan sejak zaman sebelum merdeka lagi bahawa pejuang-pejuang bahasa Melayu tidak pernah menolak kepentingan penguasaan bahasa Inggeris dan kepentingan kedudukan ekonomi.

Belajarlah bahasa Inggeris. Sememangnya seorang yang sayangkan bangsanya akan menyeru supaya bahasa Inggeris dikuasai supaya orang Melayu turut berjaya.

Apa yang menjadi isu ialah, usah ketepikan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

Dapat dilihat dengan jelas waktu ini, sedikit demi sedikit dan kini sudah pun berleluasa, rakyat Malaysia mengetepikan bahasa Malaysia.

Pandang saja keliling bagaimana nama-nama taman perumahan yang semakin banyak menggunakan bahasa Inggeris. Lihatlah papan tanda di kiri dan kanan anda.

Pergilah pusat-pusat membeli-belah yang menggunakan bahasa Inggeris tanpa keperluan untuk itu. Kepentingan komersial dijadikan alasan sebagai menolak penggunaan bahasa kebangsaan.

Tanda-tanda seperti Toilet, Gents, No Parking, Entrance, Exit ditulis dengan di merata-rata bangunan di pusat-pusat membeli-belah. Nama pusat membeli-belah sudah memang tidak menggunakan bahasa Malaysia.

Perlu diingat tempat-tempat itu walaupun milik swasta tetapi ia adalah tempat awam yang dikunjungi oleh orang ramai secara terbuka. Umumnya oleh rakyat Melaysia sendiri yang sudah tentu faham apa makna Tempat Letak Kereta, Masuk, Keluar dan Sila Bayar Di Sini. Sudah pasti difahami.

Tetapi sebaliknya para perancang dan pengurusan berpegang bahawa rakyat Malaysia termasuk orang Melayu sekarang sudah pun faham bahasa Inggeris, maka sewajarnya mereka menggunakan bahasa Inggeris tanpa sebarang ragu-ragu untuk pemahaman.

Lagipun terdapat satu tanggapan yang menunjukkan bahawa dengan menggunakan bahasa Inggeris, imej sesuatu tempat akan naik dan ini meningkatkan nilai komersial.

Andaian mereka itu benar. Tetapi yang nyata mereka tidak ada rasa sayang kepada bahasa kebangsaan. Termasuk orang Melayu sendiri.

Jika sesuatu bangsa itu sudah tidak sayang kepada bahasa sendiri, tidak ada apa yang boleh dikatakan dan dilakukan.

Kalaulah dahulu Malayan Union berjaya diwujudkan, mungkin bahasa kebangsaan negara ini adalah Inggeris.

Mungkin negara ini akan lebih maju sekarang kerana penggunaan bahasa Inggeris itu. Maka cintailah bahasa Inggeris anda.

____________________________

- SEORANG AKU

Categories: Naskhah Terpilih, Wacana

Demikianlah British : Penjajahan “Pecah Amanah” Di Negeri Naungan

September 20, 2011 Leave a comment

Salam hormat,

Ekoran petikan pernyataan beliau di kaca TV tempoh hari (dan pendedahan yang tidak lengkap tentangnya di pelbagai media), Profesor Datuk Zainal Kling dihujani kritikan oleh pelbagai pihak yang tidak dapat menerima pernyataan beliau.

Dan setelah berlarut-larut dipolitikkan dan rakyat (yang keliru dan tidak jelas tentangnya) terus berpolemik tentang sejarah “penjajahan atau bukan penjajahan” British di Tanah Melayu, Profesor Datuk Zainal Kling (Ahli Majlis Profesor Negara) kembali memberikan penjelasan yang lebih terperinci tentang hal tersebut seperti yang disiarkan di akhbar “Utusan Melayu” (Utusan Online) pada hari ini 20 September 2011.

Berikut diperturunkan artikel tersebut untuk rujukan bersama.

Tanah Melayu tak pernah jadi koloni

PROFESOR DATUK ZAINAL KLING ialah Ahli Majlis Profesor Negara

Berikutan sidang media Majlis Profesor Negara (MPN) melalui Kluster Sejarah Warisan dan Sosio-budaya di Kementerian Pengajian Tinggi pada 9 September 2010, pelbagai reaksi telah muncul daripada ucapan saya yang disiarkan oleh TV sebagai petikan berita.

Dalam petikan itu diperkatakan bahawa Tanah Melayu tidak pernah menjadi tanah jajahan atau koloni pada sebarang masa sejak kejatuhan Melaka pada 1511. Adalah salah bagi banyak orang termasuk para ahli politik untuk sentiasa menyebut bahawa Malaysia khusus Tanah Melayu telah terjajah lebih 400 tahun.

Ucapan itu dituturkan sebagai membentang ‘kenyataan akhbar’ yang telah diedarkan oleh Urusetia Majlis Profesor Negara kepada semua wakil media, baik media cetak mahupun media elektronik yang hadir.

Ucapan kepada media itu adalah intisari amat ringkas kepada “kenyataan akhbar’ MPN yang memilih untuk mengulas dua ‘persoalan sejarah’ yang penting daripada kontroversi yang timbul terhadap petikan ucapan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu (Mat Sabu) di Tasik Gelugor pada 21 Ogos 2011. Tumpuan Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya dalam kenyataan akhbar itu ialah ‘penjajahan’ dan ‘perjuangan’.

Berkaitan isu penjajahan itu, yang dikutip ialah kenyataan berikut: “Tanah Melayu adalah negara naungan (protectorate) yang diiktiraf kedaulatan dalamannya. Kerana itu pemerintahan Tanah Melayu adalah termasuk Institusi dan Majlis Raja-Raja Melayu (DURBAR)… Negeri-negeri Melayu (Bersekutu – FMS – atau Tidak Bersekutu – UFMS) tidak pernah menjadi colony atau tanah jajahan British”. (petikan asal)

Yang ditegaskan di situ ialah kedudukan Tanah Melayu dalam sejarah yang panjang dan khusus di zaman British tidak pernah menjadi koloni (colony) atau tanah jajahan. Kedudukan yang diiktiraf ialah sebagai ‘negeri-negeri naungan’ atau protectorate. Daripada ulasan sejarahwan dan pengkaji sejarah, kenyataan itu dianggap benar walaupun ada ulasan bahawa kedudukan itu hanyalah sebagai legal fiction (Chandra Muzaffar, New Straits Times (NST), 15.11.2011), Tun Dr. Mahathir Mohamad menambah, ‘The Advisor became the Ruler’ (NST) dan Profesor Emeritus Khoo Kay Kim bersetuju secara am.

Malangnya apa yang tidak dikutip oleh pemberita daripada kenyataan akhbar itu ialah ayat yang menjelaskan kedudukan tanah jajahan di Tanah Melayu: “Tanah Melayu tidak pernah terjajah (kecuali Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) walaupun kesan pentadbiran British itu merupakan satu bentuk ‘penjajahan’ (colonialism)… . Penilaian pengkaji sejarah kolonialisme British terhadap perilaku ‘penjajahan’ British itu disifatkan sebagai breach of trust (R. Braddell) atau indirect rule (R. Emerson). Mereka kelihatan melakukan penjajahan walaupun tidak sahih (legitimate), walaupun hal ehwal Persekutuan Tanah Melayu terletak di bawah pentadbiran Pejabat Tanah Jajahan di Britain tetapi kedaulatan Melayu tetap terpelihara.” (tulisan bold adalah daripada teks asal).

Dengan demikian, kenyataan akhbar itu mengakui berlakunya ‘penjajahan’ oleh British di Tanah Melayu meskipun Tanah Melayu adalah sebuah protectorate. Justeru percanggahan antara sifat naungan secara de jure (dengan) sifat penjajahan secara de facto maka dijelaskan dua ulasan pengkaji sejarah: Roland S. J. Braddell, seorang peguam penasihat Sultan Johor dan Raja-Raja Melayu yang menganggap penjajahan itu sebagai ‘pecah amanah’ terhadap kedudukan perundangan negeri-negeri Melayu; atau Rupert Emerson, sejarawan Harvard, sebagai ‘pemerintahan tak langsung’.

Kenapa ditegaskan kedudukan negeri-negeri Melayu sebagai ‘naungan’ (protectorate) dan bukan ‘tanah jajahan’ (colony) walaupun berlaku penjajahan pada realitinya? Kenapa penilaian R. Braddell itu dan R. Emerson itu juga ditegaskan?

Pertama, adalah wajar penulisan sejarah dilakukan dengan lebih kritis berasaskan fakta dan tafsiran yang wajar. Para sejarawan Malaysia telah banyak melaksanakan penilaian kembali sejarah nasional Malaysia terutama di dalam teks sekolah dengan melihat para penentang penjajahan British sebagai ‘pejuang’ dan menerima perjuangan awal golongan kiri sebagai perjuangan dan penentangan. Sejak persoalan historiografi Asia Tenggara hebat didebatkan terutama oleh sejarawan Belanda, J.C. van Leur, sebagaimana ditulis oleh para sejarawan Eropah, “from the deck of the ship, the ramparts of the fortress, the high gallery of the trading house,” maka perubahan penilaian itu berlaku terus menerus sebagai proses pensejarahan yang biasa.

Kedua, gagasan kritis yang melihat penjajahan British sebagai ‘pecah amanah’ seperti saranan Braddell adalah amat bermakna kerana sikap sejarah seperti itu dapat membenarkan tuduhan bahawa meskipun Tanah Melayu seharus sebuah negara naungan tetapi segala perbuatan, tindakan dan kesan daripada pentadbiran British telah menyebabkan psikologi masyarakat Melayu menjadi ‘involusi’ (involuted), kemiskinan dan keterpinggiran dalam ekonomi, penindasan dalam pendidikan setakat darjah tiga dan kemudian ditambah kepada darjah enam rendah sahaja, ketiadaan sekolah menengah, kehancuran sistem perundangan Islam dan lebih utama lagi pewarisan masalah perkauman yang amat hebat.

Ketiga, penilaian sejarah sedemikian akan membolehkan kita untuk memahami dengan betul kenapa tindakan para pejuang kemerdekaan Tanah Melayu memilih ‘perjuangan aman’ dan tidak ‘perjuangan bersenjata’. Para pejuang masyarakat Melayu yang menentang pentadbiran British memang mempunyai dua pilihan: penentangan dengan kekerasan dan dengan keamanan.

Golongan kiri atau radical dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ingin menentang dengan kekerasan kerana mereka adalah terpengaruh dan terikut dengan gerakan anti-penjajahan Indonesia terutama oleh Sukarno dan Hatta. Kedua-dua pejuang Indonesia itu perlu tindakan menentang dengan kekerasan kerana mereka adalah juga golongan radikal, sosialis dan kiri, suatu fahaman yang amat berpengaruh pada zaman itu. Lebih penting lagi ialah Indonesia itu adalah ‘tanah jajahan’ (colony) Belanda sejak kurun ke-17. Maka perjuangan kemerdekaan adalah penentangan dengan kekerasan. Bilangan mereka juga amatlah ramai, dan cendekiawan Indonesia amat terdidik tinggi di Eropah.

Golongan komunis bangun menentang dengan senjata, yang juga dibekalkan oleh British di zaman pemerintahan Jepun, untuk membina republik Komunis di Tanah Melayu.

Dengan menggembleng sebahagian tenaga ketenteraan daripada empayarnya, Britain dan Tanah Melayu mengalahkan perjuangan militan komunis itu. Pasukan tentera dan Polis Tanah Melayu menyambung penyerangan itu hingga menang sepenuhnya pada tahun 1989.

Keempat, kerana kedudukan Tanah Melayu dan raja-raja Melayu adalah di bawah naungan British melalui perjanjian sejak 1874 maka seluruh rakyat Melayu menentang usaha British untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai ‘koloni’ melalui rancangan ‘Malayan Union’. Serentak dengan itu pada 1948, berlaku penentangan bersenjata Komunis yang dilawan dengan kekuatan senjata yang lebih besar oleh British.

Daripada pengalaman menentang ‘Malayan Union’ dan ‘Darurat’ itu pejuang seperti Dato Onn dan Tunku Abdul Rahman memahami kekuatan dan kewajaran penentangan secara aman melalui perundingan terhadap British, seperti di India, dan bukan melawan secara bersenjata seperti di Zulu, Afrika. Tanggapan terhadap ‘penjajahan’ British itu sebagai naungan melalui perjanjian, menyebabkan berlaku ‘perundingan’ untuk membincang kembali penjanjian baru dengan British supaya dapat mencapai self-government (pemerintahan sendiri). Ini yang dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman apakala menuntut ‘kemerdekaan’.

Kelima, bahawa negeri-negeri Melayu di Tanah Melayu itu merupakan protectorate menyebabkan sistem kerajaan Melayu terpelihara dan kekal hingga kini. British sebagai kuasa kolonial boleh dengan mudah menghapuskan kedaulatan kerajaan Melayu seperti berlaku di Singapura pada 1824 terhadap Sultan Husin Syah. Kerana kedudukan perundangan negeri-negeri Melayu adalah naungan maka British terpaksa menghapuskan fakta ‘kedaulatan raja Melayu’ itu ketika menubuhkan Malayan Union.

Meskipun kedaulatan (sovereignty) itu dikatakan hanya legal fiction tetapi di hati orang Melayu hal itu adalah benar. Penghapusannya menyebabkan seluruh bangsa Melayu menentang Malayan Union dan British tunduk kepada tuntutan aman itu.

Keenam, rundingan kemerdekaan telah memulangkan kembali kedaulatan itu kepada raja Melayu di samping rakyat Tanah Melayu. Rundingan Perlembagaan telah melibatkan wakil Raja-Raja Melayu. Hal itu bermakna, kedaulatan raja Melayu itu dihormati meskipun ia telah dipinggir dan diketepikan pada praktiknya di zaman pentadbiran British. Demikianlah juga semua peruntukan Perlembagaan Persekutuan tentang keistimewaan Melayu adalah natijah daripada kewujudan kedaulatan Melayu yang diwakili oleh raja-rajanya.

Semua orang Melayu, terutama parti politiknya, dan rakyat Malaysia mesti memahami persoalan sejarah itu dengan lebih baik dan benar untuk dapat menilai dengan patut, betul dan bermakna.

(ii)

Sebagai salah satu bangsa penjajah pada beberapa abad lalu, sememangnya British memiliki kecenderungan tinggi untuk mendominasi segenap inci kekuasaan dan kekayaan negeri yang didatanginya (baik sebagai negeri dijajah (koloni) atau dinaungi atau apa saja istilahnya), baik dalam kapasitinya sebagai penjajah sebenar atau hanya sebagai pentadbir.

Dan di Tanah Melayu, meski diamanahkan dan sepatutnya berfungsi hanya sebagai pentadbir, British telah melakukan pentadbirannya sedemikian rupa sebagaimana bangsa penjajah menakluki tanah jajahannya, kecuali tidak menamatkan sepenuhnya kuasa pemerintahan sultan yang ada.

Pun begitu, kecenderungan merealisasikan misi penjajahan itu tetap ingin dijelmakan British lewat gagasan Malayan Unionnya (yang akan menghapuskan terus kuasa dan kedaulatan raja-raja) yang kemudiannya ditolak (ditentang) habis-habisan oleh anak negeri ini hinggalah membawa kepada terpatrinya peristiwa kemerdekaan tanah air kita daripada cengkaman pecah amanah dan penjajahan tidak langsung British itu.

(iii)

Semoga penjelasan Profesor Datuk Zainal Kling ini mampu mengakhiri kekeliruan yang berbangkit dalam kalangan rakyat tentang citra sejarah kemerdekaan negara daripada belenggu pentadbiran (penjajahan) British.

__________________

- SEORANG AKU

Ramadhan : Proses Mencari Erti Kemerdekaan

August 26, 2011 Leave a comment

Salam hormat,

26 Ramadhan 1432H.

Diperturunkan semula “Khutbah Jumaat: Berpuasa suatu proses cari erti kemerdekaan sebenar” untuk tatapan bersama. Semoga bermanfaat.

[Sumber: Berita Harian Online 26 Ogos 2011]

SETIAP kali sambutan hari kemerdekaan, maka terbayang di fikiran kita bagaimana penjajah silih berganti menjajah negara selama kira-kira 500 tahun. Kita bersyukur kerana dalam tempoh itu dapat mempertahankan akidah dan mengekalkan agama Islam sehingga diletakkan sebagai agama Persekutuan. Peruntukan ini tidak diadakan oleh penjajah, tetapi diusaha oleh pejuang dan pemimpin negara seiring perjuangan mencapai kemerdekaan yang tiada ternilai harganya.

Oleh kerana itulah menjadi kewajipan rakyat melaksanakan tanggungjawab kepada negara antara lainnya ialah mentaati pemerintah dengan penuh ikhlas dan rasa bangga serta menjauhi diri daripada perbuatan mungkar seperti mengganggu ketenteraman awam, menimbulkan huru-hara serta mengancam keselamatan masyarakat dan negara.

Imam Syihabuddin al-Absyihi dalam kitabnya al-Mustatraf menyatakan: “Ketahuilah bahawa tingkatan kebahagiaan yang tertinggi ialah taat kepada pemerintah di samping ia menjadi penyelamat daripada segala kekacauan.”

Justeru, marilah mensyukuri nikmat kemerdekaan yang kita kecapi supaya ia berkekalan dan kemakmuran negara sentiasa bertambah dengan pengisian yang
diredai Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambah nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7).

Persoalan besar hari ini adakah kita sebenarnya sudah merdeka? Adakah sekadar kita lepas bebas ataupun tidak lagi dijajah kuasa Barat seperti sebelum ini, atau kerana kita telah mencapai kemajuan seperti yang kita alami sekarang, kita dikatakan sudah merdeka?

Ketahuilah bahawa Ramadan yang diberikan Allah SWT kepada kita adalah satu proses mencari erti kemerdekaan sebenar. Sedar ataupun tidak, selama ini kita sentiasa dibelenggu dua penjajahan. Pertama adalah syaitan, seteru terbesar manusia, kerjanya sentiasa mengajak manusia menderhaka Allah SWT seperti janjinya kepada tuhan. Manusia yang terjajah adalah manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada seruan syaitan dalam hidupnya. Manusia yang
menurut telunjuk syaitan, sedikit demi sedikit semakin jauh daripada Allah SWT hingga hatinya menjadi buta dari kebenaran.

Ramadan datang untuk membantu manusia melepaskan diri daripada penjajahan syaitan yang dirantai untuk mengurangkan potensinya, urat saraf kita disempitkan dengan berlapar untuk mengurangkan jalan syaitan menguasai kita.

Kedua ialah hawa nafsu dan diri sendiri seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Adakah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan ia disesatkan oleh Allah kerana diketahuinya, dan dimeteraikan atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi petunjuk kepadanya sesudah Allah? Oleh itu, mengapa kamu tidak mahu beringat dan insaf?” (Surah al-Jaatsiyah, ayat 23).

Mereka yang dijajah syaitan dan hawa nafsunya sendiri tidak mampu membuat pilihan dalam hidup. Apa saja diinginkan nafsu semua itu dipatuhi. Mereka ini buta biar pun celik, mereka pekak biar pun bertelinga, mereka menjadi bodoh biar pun menguasai ilmu.

Lihatlah berapa ramai manusia yang rosak kerana hidup bertuhankan nafsu dan berapa banyak tamadun manusia yang musnah apabila pertimbangan tidak lagi
berpaksikan Tuhan tetapi berkiblatkan hawa nafsu. Yakinlah bahawa Ramadan datang mendidik kita untuk memerangi nafsu. Betapa ketika kita ada makanan dan minuman, namun kita tidak memilihnya kerana patuh kepada perintah Allah SWT.

Ini adalah pengajaran Ramadan untuk mengajar kita berkata ‘tidak’ kepada sesetengah kehendak diri dan nafsu. Mereka yang berjaya mengawal diri dan nafsu, adalah mereka yang benar-benar merdeka sehingga membentuk dirinya menjadi seorang insan soleh lagi bertakwa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya. Serta mengilhamkannya jalan yang membawanya
kepada kejahatan dan ketakwaan Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah bersih.” (Surah al-Syams, ayat 7-9).

Tarbiah madrasah Ramadan sebenarnya dapat membentuk masyarakat dan negara rabbani yang penuh keberkatan dan diredai Allah SWT. Rakyat yang dididik
dengan roh Ramadan tidak akan melakukan sesuatu perkara dengan mengikut perasan dan hawa nafsu, menzahirkan penghambaan sebenar dan sempurna kepada Allah SWT. Ramadan dapat mencegah si pelakunya daripada akhlak, perkataan dan perbuatan yang tercela. Adakah yang lebih indah dari kemerdekaan ini?

Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-54 yang bersamaan dengan bulan Ramadan, marilah bersama menjadikan amalan sepanjang bulan berkat ini untuk mencegah, mengawal, merawat penyakit dan mengekalkan gaya hidup diredai Allah SWT. Mudah-mudahan keberkatan yang kita peroleh dalam bulan ini memberi kesan kepada diri kita untuk memahami erti dan roh kemerdekaan yang sebenarnya.

Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

_________________________

- SEORANG AKU

Categories: Naskhah Terpilih, Wacana
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.